Categories
AGENDA NASIONAL

Najib disoal beri kenyataan bercanggah

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini membela diri terhadap tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International di Mahkamah Tinggi di sini, disoal pihak pendakwaan berhubung percanggahan kenyataan kepada mahkamah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V. Sithambaram menyoal Najib, 67, semasa pemeriksaan balas, sama ada beliau telah mengaku kepada penyiasat yang mengambil kenyataannya bahawa beliau mengenali beberapa dokumen berkaitan SRC International yang dikemukakan sebagai ekshibit di mahkamah.

Tiga dokumen tersebut ialah minit mesyuarat SRC International yang ditandatangani oleh Najib atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Sithambaram kemudian merujuk Najib kepada kenyataan saksi yang berkaitan dengan permohonan pinjaman oleh SRC kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang terdapat kenyataan: “Saya mengesahkan saya pernah melihat dokumen yang dirujuk dan semua kandungan dalam dokumen ini adalah dalam pengetahuan saya”.

Sithambaram: Semasa menandatangani kenyataan saksi ini, kamu tahu yang kamu telah membuat kenyataan kepada SPRM Ya atau tidak?

Najib: Betul.

Sithambaram: Walaupun kamu telah mengetahui kamu telah membuat kenyataan kepada SPRM, kamu terus menyatakan kamu tidak pernah melihat dokumen itu?

Najib: Benar. Ada sebabnya.

Najib juga terus mengulangi bahawa semasa siasatan SPRM, beliau hanya ditunjukkan dokumen-dokumen tersebut secara sepintas lalu dan membuat kenyataan sedemikian kerana melihat tandatangan menyerupai tandatanganya di atas kertas berkenaan.

“Saya keliru dengan tandatangan yang kononnya menyerupai tandatangan saya. Saya mengandaikan ia tandatangan saya. Saya tidak ingat semuanya, ini berlaku sembilan tahun lalu,” kata Ahli Parlimen Pekan itu.

Bekas perdana menteri itu terus disoal Sithambaram mengenai kenapa beliau tidak dapat mengesahkan kesahihan tandatangannya pada dokumen itu semasa prosiding mahkamah, Najib sekali lagi berkata ingatannya samar-samar dan hanya mendasarkan pada tandatangan yang ‘kononnya’ tandatangannya .

“Saya menandatangani banyak dokumen setiap hari … tahulah, mentadbir negara. Ada 1,001 perkara. Ini sudah terlalu lama berlaku. Apabila kes itu masuk ke mahkamah, baru saya tahu ada penipuan,” katanya.

Najib sekali lagi menegaskan bahawa beliau membuat pengesahan sebelum beliau berdasarkan pada tandatangan yang kelihatan seperti tandatangannya dan beliau tidak ditunjukkan dokumen asal.

“Saya tidak tahu ada penipuan. Perkara ini hanya dibangkitkan di mahkamah … tetapi sekarang saya ada keraguan tentang tandatangan itu,” katanya dan menambah bahawa beliau ‘terkeliru’ dengan tandatangan itu.

Sithambaram: Kamu tidak terkeliru dengan tandatangan itu. Kamu yang mengelirukan mahkamah.

Najib: Tidak. tidak.

Pada 11 November lepas, Najib diperintah membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, membabitkan tiga pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukannya berhubung dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendakwaan persoal Najib gagal buat laporan polis tandatangannya dipalsukan

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini membela diri atas tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi di sini hari ini mempersoalkan kegagalan bekas perdana menteri itu membuat laporan polis berhubung dakwaan tandatangannya telah dipalsukan dalam beberapa dokumen berkaitan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berkata dakwaan daripada Najib itu merupakan suatu yang difikirkan kemudian memandangkan ia hanya dibangkitkan semasa peringkat membela diri.

Bagaimanapun, Najib, semasa disoal balas Sithambaram menafikan perkara itu suatu yang difikirkan kemudian memandangkan perkataan ‘pemalsuan’ hanya didengar dalam perbicaraan semasa peringkat pembelaannya sahaja.

Sithambaram: Kamu bersetuju dengan saya bahawa apabila tandatangan kamu dipalsukan pada mana-mana dokumen, kamu akan membuat laporan polis.

