Categories
NASIONAL

PKR: Musuh kita hanya Umno-BN

Oleh : AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 6 SEP: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengulangi pendirian untuk terus bekerjasama dengan semua parti politik sealiran dalam usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali menegaskan, komitmen membawa perubahan kepada negara itu sudah diulang berkali-kali seperti yang disebut Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

MB Azmin“PKR akan bekerjasama dengan semua parti yang komited dengan agenda bersama untuk membawa perubahan dalam negara.

“Kalau ada mana-mana pihak pihak termasuk PAS sealiran dan komited dengan agenda bersama Pakatan Rakyat (Pakatan), sudah tentu kita akan bekerjasama dengan mereka.

“Ini kerana , musuh utama kita hanyalah Umno-BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0 yang didakwa akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, timbul spekulasi penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 tanpa penglibatan PAS ekoran pergeseran dengan DAP hingga mengakibatkan masing-masing memutuskan hubungan kerjasama.

PAS bagaimanapun berpendirian untuk terus kekal bersama Pakatan walaupun DAP beranggapan gabungan berkenaan sudah terkubur.

-NR-