Categories
AGENDA EKONOMI

BNM turunkan OPR 50 mata asas kepada dua peratus

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 2.00 peratus.

Bank pusat dalam satu kenyataan hari ini berkata, pada mesyuaratnya hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memutuskan untuk mengurangkan OPR manakala kadar tertinggi dan terendah OPR masing-masing dikurangkan kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.

“Keadaan ekonomi global nyata semakin lemah. Langkah-langkah untuk membendung pandemik Covid-19 telah menjejaskan kegiatan ekonomi di kebanyakan negara.

“Penunjuk terkini memaparkan bahawa ekonomi global telah pun menguncup, dengan pertumbuhan global diunjurkan menjadi negatif pada tahun ini. Keadaan kewangan juga semakin ketat dalam keadaan peningkatan penghindaran risiko serta ketidakpastian,” kata BNM.

Ini merupakan paras OPR terendah dalam tempoh 10 tahun, dengan kali terakhir diturunkan sebanyak 2.0 peratus adalah pada Februari 2010.

Susulan keputusan yang dibuat hari ini, OPR telah dikurangkan sebanyak 100 mata asas dengan itu menyokong langkah-langkah monetari dan kewangan BNM yang lain serta langkah-langkah fiskal pada tahun ini.

“Kesemua langkah ini akan mengurangkan kesan ekonomi ke atas sektor perniagaan dan isi rumah serta menyokong kegiatan ekonomi untuk menjadi bertambah baik,” kata bank pusat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah susulan sentimen bercampur-campur

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Bursa Malaysia dibuka dengan sentimen bercampur-campur hari ini ketika jangkaan kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan satu lagi penurunan Kadar Dasar Semalaman bagi menangani pertumbuhan ekonomi yang perlahan, terus mempengaruhi pasaran.

Pada jam 9.09 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.25 mata kepada 1,536.91 daripada 1,539.16, semalam selepas dibuka 0.44 mata lebih rendah kepada 1,538.72 pagi ini.

Namun, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 155 berbanding 120 manakala 205 lain tidak berubah, 1,498 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 154.88 juta saham bernilai RM83.68 juta.

Mengulas perkembangan itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata Bursa Malaysia tidak terkecuali daripada aktiviti jualan selepas BNM memberi bayangan mengenai kemungkinan penurunan Kadar Dasar Semalaman atau OPR dilaksanakan tidak lama lagi selain faktor peningkatan bilangan mangsa COVID-19 yang mungkin menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Rentetan laporan negatif yang ketara, sentimen pasaran diunjur terus negatif dengan dagangan minggu ini ditutup lebih rendah. Keadaan itu boleh mengheret bursa tempatan ke arah tahap 1,535, dengan sokongan utama seterusnya terletak di tahap 1,515. Sebarang pemulihan yang berlaku akan menyaksikan peningkatan terhad pada paras rintangan 1,555.

“Walaupun FBM KLCI lemah, saham-saham berharga rendah sebaliknya terus memaparkan daya tahan berikutan aktiviti belian secara bergilir-gilir. Pada masa sama, kami turut melihat minat dagangan yang ketara terhadap sektor pembinaan berikutan laporan Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura mungkin disambung semula,” katanya.

Sementara itu, saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia menyaksikan Maybank rugi tiga sen kepada RM8.43, Tenaga untung dua sen kepada RM12.60, Tenaga turun 14 sen kepada RM17.66 dan Petronas Chemicals susut tiga sen kepada RM6.47.

Bagi saham aktif, Ekovest naik 1.5 sen kepada 76 sen manakala Securemetric dan Netx Holdings masing-masing tidak berubah pada 15 sen dan dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 5.59 mata kepada 11,018.30, Indeks FBM Emas Shariah naik 4.20 mata kepada 11,831.48 dan Indeks FBMT 100 turun 5.79 mata kepada 10,807.16.

FBM 70 meningkat 33.43 mata kepada 14,040.93 dan FBM Ace menokok 5.17 mata kepada 5,619.33.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.12 mata kepada 146.19, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 36.56 mata kepada 14,539.90 dan Indeks Perladangan menambah 24.14 mata kepada 7,315.29.

-BERNAMA