Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Risiko tinggi bangun infrastruktur nuklear

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MAC: Pakatan Harapan membantah keras cadangan Barisan Nasional (BN) berkaitan pembinaan infrastruktur nuklear di negara ini kerana kos dan risikonya terlalu besar.

Dalam kenyataan bersama, Fuziah Salleh (KEADILAN), Dr Dzulkefly Ahmad (AMANAH) dan Charles Santiago (DAP) berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri yang menyatakan bahawa Malaysia sudah bersedia untuk nuklear itu disifatkan sebagai suatu langkah regresif.

“Malah, negara luar seperti Jerman juga sudah melupakan cadangan sedemikian selepas tragedi nuklear Fukushima sebaliknya beralih kepada tenaga kincir angin.

pakatan harapan“Pembinaan infrastruktur nuklear juga berbahaya jika berlaku gempa bumi. Walaupun Malaysia tidak tergolong dalam negara di garis gempa bumi tetapi kajian menunjukkan garisan itu sudah berubah sejak kejadian gempa di Gunung Kinabalu, Sabah,” katanya.

Kenyataan bersama itu turut mempertikaikan kos pembinaan yang mahal menyebabkan rakyat terpaksa menanggung pelbagai barangan naik akibat kesan domino.

“Daripada segi kos pula, Ucsusa.com menyatakan dalam perbelanjaan pembinaan generator dan penyelenggaraannya amat tinggi iaitu antara $2 hingga $4 bilion, malahan boleh mencecah $9 bilion (RM40.5 bilion).

“Kos kilowatt per jam juga tinggi. Sedangkan, rakyat sedia kala terhimpit dengan bebanan pelbagai kenaikan harga,” katanya.

Mereka berkata, reputasi kerajaan BN berdasarkan rekod pembinaan projek mega di negara kurang memuaskan seumpama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu runtuh, pada 2013.

“Kami turut khuatir tragedi sedemikian berulang akibat kesilapan atau kecuaian ketika pembinaan dan operasi selain kemungkinan wujud unsur rasuah.

“PAKATAN berpendapat, BN sepatutnya mempergiatkan lagi penyelidikan juga penggunaan teknologi hijau dan tenaga boleh baharu (TBB) bukannya mengembangkan pembangunaan infrastruktur nuklear berisiko besar,” katanya.

Mereka mencadangkan Malaysia mengoptimumkan upaya teknologi solar terutama negara ini memiliki kelebihan kerana menerima cahaya matahari sepanjang tahun.

“Malaysia juga boleh meneruskan kajian penyelidikan dan pembangunan berkaitan tenaga ombak yang pernah dijalankan universiti di negara ini. Malah, kerajaan sepatutnya mencari jalan untuk mengkomersialkannya.

“Malaysia juga ada pilihan lain yang lebih baik dengan mengutamakan teknologi biomass. Ini kerana bahan biomass boleh diperolehi dengan mudah dengan jumlah yang banyak, boleh diperbaharui dan mampu menjana tenaga elektrik.

“Secara tidak langsung, ia juga boleh mengurangkan masalah pelupusan sisa pepejal di Malaysia,” katanya.

-NFN-