Categories
NASIONAL

PKR: Musuh kita hanya Umno-BN

Oleh : AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 6 SEP: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengulangi pendirian untuk terus bekerjasama dengan semua parti politik sealiran dalam usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali menegaskan, komitmen membawa perubahan kepada negara itu sudah diulang berkali-kali seperti yang disebut Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

MB Azmin“PKR akan bekerjasama dengan semua parti yang komited dengan agenda bersama untuk membawa perubahan dalam negara.

“Kalau ada mana-mana pihak pihak termasuk PAS sealiran dan komited dengan agenda bersama Pakatan Rakyat (Pakatan), sudah tentu kita akan bekerjasama dengan mereka.

“Ini kerana , musuh utama kita hanyalah Umno-BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0 yang didakwa akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, timbul spekulasi penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 tanpa penglibatan PAS ekoran pergeseran dengan DAP hingga mengakibatkan masing-masing memutuskan hubungan kerjasama.

PAS bagaimanapun berpendirian untuk terus kekal bersama Pakatan walaupun DAP beranggapan gabungan berkenaan sudah terkubur.

-NR-

MB : “Tiada syarat jika kalah pemilihan parti perlu letak jawatan”

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan berundur sebagai orang nombor satu di negeri itu walaupun didesak pelbagai pihak.

Abdul Khalid berkata demikian bagi mengulas jika beliau kalah dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi merebut jawatan Timbalan Presiden.

Katanya, tidak ada syarat mengatakan jika kalah dalam jawatan parti maka seseorang itu perlu meletak jawatan.

MB:Tiada pemberhentian kakitangan SYABAS

Sinopsis

FOKUS Untuk 087112013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Tidak ada pemberhentian kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) jika proses pengambilalihan syarikat konsesi itu berjaya diselesaikan, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

2. Kerajaan negeri bakal membangunkan semula sungai Klang termasuk pembersihan dan penaiktarafan akan dimulakan, pada Mac 2014.

3. Kerajaan Pusat didakwa terus bersikap boros apabila berbelanja hampir RM182 juta setahun untuk kos bahan api dan penyelenggaraan tujuh buah pesawat eksekutif (VVIP) dalam setiap urusan rasmi kerajaan.

4. Sistem pesanan ringkas (SMS) ‘menyeru’ pengundi memilih PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sebagai ‘tiket ke syurga’ sebenarnya bukan dihantar jentera pilihan raya PAS tetapi sebaliknya dihantar Barisan Nasional (BN).

5. Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak beretika dua pemimpin PKR dari Sabah yang bertindak meninggalkan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu, baru-baru ini.

Impi urus Lynas, gagal selia empangan

tnb chang lih kangSHAH ALAM 24 OKT: Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan kegagalan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyediakan sistem amaran awal yang secukupnya sebelum membuka pintu empangan hingga mengakibatkan kejadian banjir kilat di Cameron Highland, awal pagi semalam.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Chang Lih Kang, berkata beberapa penduduk memaklumkan siren amaran yang dibunyikan TNB tidak berapa jelas kedengaran disebabkan bunyi hujan, pada awal pagi semalam.

Katanya, tambah memburukkan siren itu hanya dibunyikan kira-kira 10 hingga 15 minit sebelum pintu empangan hidroeletrik Sultan Abu Bakar dibuka menyebabkan ramai penduduk tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyelamatkan diri.

“Penduduk yang saya temui menyalahkan TNB kerana tidak memberi notis, manakala siren yang dibunyikan pula terlalu singkat hingga mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyelamatkan diri.

“Ada juga yang memberitahu saya, mereka tidak dengar siren yang dibunyikan pada awal pagi itu kerana hujan lebat malam tadi (kelmarin). Kerajaan harus serius dalam hal ini, jika empangan tidak boleh diurus, bagaimana isu seperti Lynas ingin diselia,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes banjir kilat di Cameron Highland apabila TNB membuka pintu empangan hidroeletrik berkenaan hingga menyebabkan kira-kira 80 rumah di pinggir Sungai Bertam dilanda arus deras, awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, Lih Kang mendakwa sekurang-kurangnya tiga maut, manakala seorang lagi mangsa masih belum ditemui.