Najib: Saya baru tahu bahawa kemungkinan tandatangan saya dipalsukan semasa perbicaraan kes ini berlangsung.

Sithambaram: Itu bukan soalan saya. Adakah kamu akan membuat laporan polis?

Najib: Sebab itu kita memanggil pakar dulu untuk ‘memeriksa’ tandatangan, bila sudah dapat baru buat laporan polis.

Najib juga tidak bersetuju dengan cadangan Sithambaram bahawa permohonan beliau untuk memanggil pakar dokumen adalah untuk ‘memperkukuh perkara yang tidak benar’ mengenai pemalsuan.

Sithambaram juga menganggapnya sebagai suatu yang pelik apabila Najib tidak boleh membezakan tandatangannya sendiri dengan yang palsu dan beliau memerlukan seorang pakar untuk untuk mengesahkannya.

Najib berkata beliau meragui tentang tandatangan itu semasa siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi tidak memaklumkan keraguannya itu kepada orang lain malah tidak menyebutnya kepada individu yang mengambil kenyataannya.

Ahli Parlimen Pekan itu turut memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak tahu sejumlah RM32 juta telah dipindahkan ke akaun peribadinya kerana beliau menyerahkan urusan kepada pihak ketiga untuk mengendalikan akaunnya.

Sithambaram kemudian menyoal bekas perdana menteri itu sama ada beliau terlibat dalam operasi syarikat seperti pemindahan RM40 juta daripada SRC kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd, syarikat yang melaksanakan program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR), yang dinafikan Najib.

Menurut Najib, pada waktu itu, beliau tidak mempertikai aliran keluar ke Ihsan Perdana kerana beliau tidak mengetahui mengenai transaksi dan ia terpulang kepada pasukan pengurusan SRC.

Semasa disoal Sithambaram mengenai kedudukannya sebagai penasihat emeritus dalam SRC tentang pengetahuannya berhubung transaksi RM40 juta, Najib sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam urusan operasi kerana beliau menjaga negara.

Mengenai isu lain, Najib berkata Ahli Lembaga Pengarah (BOD) SRC tidak pernah berunding dengannya mengenai perbelanjaan pinjaman RM2 bilion yang dipinjam daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) walaupun beliau memegang jawatan tertinggi dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) merupakan pemegang saham tunggal syarikat.

“Perkara berkenaan dianggap sebagai perkara operasi dan di bawah BOD. Kedudukan saya dalam SRC adalah untuk menentukan perkara strategik. Bukan oprasi harian,” katanya.

Apabila beliau dirujuk kepada surat dihantar kepada AmIslamic Bank, yang tertera nama dan tandatangan Najib, Najib menjawab: “kelihatan seperti tandatangan saya, ya,”

Jawapan beliau disifatkan TPR hampir sama dengan ungkapan dalam klip video kontroversi ‘kelihatan seperti saya, suara seperti saya, tetapi bukan saya’ yang menyebabkan mereka yang berada dalam mahkamah ketawa.

Pada 11 November lepas, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta tutup

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, menutup kesnya hari ini selepas mengemukakan 57 saksi sepanjang 58 hari perbicaraan bermula 3 April, lepas di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Negara Tommy Thomas memaklumkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pendakwaan menutup kesnya terhadap Najib selepas pemeriksaan balas saksi terakhir, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain.

“Dengan ini Yang Arif, perbicaraan yang bermula 3 April tahun ini selama 58 hari dan 57 saksi, sampai ke penghujung kes kami,” katanya.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan menawarkan 66 saksi kepada pihak pembelaan sekiranya dipanggil membela diri.

“Dengan ini, saya secara rasmi menutup kes pendakwaan,” kata Peguam Negara.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan menyoal pendakwaan sama ada semua saksi ada secara fizikal dan Timbalan Pendawka Raya, Datuk V.Sithambaran menjelaskan bahawa kebanyakan saksi boleh dihubungi.

“Kami tentunya akan memastikan saksi boleh dihubungi. Sekiranya dapat mencari mereka, kami akan memaklumkan pihak pembelaan,” katanya.

