Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: PBT hanya pantau premis makanan, polis diarah kawal kilang

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kawalan dalam sektor pengilangan bagi mencegah rebakan Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) diterajui oleh polis.

Sementara pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri hanya bertanggungjawab menyelia tatacara operasi piawai (SOP) di restoran dan kedai makan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan penugasan itu diputuskan dalam Op Patuh yang diadakan secara besar-besaran di Selangor dan Kuala Lumpur mulai 2 Julai.

“Untuk menyelaras tindakan ini, kita bersama dalam Op Patuh. Daripada bermula Akta 342, pelucutan lesen perkilangan atau kesihatan tidak tertakluk bawah Kerajaan Negeri.

“Sektor kilang akan diperiksa dan dipantau oleh polis. Punca kuasa besar dalam Ordinan Darurat dan Akta 342 sampailah pelaksanaannya PBT ada limitasi,” katanya dalam program bual bicara bersama Astro Awani malam tadi.

Op Patuh yang dijalankan Jawatankuasa Koordinasi Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) bawah Kementerian Dalam Negeri bersetuju menyelaras tugas bagi mengelak pertindihan pemantauan.

Jawatankuasa itu menetapkan polis meneraju sektor pengilangan, PBT memantau premis makanan, sementara perniagaan, pengedaran dan peruncitan bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Sementara itu, Amirudin berkata kapasiti terhad anggota penguat kuasa PBT di setiap daerah turut membataskan usaha memantau operasi lebih 5,000 kilang di negeri ini.

“Setiap PBT memiliki maksimum 2,000 pekerja termasuk kerani manakala penguat kuasa hanya 10 peratus daripada jumlah itu. Tidak mungkin ada kapasiti untuk pantau operasi kilang dan arahkan tutup.

“Daripada bidang kuasa ke operasi dan kemampuan sedia ada, agak mustahil dan sukar untuk dilakukan oleh PBT di Selangor,” katanya.

Beliau berkata Selangor juga konsisten mencadangkan hanya sektor penting dibenarkan beroperasi sepanjang PKPD bagi mengawal penularan kluster di kilang dan tempat kerja.

Semalam, EXCO kerajaan tempatan menegaskan kuasa menutup operasi sektor pengilangan bagi mengawal penularan Covid-19 terletak dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Ng Sze Han berkata semua usaha kawalan wabak termasuk SOP tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (atau Akta 342).

Categories
AGENDA NASIONAL

Op Patuh: 213 kilang, premis niaga dikompaun ingkar SOP

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Sejumlah 213 kompaun dikeluarkan terhadap kilang dan premis perniagaan, kerana didapati melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara dalam Operasi Patuh (Op Patuh), yang dijalankan di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, lebih 19,000 kilang dan premis perniagaan diperiksa dalam operasi bersepadu itu, yang melibatkan 26,504 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasa pematuhan SOP, yang diketuai Polis Diraja Malaysia.

“Dalam pada itu, pemeriksaan pasukan penguatkuasa di lapangan mendapati, terdapat banyak premis yang memperoleh kebenaran untuk beroperasi, tetapi tidak beroperasi semasa pemeriksaan Op Patuh kelmarin,” katanya pada sidang media khas Op Patuh di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini.

Hamzah berkata, pihak penguatkuasa mengenal pasti premis-premis itu, dan akan menjalankan siasatan lanjut secara berkala selepas ini, terhadap premis yang mencurigakan.

“Ini kerana terdapat kilang dan premis yang tutup pada hari operasi dijalankan dan berkemungkinan dibuka pada hari biasa,” katanya sambil memberitahu sembilan kilang diarah tutup kerana melanggar SOP.

Beliau berkata, Op Patuh semalam mendapati ada beberapa kilang yang beroperasi dengan mematuhi SOP serta mengamalkan amalan terbaik, bagi mengekang penularan Covid-19 di tempat kerja.

Hamzah berkata, KDN akan terus menyelaras Op Patuh secara besar-besaran dan serentak, dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara bagi mengekang penularan Covid-19 dalam negara, terutama dalam kalangan pekerja di sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi.

Turut hadir Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim, serta Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee.

-BERNAMA