Lih Kang yang melawat ke tempat kejadian pagi semalam, turut menuntut supaya satu jawatankuasa siasatan bebas ditubuhkan bagi mengenalpasti punca kejadian, sekali gus memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Ini kejadian yang sangat menyedihkan, PKR akan bertemu penduduk untuk melihat apa bantuan yang boleh kita salurkan kepada keluarga terjejas. Saya menganggarkan kerugian tinggi terpaksa ditanggung keluarga terbabit berdasarkan kemusnahan harta benda,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Ahli akademik: Kemenangan pemimpin terpalit skandal petanda Umno hidapi sindrom beku, jumud

Dr-Maszlee

SHAH ALAM, 13 OKT: Kemenangan pemimpin terpalit skandal dana awam dan politik wang dalam Pemilihan Umno 2013 menunjukkan ahli parti itu tidak menganggap perbuatan salahguna kuasa dan rasuah sebagai satu dosa, sebaliknya menganggapnya sebagai hak pemimpin mereka.

Menurut pengananalis politik, Dr Maszlee Malik, kemenangan pemimpin dari golongan itu sekaligus membuktikan Umno bukan sahaja masih takut hendak berubah, malah turut dilanda sindrom beku dan jumud.

“Masalahnya mereka tak anggap rasuah itu sebagai rasuah tetapi anggap sebagai hak pemimpin Umno dan mana-mana Menteri dan ini menyebabkan pemimpin terus bertindak sewenang-wenangnya.

“Mereka sudah selesa dalam keadaan ini, jadi mengapa mereka perlu berubah?” Soal pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu ketika dihubungi TV Selangor.

Dr Maszlee menambah, Umno turut berhadapan isu ketandusan pemimpin yang mampu menongkah arus yang mempunyai visi jelas dan berani bagi membawa Umno keluar dari acuan politik lapuk serta masalah rasuah.

“Pemilihan Umno ini tidak mempunyai sebarang signifikan, malah masih berada di takuk lama, tak nak berubah kerana takut berubah, ketandusan pemimpin yang mempunya visi yang jelas dan berani menongkah arus seperti pemimpin Umno dahulu sebab itu kita Umno dianggap masih menghidapi sindrom beku dan jumud,” kata beliau lagi.

Selain itu, Umno juga dikatakan gagal meletakkan wanita sebagai salah satu komponen penting bagi memperjuangkan isu kebajikkan rakyat dan wanita khususnya.

Ini berbeza dengan pendekatan parti lain yang berjaya meletakkan wanita sebagai salah seorang pemimpin tertinggi mereka sepertimana Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah Anwar sebagai Presiden dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Dalam Umno, wanita hanya disempitkan dalam Wanita Umno dan Puteri Umno sahaja, lain dalam parti politik lain yang wanitanya boleh sampai ke Naib Presiden.

“Wanita berkaliber pun kebanyakkannya memilih tidak bersama Umno atau kalau bersama Umno sekadar mengikut arus yang ada,” ujar Dr Maszlee lagi.

 

Categories
NASIONAL

PKR tubuh pusat latihan Reformasi untuk anak muda

AMK baru

PETALING JAYA 20 SEPT: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini melancarkan pusat latihan yang dikenali Dewan Reformasi, Demokrasi dan Upaya Masyarakat (Centre for Reform, Democracy and Social Initiatives) atau Reformasi.

Majlis pelancaran di sebuah hotel di Petaling Jaya jam 3 petang ini bakal disempurnakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin utama, antaranya  Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua serta pimpinan PKR seluruh negeri turut hadir  memeriahkan majlis itu.

Visi utama penubuhan pusat latihan ialah untuk memimpin dan membina Malaysia yang adil dan saksama melalui kuasa rakyat.

Pengarah pusat latihan itu ialah Nurul Izzah manakala Pengarah Eksekutif adalah Dr Edmund Santhara.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Syabas diheret ke Tribunal Tuntutan Pengguna -FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 11092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) diheret ke Tribunal Tuntutan Pengguna kerana didakwa gagal menguruskan bekalan air dengan baik sehingga menjejaskan penduduk sekitar Lembah Klang.

2. Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan kebimbangan penurunan kedudukan universiti-unversiti awam negara dalam senarai kedudukan universiti dunia, Quacquarelli Symonds World University Ranking 2013.

3. Kerajaan Negeri Selangor membelanjakan RM984 juta dari Mac 2008 hingga Mei 2013 bagi melaksanakan program dan dasar yang terangkum dalam Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

4. Menteri Kerajaan Pusat yang menghantar anak-anak mereka belajar di luar negara menunjukkan krisis keyakinan yang serius terhadap pelan pendidikan Malaysia.

5. Tindakan keatas premis-premis perniagaan yang melanggar undang-undang di Jalan Teratai, Klang akan diteruskan ke fasa kedua, tegas Pemangku Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ehsan Mukri.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR lancar kaji selidik profail peminjam PTPTN

rafizi ptptn

PETALING JAYA, 22 OGOS: Parti Keadilan Rakyat (PKR) merintis jalan memahami masalah peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan melancarkan satu kaji selidik keberhutangan golongan itu.

Kaji selidik ini wajar disertai semua peminjam PTPTN dengan mengisi satu borang kajiselidik yang boleh dicapai di laman www.siasatptptn.wordpress.com yang akan disebarkan melalui laman sosial dan blog.

Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, keputusan kajian ini akan dibentangkan dalam satu perjumpaan ‘tweetup#PTPTN’ yang akan diadakan 29 Ogos ini, jam 8.30 malam di Perpustakaan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya.

“Semua peminjam, aktivis anti-PTPTN dan pemimpin masyarakat turut dijemput hadir dalam ‘tweetup’ yang bertujuan menyusun gerakan anti-PTPTN dalam sebuah pertubuhan rasmi yang lebih tersusun.

“Sudah masanya peminjam-peminjam PTPTN membentuk satu pertubuhan lobi yang berpengaruh supaya mana-mana pihak berunding dengan mereka terlebih dahulu sebelum membuat cadangan, bagi mengelak berulangnya peristiwa cadangan penyenaraian Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam PTPTN,” kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di sini pagi tadi.

Rafizi berkata, sebelum ini Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memaklumkan sebarang kajian khusus untuk memahami apakah faktor yang menyebabkan majoriti peminjam PTPTN menghadapi kesukaran membayar pinjaman PTPTN.

Antara faktor penting yang perlu dikaji sebelum satu langkah tersusun yang tepat dapat diambil seperti, profil pendapatan bersih peminjam-peminjam PTPTN, profail kejayaan mendapat perkerjaan yang setaraf dengan kelulusan atau jurusan dan profail kualiti IPTS yang membawa kesan kepada kemampuan seorang pemegang ijazah mendapat kerja.

Mengulas cadangan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh untuk menyenaraikan nama peminjam PTPTN ke dalam CCRIS, Rafizi berkata cadangan tersebut menunjukkan bahawa Kerajaan BN begitu terpisah dengan realiti kepayahan hidup golongan muda yang dibebankan hutang PTPTN.

“BN tidak pernah berminat mendalami masalah keberhutangan golongan muda ini dan mengambil pendekatan kasar dengan memukul rata kononnya semua peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran tidak bersyukur dan tidak bertanggungjawab.

“PKR menggesa Datuk Seri Idris Jusoh supaya tidak lagi memandai-mandai mengumumkan langkah baru menekan peminjam PTPTN sehinggalah maklumat ini dikaji sepenuhnya dan dibentangkan di parlimen,” ujar Rafizi lagi.

Terdahulu pengumuman Idris untuk menyenaraikan nama peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman PTPTN di bawah CCRIS mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk pemimpin Pakatan.

