Categories
NASIONAL

PKR : Sapura Gagal Tepati Spesifikasi, Masa Projek Pembangunan NCO

SHAH ALAM, 29 JUN : PKR mempersoalkan kegagalan Sapura Secured Technologies Sdn Bhd (Sapura) untuk menyiapkan projek pembangunan Network Centric Operations (NCO) mengikut spesifikasi dan masa yang ditetapkan.

Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan media memaklumkan, Sapura sepatutnya memulakan “Timeline Detail User Requirements (DUR)” pada 22 Oktober 2011 hingga 21 Mac 2012, namun gagal berbuat demikian dengan alasan belum mendapat bayaran pendahuluan.

Menurutnya, Sapura dilihat lebih banyak meluangkan masa dalam persiapan pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2011 (Lima ?11), hingga menyebabkan aktiviti DUR kurang diberi perhatian.

Lebih merumitkan keadaan, perletakan jawatan oleh tiga bekas ketua jurutera perisian Sapura dalam tempoh setahun, daripada Mei 2011 hingga Februari 2012 menjejaskan pelaksanaan projek tersebut.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, enjin aplikasi yang didakwa dimiliki Sapura sebenarnya tiada dalam pegangan mereka. Sapura gagal menunjukkan contoh aplikasi yang disimulasi menggunakan enjin aplikasi yang dikenal pasti.

“Adakah kerajaan akan menamatkan kontrak dengan Sapura kerana gagal menyiapkan kerja-kerja seperti yang dipersetujui dalam fasa 1A dan membuat bidaan baru melalui tender terbuka untuk program NCO ini?” soal Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Izzah sebelum ini pernah membangkitkan isu projek NCO yang dianugerahkan secara tender terus kepada Sapura untuk pembangunan secara berfasa dari RMK-10 hingga RMK-13 iaitu dalam tempoh 20 tahun.

Difahamkan, Timbalan Menteri Pertahanan pada 23 November 2011 menjelaskan bahawa sistem NCO merangkaikan bukan sahaja markas dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah turut melibatkan aset-aset yang bergerak.

Kos pelaksanaan untuk tempoh dua tahun bagi projek tersebut adalah sebanyak RM 140 juta, sementara pembangunan fasa seterusnya bergantung kepada prestasi pembangunan Fasa 1A itu.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kesamaran pemilihan dan pembelian aset pertahanan yang selari dengan Dasar Pertahanan Nasional.

Ia katanya, bagi memastikan aset yang dibeli menggunakan wang rakyat tidak menjadi ‘gajah putih’ seperti yang berlaku dahulu apabila kereta kebal ringan dipasang sistem meriam tidak bersesuaian selain pesawat pejuang yang pincang.

“Adakah kerajaan bersedia membuat satu Audit Pertahanan dengan melibatkan pihak pembangkang sebagai wakil rakyat di mana maklumat audit boleh dirahsiakan?

“Adakah kerajaan bersedia melaksanakan reformasi parlimen dengan memperkenalkan sebuah Jawatankuasa Tetap Parlimen untuk perolehan pertahanan Negara supaya segala kepincangan dan pemberian kontrak kepada syarikat yang sub-standard dielakkan?” soalnya lagi.

Justeru, kerajaan perlu mengambil serius perkara berkenaan dan melaksanakan tangungjawab secara telus terhadap perkara yang melibatkan keselamatan negara.

Beliau berkata, segala pertanyaan dan maklumbalas harus diambil kira sebagai usaha bersama demi mempertahankan kedaulatan negara.