Categories
AGENDA NASIONAL

Op Patuh: 213 kilang, premis niaga dikompaun ingkar SOP

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Sejumlah 213 kompaun dikeluarkan terhadap kilang dan premis perniagaan, kerana didapati melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara dalam Operasi Patuh (Op Patuh), yang dijalankan di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, lebih 19,000 kilang dan premis perniagaan diperiksa dalam operasi bersepadu itu, yang melibatkan 26,504 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasa pematuhan SOP, yang diketuai Polis Diraja Malaysia.

“Dalam pada itu, pemeriksaan pasukan penguatkuasa di lapangan mendapati, terdapat banyak premis yang memperoleh kebenaran untuk beroperasi, tetapi tidak beroperasi semasa pemeriksaan Op Patuh kelmarin,” katanya pada sidang media khas Op Patuh di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini.

Hamzah berkata, pihak penguatkuasa mengenal pasti premis-premis itu, dan akan menjalankan siasatan lanjut secara berkala selepas ini, terhadap premis yang mencurigakan.

“Ini kerana terdapat kilang dan premis yang tutup pada hari operasi dijalankan dan berkemungkinan dibuka pada hari biasa,” katanya sambil memberitahu sembilan kilang diarah tutup kerana melanggar SOP.

Beliau berkata, Op Patuh semalam mendapati ada beberapa kilang yang beroperasi dengan mematuhi SOP serta mengamalkan amalan terbaik, bagi mengekang penularan Covid-19 di tempat kerja.

Hamzah berkata, KDN akan terus menyelaras Op Patuh secara besar-besaran dan serentak, dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara bagi mengekang penularan Covid-19 dalam negara, terutama dalam kalangan pekerja di sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi.

Turut hadir Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim, serta Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kawalan ketat di kediaman pekerja industri sekitar Lembah Klang

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kerajaan akan mengetatkan kawalan pergerakan di Lembah Klang setelah mengenal pasti kawasan industri dan penginapan pekerja yang berpotensi merebak Covid-19 dengan meluas.

Jawatankuasa Koordinasi Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) akan bekerjasama dengan Kerajaan Selangor dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata menteri dalam negeri.

“Bagi mengetatkan kawalan pergerakan di negeri tersebut, mesyuarat JKPS menerima pemetaan kawasan perindustrian dan penginapan pekerja yang mempunyai potensi tinggi penularan Covid-19.

“(Pemetaan) hasil kerjasama dengan pihak Kerajaan Selangor dan DBKL,” kata Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan.

Beliau berkata pelaksanaan Op Patuh mulai esok turut mengambil kira maklumat kawasan tersebut dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

Jelas Hamzah, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar tatacara operasi piawai (SOP) bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

JKPS memutuskan untuk melaksanakan Op Patuh secara besar-besaran dan bersepadu di seluruh negara bermula esok membabitkan strategi lebih drastik dan pemeriksaan ketat.

Operasi terbabit bakal diketuai ketua polis daerah bersama anggota penguat kuasa dari jabatan atau agensi yang lain.