Categories
SELANGOR

Paip bocor punca gangguan air di Shah Alam, Klang

SHAH ALAM, 26 JUN: Gangguan bekalan air di 31 kawasan sekitar Shah Alam dan Klang sejak awal pagi tadi berpunca daripada kebocoran paip utama berhampiran Dataran Automobil di Seksyen 15, di sini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata kebocoran paip utama bersaiz 1,050mm itu mengakibatkan pengurangan air 70 juta liter sehari ke Kolam Air Lipat Kajang.

“Gangguan bekalan air tidak berjadual itu dikesan berpunca dari kerja-kerja pihak ketiga sehingga menyebabkan 99,454 pengguna terjejas.

“Kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan dengan segera dan pihak kami menyasarkan kerja-kerja pembaikan disiapkan dalam tempoh 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara kawasan yang terjejas ialah Ambang Botanik, Johan Setia, Taman Klang Jaya, Bayu Perdana, Kem Rimba dan Persiaran Raja Muda Musa.

Katanya untuk sebarang pertanyaan dan maklumat terkini, pengguna boleh menghubungi Air Selangor di 15300 atau layari laman sesawang www.syabas.com.my.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Tumpu isu paip pecah di Bukit Gasing

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 JAN : Pengurusan Sumber Air Selangor (JPK-SAS) disaran memberi tumpuan terhadap isu pembaikan masalah paip pecah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing.

Ahli Dewan Negeri kawasan itu, Rajiv Risyakaran berkata, sekurang-kurangnya 30 lokaliti spot paip pecah berterusan dikenalpasti di kawasan itu.

“Saya menerima rungutan penduduk terutamanya di kawasan SS14 membabitkan masalah paip pecah di kawasan penempatan itu.

“Bayangkan masalah berterusan ini terus berlaku dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada imej pentadbiran negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Jawatakuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Negeri Selangor (JPK-SAS), di Bangunan Annexe, pagi tadi.

Sebelumnya, Pengurus Operasi Air Selangor, Ir Abas Abdullah berkata, 84 hotspot melibatkan paip sepanjang 425.7 kilometer (km) dikenalpasti untuk tujuan penggantian paip seluruh negeri.

Beliau berkata, pembaikan itu dilaksanakan dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM248.7 juta bagi tempoh 2016 hingga 2019.