Terdesak selepas menerima asakan teruk, Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam menolak cadangan tersebut.
– mza

Categories
NASIONAL SELANGOR

Caj bulanan jangka digital TNB tinggi, PKR lancar web ‘Check Your TNB Meter’ – KEMAS KINI

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

PETALING JAYA 16 OGOS: Ketepatan jangka elektrik digital yang baru diperkenal Tenaga Nasional Berhad (TNB) diragui berikutan caj bulanan terhadap pengguna, tinggi, kata Datuk Chua Jui Meng.

Pada sidang media di ibu pejabat, petang ini, Naib Presiden PKR itu berkata, ia berikutan aduan orang ramai terhadap jangka elektrik baru berbanding sebelumnya.

Justeru, katanya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) melancarkan laman web ‘Check Your TNB Meter’ bagi memberi tekanan kepada TNB dan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk mewujudkan badan bebas memeriksa jangka elektrik digital itu.

Beliau mempelawa orang ramai melawati laman web www.checkyourtnbmeter.com dan menandatangani petisyen secara atas talian bagi menyuarakan bantahan.

“Sasaran kami ialah mencapai 10,000 tandatangan dan menyerahkan petisyen kepada TNB dan ST bagi mewujudkan sebuah badan bebas itu.

“Kami mahu kebenaran didedah, adakah jangka digital baru rosak atau tepat? Jika rosak, pengguna boleh menuntut bayaran balik daripada TNB.

“Jika tepat, pengguna boleh belajar untuk menguruskan penggunaan tenaga mereka dengan lebih cekap,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Khas bagi menangani isu itu.

Bercakap kepada TV Selangor, Wong Chen berkata, lebih 1,000 aduan diterima penduduk Kelana Jaya berkaitan masalah itu.

“Secara purata, peningkatan caj bulanan ialah 15 peratus. Ada yang sebelum ini tidak dicaj tetapi bila tukar jangka baru, meningkat kepada RM90,” katanya.

TNB menukar jangka elektromekanikal kepada jangka digital sejak 2011 bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard Tenaga yang menetapkan supaya jangka elektromekanikal ditukar setiap 15 tahun dan jangka digital setiap 10 tahun.

Sehingga kini, TNB gagal mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi aduan berkenaan.

-FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selepas Anwar kecam mahkamah, petisyen Parlimen Kota Marudu dibicara

anwar-pc-2013

SHAH ALAM 14 OGOS: Hanya selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat ‘bising’ apabila mengecam penolakan petisyen keputusan pilihan raya, barulah kes yang dibawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibicarakan.

N Surendran, berkata perkembangan itu diyakini berikutan kecaman Anwar yang menyifatkan keputusan mahkamah berkaitan petisyen pilihan raya sebagai memberi gambaran yang jelek.

Naib Presiden PKR itu merujuk keputusan Mahkamah Pilihan Raya hari ini yang menerima petisyen kerusi Parlimen Kota Marudu untuk dibicarakan, dua hari selepas sidang media Ketua Umum PKR.

Ahli Parlimen Padang Serai itu berharap lebih banyak petisyen yang difail Pakatan Rakyat dibicara dalam Mahkamah Pilihan Raya kerana yakin kebanyakan kes itu, kukuh.

“Kita harap akan ada perubahan selepas ini dibuat oleh institusi kehakiman kerana petisyen dibuat dengan disertai dengan bukti menyakinkan.

“Sepatutnya ia didengar dan tidak ditolak begitu sahaja,” katanya kepada TV Selangor, petang ini.

Mahkamah Pilihan Raya membenarkan petisyen PKR untuk kerusi Parlimen Kota Marudu dibicara – pertama kali untuk kerusi yang dimenangi BN pada pilihan raya umum ke-13.

Kerusi itu dimenangi calon BN dari PBS, Datuk Dr Maximus Ongkili yang mengalahkan calon PKR, Datuk Maijol Mahab dan dua calon lain.

Ongkili menang dengan majoriti 842 undi selepas memperoleh 15,168 undi berbanding Maijol (14,326), Majamis Timbong (2,228 undi) dan Yuntau Kolod (444 undi).

Ini petisyen kedua yang diterima mahkamah untuk dibicara selepas melepasi peringkat pertama.

