Categories
AGENDA NASIONAL

Jenazah Kapten Mohamad Affendi selamat dikebumikan

ROMPIN, 17 NOV: Jenazah juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang maut dalam nahas pesawat Hawk 108 semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah di sini malam ini.

Jenazah Allahyarham Mohamad Affendi, 31, tiba di tanah perkuburan pada pukul 7.40 malam dan urusan pengebumian dilakukan dengan penuh istiadat ketenteraan itu, selesai kira-kira sejam kemudian.

Terdahulu jenazah Allahyarham diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Pangkalan Udara Kuantan, sebelum dibawa ke kediaman keluarganya di Taman Redan Perdana di sini menggunakan laluan darat dan tiba sekitar 6.30 petang.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Besar Muadzam Shah, di sini yang terletak kira-kira tiga kilometer dari kediaman keluarganya untuk disembahyangkan.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Udara Left Jen Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Hujan renyai bermula sebaik sahaja jenazah Allahyarham yang diiringi konvoi TUDM dan pasukan keselamatan memasuki tanah perkuburan, sebelum berhenti sebaik sahaja kubur selesai dikambus.

Selesai bacaan talkin, Mohd Asghar Khan menyerahkan bendera TUDM kepada isteri Allahyarham Nurul ‘Izzati Shari, 31, disusuli istiadat menyiram air mawar dan tabik hormat penghormatan terakhir.

Mohamad Affendi meninggal dunia dalam kejadian pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas pada 10.07 malam Selasa, semasa sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan pangkalan udara Butterworth.

Kejadian turut menyebabkan seorang lagi juruterbang Mejar Mohd Fareez Omar, 33, cedera namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Nahas pesawat: Keputusan gantung Hawk 108 lepas siasatan selesai

MELAKA, 17 NOV: Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata setakat ini pesawat pejuang Hawk 108 akan terus digunakan untuk latihan dan operasi.

Beliau berkata sebarang keputusan untuk menggantung pengunaan pesawat itu hanya akan ditentukan selepas hasil siasatan Lembaga Siasatan Khas berhubung insiden pesawat pejuang Hawk terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, malam tadi.

Katanya, keputusan itu tertakluk kepada keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung penggunaannya.

“Bagaimanapun, keputusan itu kita serahkan kepada yang lebih pakar (lembaga siasatan khas) dalam hal ini, Panglima Angkatan Tentera akan melaporkan keperluan mereka,” katanya di sini hari ni.

Sementara itu Hishammuddin turut mengingatkan agar tiada pihak cuba mengambil kesempatan serta mengeruhkan keadaan ketika siasatan masih dijalankan selain beliau menzahirkan rasa sedih dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga kedua anggota yang terlibat dalam kejadian itu.

Dalam nahas yang berlaku pada jam10.07 semalam, seorang juruterbang TUDM maut sementara seorang lagi cedera ketika sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang.

Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan mangsa yang meninggal dunia ialah Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TUDM tubuh jawatankuasa siasat nahas pesawat pejuang

PETALING JAYA, 17 NOV: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat nahas pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth TUDM malam tadi.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata siasatan akan dilakukan dalam pelbagai aspek termasuk operasi dan latihan.

Bagaimanapun beliau berkata adalah terlalu awal untuk membuat keputusan menggantung penggunaan pesawat jenis berkenaan semasa siasatan.

Ikmal Hisham berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan 15,000 kotak makanan daripada badan bukan kerajaan Bantu-Bantu Malaysia di Pangkalan Udara Subang, dekat sini.

Nahas pesawat pejuang Hawk 108 pada kira-kira pukul 10.07 malam tadi mengakibatkan juruterbang TUDM Kapten Mohamad Affendi Bustamy maut, manakala Mejar Mohd Fareez Omar cedera.

Mohd Fareez sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

-BERNAMA