Categories
NASIONAL

Kes Nhaveen diklasifikasikan semula sebagai bunuh

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 JUN: Kes serangan T Nhaveen diklasifikasikan semula Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sebagai kes bunuh, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau mengesahkan pentafsiran semula kes yang menyebabkan kematian remaja berusia 18 tahun itu, di Pulau Pinang.

“Kami akan mengklasifikasikan semula kes itu di bawah pembunuhan,” katanya dipetik Astro Awani.

Beliau dilapor berkata demikian selepas menghadiri majlis Terawih dan Moreh bersama Perdana Menteri, di Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.

nhaveenTerdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar tidak menolak kemungkinan untuk mengklasifikasikan kes Nhaveen sebagai kes bunuh dan akan disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, sebelum ini, lima suspek berusia antara 16 dan 20 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata.

Semalam, Nhaveen disahkan meninggal dunia selepas enam hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi ( ICU) Hospital Pulau Pinang, kira kira jam 5.30 petang.

Pada 11 Jun lalu, Nhaveen dipukul sekumpulan lelaki berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, George Town.

Beliau dilapor dipukul sehingga menyebabkannya mengalami mati otak selain pemeriksaan hospital mendapati beliau turut mengalami penderaan seksual.

Difahamkan, upacara penghormatan terakhir Nhaveen dijangka diadakan hari ini selepas urusan bedah siasat selesai.