Mohd Nazlan menetapkan 22 dan 23 Oktober ini bagi mendengar hujah lisan pendakwaan dan pembelaan serta memerintahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujah bertulis mereka pada 24 September.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan mengemukakan lebih 750 barang kes termasuk dokumen bank berkaitan akaun bank milik Najib, dokumen pemindahan wang, minit mesyuarat dan Blackberry Messanger berhubung transaksi wang Najib.

Antara saksi utama ialah pengurus Ambank Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 40; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) Datuk Azian Mohd Noh, 66; bekas pengerusi Lembaga SRC Tan Sri Ismee Ismail, 54 , bekas Pengarah Bukan Eksekutif SRC, Datuk Suboh Md Yassin, 68; bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 67; bekas pengurus perhubungan di AmBank Joanna Yu Ging Ping, 48; bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, 67; dan Rosli, 54, yang merupakan pegawai penyiasat kes itu.

Najib, Ahli Parlimen Pekan, pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai, 2018 untuk berdepan tiga tuduhan pecah amanah (CBT) dan satu tuduhan salah guna kuasa berkaitan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos, beliau didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yang sama dan kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Najib, 66, Perdana Menteri ke-6 Malaysia, mulai April 2009 hingga Mei 2018, merupakan perdana menteri pertama yang dihadapkan ke mahkamah. Beliau dituduh melakukan kesalahan itu antara 17 Ogos, 2011 dan 10 Februari, 2015.

Tiga pertuduhan CBT yang dihadapi Najib ialah:

Bagi pertuduhan pertama, Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama.
Pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama.

Bagi pertuduhan lain, Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

Najib dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa telah menerima, masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, yang merupakan hasil aktiviti haram, yang dipindahkan mengikut Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) ke dalam akaun miliknya di AmIslamic Bank Berhad menggunakan nombor akaun 2112022011880 dan 2112022011906.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan, di sini, antara 26 Dis, 2014, dan 10 Februari, 2015.

Pertuduhan-pertuduhan itu difailkan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntukkan penalti mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib ada kepentingan dalam urusan SRC – Saksi

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi menegaskan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan ketika itu mempunyai kepentingan dalam urusan SRC International Sdn Bhd.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain berkata, bekas perdana menteri yang memegang portfolio Menteri Kewangan ketika itu adalah individu yang berkuasa bagi melantik jawatan-jawatan penting dalam SRC seperti ahli lembaga pengarah, setiausaha dan juruaudit syarikat.

“Selain itu, beliau juga mempunyai kuasa untuk menentukan di mana pelaburan syarikat dibuat,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim pada hari ke-58 perbicaraan kes Najib yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Beliau yang juga pegawai penyiasat kes berkata, Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil merupakan individu yang menyeleweng dana SRC berjumlah RM170 juta.

Suhaimi: Ketika pemeriksaan balas oleh peguam, beliau mencadangkan ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) yang menyeleweng wang SRC tetapi kamu menjawab “Kalau Nik Faisal, ya”. Boleh terangkan mengapa?

Rosli: Saya menjawab “Kalau Nik Faisal, ya” kerana dia yang membuat pindahan wang RM170 juta dari akaun SRC ke akaun syarikat pembinaan, Putra Perdana Construction Sdn Bhd tanpa mendapatkan persetujuan daripada ahli lembaga pengarah SRC”.

Rosli juga menegaskan bahawa dana sebanyak RM642 juta daripada Kementerian Kewangan Riyadh dan Putera Faisal Turki yang diterima Najib tidak kena mengena dengan wang SRC yang masuk ke dalam akaun peribadi bekas perdana menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-57 itu berkata, ia adalah kerana wang sumbangan itu telah habis digunakan pada Jun 2014 manakala wang SRC pula masuk ke dalam akaun Najib pada Disember 2014.

“Pihak SPRM tidak menjalankan siasatan lanjut mengenai dua entiti berkenaan kerana ia tidak meliputi skop siasatan saya…ini adalah melibatkan dana RM2.6 bilion atau siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tiada kaitan dengan SRC,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 22 Oktober bagi kedua-dua pihak mengemukakan hujahan lisan.

– BERNAMA