ALOR SETAR, 14 JAN: Pakatan Rakyat perlu agresif meneroka kawasan pedalaman sekiranya ingin melihat angin perubahan berlaku di Sarawak seiring dengan perubahan di Semenanjung.
Wakil Sarawak, Nicholas Mujah berkata, Sarawak masih mengalami masalah infrastruktur terutamanya dari segi pengangkutan memandangkan masyarakat orang asal masih tinggal di kawasan yang jauh dari kemodenan pembangunan.
Katanya lagi, laungan ‘1Malaysia’ yang diungkapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak dirasai di Sarawak ditambah polisi kerajaan Sarawak yang tidak mesra rakyat.
“Kita sudah merdeka tapi hak asasi kita di kongkong. Semua pembangunan tetumpu kepada orang yang kaya dan berkuasa. Ini realiti sebenarnya.
“PR boleh menjadi ‘perahu dan kereta’ kita. Apa yang kita perlukan adalah dari segi logistik. Kawasan pendalaman memerlukan perhatian. Kita perlu berjalan seminggu dari satu destinasi ke destinasi. Saya tidak ingin hak mereka ditindas lagi.
“Kalau PR mahu berubah, kepimpinan PR harus menerima realiti kita perlu banyak pendedahan. Masayarakat perlu pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu, wakil Sabah, Simon Sipaun berkata rakyat semenanjung seharusnya mengambil ikhtibar diatas insiden pemberian kad pengenalan kepada warga asing (projek ic) seperti yang pernah dialami di negeri itu semasa peralihan kuasa politik dahulu.
Menurut Simon, kini, rakyat asal negeri itu terpaksa bersaing di negeri sendiri dengan pendatang yang diberikan kad pengenalan yang didalangi pihak berkepentingan.
“Saya tidak hairan sekirannya jumlah orang asing melebihi penduduk asal negeri Sabah, bagi saya ini adalah ibu kepada semua masalah.
“Rakyat Sabah tertarik dengan janji Pakatan Rakyat untuk mendepani masalah ini, kita bongkar siapa dalang kepada punca permasalahan ini, yang didapati bersalah harus dituduh di mahkamah,”jelas Simon yang juga salah seorang ahli SUHAKAM.
Projek IC dilaporkan sebagai operasi bersepadu tetapi terselindung pada tahun 1980-an dan 1990-an untuk memberi kad pengenalan kepada rakyat asing, yang didakwa sebagai usaha untuk mengubah demografi Sabah yang menguntungkan Umno.