Sebelum ini, hakim sama membenarkan petisyen yang dibawa BN terhadap calon PKR, Datuk Seri Panglima Lajim Ukim untuk kerusi DUN Klias di Sabah.

Categories
NASIONAL

Mantapkan Ilmu Politik Mahasiswa Dipelawa Sertai KEIP

Nurul_Izzah_01-WEB BARU

PETALING JAYA 4 JUN : PKR mengalu-alukan mahasiswa Malaysia memohon menyertai program Keadilan Executive Internship Program (KEIP) yang akan diadakan selama lima minggu.

Program yang akan bermula pada 26 Jun hingga 2 Ogos itu mengandungi enam modul berkaitan politik.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata KEIP mengambil modul yang digunakan oleh parti politik ternama dunia seperti Parti Demokrat yang menyediakan program tersusun.

Katanya, antaranya modul-modul untuk melatih dan memberi pendedahan kepada peserta mengenai ilmu dan pengalaman politik, pembangunan dasar, daya kepimpinan, etika media dan lain-lain.

“Ia dikhususkan kepada mahasiswa Malaysia di seluruh dunia dari apa jua latar belakang pendidikan yang berminat mengenai politik dan mahu mengetahui selok belok perjalanan pentadbiran parti dan wakil rakyat.

” Di akhir program, setiap kumpulan pelatih akan mengusahakan satu projek yang meliputi aspek politik, ekonomi dan sosial yang mempunyai kesan kepada politik negara termasuklah penganjuran program politik dan pembangunan dasar untuk PKR,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Antaranya kandungan modul itu ialah Kempen Pilihan Raya ; Sidang Parlimen ; Penyelidikan dan pembangunan dasar ; Aktivisme siswa ; Politik Akar Umbi dan Pengurusan Media.

Pelatih yang menyertai KEIP akan dibayar elaun latihan setiap bulan.

Permohonan boleh dibuat secara online di laman http://internkeadilan.org

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah Akan Saman Kerajaan Sabah, Ketua Menteri

nurul izzah KLSCAH 01

SHAH ALAM 31 MEI : MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar akan mengheret Kerajaan Sabah ke mahkamah bagi mencabar tindakannya yang menghalang beliau daripada memasuki negeri bawah bayu itu semalam.

MP Penampang, Darrell Leiking, akan mengetuai sebuah jawatankuasa guaman di Sabah untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri yang akan difailkan di Kota Kinabalu kelak.

PKR juga akan menghantar surat rasmi ke Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk mengemukakan aduan rasmi serta mendapatkan penjelasan sepenuhnya mengenai tindakan itu.

Parti itu juga akan meminta senarai nama-nama mereka yang dihalang memasuki Sabah, serta sebab-sebab mereka dihalang, kata Nurul Izzah di sebuah sidang media di sini.

“Isu keselamatan negara dan persempadanan tidak boleh sama sekali dipolitikkan.

?Tindakan menghalang saya daripada masuk ke Negeri di Bawah Bayu ini berlaku di kala Sabah berhadapan dengan kebolosan sempadan.

?Termasuklah pengeluaran kad pengenalan secara haram seperti yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Sabah.

“Seharusnya tumpuan kerajaan negeri adalah mengawal selia masalah kebolosan yang mendesak ini,

?Bukan menyalahgunakan kuasa dengan menafikan hak demokrasi dan aktiviti politik pimpinan Pakatan Rakyat demi mempertahan kedudukan UMNO mahupun BN,? kata Nurul Izzah.

Nurul Izzah ditahan di pintu masuk imegresen di Lapangan Terbang Kota Kinabalu semalam apabila beliau tiba di Sabah. Kad pengenalannya dirampas dan beliau diarah pulang.

Nurul Izzah mendakwa tindakan tersebut adalah arahan daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Beliau pergi ke Sabah bagi meraikan pesta menuai Kaamatan bersama warga tempatan yang akan berlangsung Sabtu ini.

Nurul Izzah berkata Kerajaan Sabah telah melanggar undang-undang negara kerana menghalang seorang warganegara memasuki negeri mengikut Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/1963.