Categories
EKONOMI NASIONAL

NACP bukti kerajaan komited elak ketirisan wang

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bukti komitmen kerajaan dalam membendung ketirisan wang.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan penjimatan wang dan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

“NACP memperlihatkan bukti kesungguhan kerajaan membentuk eko-sistem yang akan memerangi segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

Berdasarkan laporan Global Financial Integrity dalam tempoh 2005-20147, Malaysia mencatatkan kira-kira RM1.8 trilion pengaliran keluar wang secara haram yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

NACP menggariskan enam strategi dan 115 inisiatif yang merangkumi tadbir urus yang baik, integriti dan anti rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan bertindak sebagai badan peneraju bagi pelaksanaan NACP manakala Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC) pula akan memantau dan menilai keberhasilan serta pencapain pelan itu.

Mohamad Azmin berkata, kementeriannya juga bersedia memberikan komitmen dalam melaksanakan strategi dan inisiatif yang digariskan.