Oleh: LIZAWATI MADFA
SELAYANG, 27 FEB: Impian anak-anak pangsapuri untuk memiliki persekitaran tempat tinggal lebih baik mungkin direalisasikan melalui Skim Pengenalan Pengurusan Bangunan Strata (SKORA).
Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Norzatun Aini Kassim, berkata impian mereka akan dipaparkan dalam kain rentang untuk digantung di pangsapuri masing-masing.
“Mereka akan menulis apa mereka inginkan, contoh seperti padang, futsal dan sebagainya dan akan dipaparkan dalam tempoh tiga bulan.
“Kita akan memantau tindakan dan respon pangsapuri terhadap permintaan anak-anak ini,” katanya ketika program SKORA di Sekolah Menengah Kebangsaan Ideal Heights, di sini.
Program itu dihoskan Pencetus Ummah (PU), Rahmat Ikhsan.
Pada masa sama, Norzaton berkata, LPHS mensasarkan tiga buah sekolah lagi tahun ini untuk pelaksanaan SKORA iaitu di Kajang, Shah Alam dan Kuala Selangor.
Kira-kira 100 pelajar menyertai SKORA dengan segmen Sembang Santai Selebriti (Bersama Diana Amir), Kuiz Stylo Pangsapuri, Tandatangan Impian Anak-anak Pangsapuri dan penyerahan banner kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB).
Selain SKORA, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan program komuniti lain dengan kerjasama Pesuruhjaya Bangunan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Antaranya, program Keselamatan Kejiranan (SEROJA), Format Kurikulum Pengurusan Bangunan Strata (FOKUS), Kelab Interaktif Komuniti (K-KLIK), Sistem Tadbir Urus Akaun (K-STAC) dengan cadangan peruntukan RM 3 juta.
-AA-