Categories
SELANGOR

2 hari menggigil takut tayar lori ‘terbang’ lagi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PAYA JARAS, 14 MAC: Empat sekeluarga trauma tinggal di rumah sendiri selepas tayar sebuah trak tentera ‘terbang’ menghentam bumbung rumah mereka di Kampung Seri Indah B, pada 11 Mac lalu.

Tayar trak yang sedang ditunda itu terjatuh ketika kenderaan terbabit melalui lebuh raya milik Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang berkedudukan lebih tinggi terletak kira-kira 20 meter di belakang rumah berkenaan.

Penghuni terbabit, Sharifol Sharif, 53, ketika menceritakan semula kejadian berkata, tayar itu jatuh betul-betul di bahagian dapur ketika empat anaknya sedang makan tengah hari sebelum ke sekolah.

20150313_165940“Masa itu, saya sedang menghantar murid sekolah. Isteri saya kata tayar itu berdentum kuat, terpelanting betul-betul di tempat anak saya tengah makan di bawahnya.

“Nasib baik bumbung baru tukar. Kalau bumbung lama, tayar itu memang boleh bolos dan jatuh atas anak saya.

“Selepas kejadian itu, isteri dan anak saya trauma teruk. Mereka menggigil dua hari terutama setiap kali mendengar bunyi lori di lebuh raya sebelah,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Sharifol berkata, peristiwa itu adalah kejadian kedua yang berpunca daripada kenderaan yang melalui lebuh raya berhampiran itu.

Katanya, kejadian pertama berlaku kira-kira dua tahun lalu melibatkan sebuah lori membawa konkrit MRT seberat 60 tan terbabas dan menjunam ke atas rumah jirannya yang terletak selang tiga buah.

20150313_165952“Masa saya bina rumah kira-kira 20 tahun lalu, lebuh raya ini tak ada. Selepas beberapa tahun barulah ia dibina,” katanya.

Sementara itu, Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, sehingga kini Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan PLUS belum mengambil sebarang tindakan walaupun pernah datang melawat tahun lalu.

“Seharusnya, LLM dan PLUS membina tembok perlindungan atau langkah keselamatan lain untuk melindungi sembilan kediaman yang terletak di kawasan lebih rendah berhampiran lebuh raya itu,” katanya.

-NFN-