Categories
AGENDA NASIONAL

Artis dedah derita dijangkiti Covid-19, ‘tekak terasa dicucuk pisau’

SHAH ALAM, 2 JUN: Selebriti terkenal Nabila Huda Suhaimi mendedahkan salah satu derita yang ditanggung sepanjang dijangkiti Covid-19 apabila tekak seolah dicucuk pisau.

Pelakon berusia 36 tahun yang mesra disapa Abil berkata dia mula mendapat gejala selesema dan sakit tekak hingga sukar untuk menelan air liur selepas dua hari bertemu seorang individu.

“Mula-mula selesema kemudian sakit tekak macam kena korek dengan pisau dan hari ketiga hilang deria bau. Pada masa itu saya belum tahu yang saya dijangkiti Covid-19 sehingga salah seorang individu yang ditemui sebelum ini disahkan positif.

“Ketika itu perasaan bercampur baur, fikirkan anak, keluarga. Sepanjang kuarantin emosi sangat tidak stabil dan takut,” katanya menerusi rakaman Bual Bicara SelangorTV.

Meskipun disahkan bebas daripada jangkitan virus, anak kepada penyanyi rock terkenal Amy Search itu tetap mengambil langkah berjaga-jaga.

“Sakit ini tidak pulih sepenuhnya terutama mereka yang ada penyakit asma, paru-paru…kesan itu akan dihadapi dalam jangka masa panjang,” kata Nabila yang mengakui sesekali hilang deria bau.

Watak utama filem Munafik itu turut menasihatkan pesakit Covid-19 mencatat gejala dihadapi sepanjang tempoh kuarantin sebagai panduan kepada orang lain.

Categories
AGENDA NASIONAL

Duduk rumah jika tiada urusan, elak jangkitan Covid-19

SHAH ALAM, 2 JUN: Orang ramai dinasihati supaya tidak keluar rumah tanpa urusan untuk mengelak dijangkiti seterusnya menyebarkan virus Covid-19, kata pelakun Nabila Huda.

Beliau yang terkesan kerana didapati positif wabak tersebut baru-baru ini berkata sifat bertanggungjawab itu penting bagi menghindari kejadian tidak diingini terutama kepada mereka yang tinggal bersama kanak-kanak atau warga emas.

“Kita perlu ambil langkah berjaga-jaga. Saya selalu fikir jika melanggar tempoh kuarantin dengan keluar dan berjumpa ramai orang, apa akan jadi kepada orang itu?

“Saya tidak mahu menjadi punca kematian seseorang. Justeru, apa sahaja yang kita lakukan perlu fikirkan kesan kepada orang lain,” kata pelakon drama Covid oh Covid menerusi rakaman Bual Bicara SelangorTV.

Mengulas berhubung segelintir pihak yang mengambil sikap sambil lewa, beliau berkata individu tersebut mungkin akan sedar jika diri dan keluarga mereka dijangkiti serta merasai sendiri keperitan dijangkiti virus berkenaan.

“Mereka wajar diletakkan di PKRC MAEPS (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang) dan berada dalam kalangan pesakit yang positif,” selorohnya.

Selain itu, Nabila Huda yang bakal menerima vaksin pada 6 Jun meminta mana-mana pihak yang sayangkan nyawa dan orang sekeliling mengambil suntikan berkaitan serta menghindari golongan antivaksin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Artis harus berdisiplin patuhi SOP, jadi teladan awam

SHAH ALAM, 1 JUN: Artis atau pempengaruh (influencer) harus berdisiplin dalam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan Covid-19.

Pelakon, Nabila Huda Suhaimi, 37, berkata golongan berkenaan sebaiknya menggunakan media sosial ke arah kebaikan agar menjadi ikutan masyarakat.

“Ikutkan memang ramai individu melanggar SOP tetapi disebabkan kita ini artis atau golongan berpengaruh, apa yang dipapar di media sosial menjadi tumpuan orang awam.

“Saya nasihatkan artis dan semua influencer gunakan media sosial ke arah kebaikan, pos sesuatu yang tidak menimbulkan kebencian kepada orang awam, elak untuk dibenci,” katanya menerusi rakaman Bual Bicara SelangorTV malam ini.

Anak kepada penyanyi rock, Amy Search yang baharu sahaja sembuh daripada jangkitan Covid-19 itu juga meminta masyarakat agar menghentikan sikap menuding jari kepada mana-mana individu sebaliknya bantu petugas barisan hadapan memutuskan rantaian wabak.

“Biar kita terkenal sebab bakat atau kebaikan jangan dibenci sebab kesalahan atau keburukan yang dibuat.

“Hentikan menunding jari kepada mana-mana orang, buang sikap saling membenci sebaliknya bantu petugas barisan hadapan kita selamatkan negara untuk memutuskan rantaian wabak,” katanya lagi.