Categories
SELANGOR

EXCO: Pameran Terbuka Galeri Shah Alam tingkat intelektual

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 DIS: Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA) yang kini diadakan mampu meningkatkan pemikiran intelektual dan kefahaman Seni Visual tempatan serta peringkat antarabangsa.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, aktiviti berkenaan penting sebagai bahan rujukan kepada individu, organisasi, pengumpul, pengiat seni dan pendidikan.

Katanya, menerusi perkongsian itu, ia dapat membentuk pelukis dan karyawan kreatif, produktif serta inovatif.

“Seni Visual merupakan antara faktor penting dalam usaha memperkenal dan memasarkan hasil karya tempatan.

“Program sebegini penting bagi menarik minat masyarakat tanpa mengira peringkat umur untuk menghayati hasil karya yang tersedia di tanah air kita,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian PTGSA di Galeri Shah Alam, semalam.

Pada masa sama, Abdul Rashid berkata, pameran berkenaan membawa masyarakat lebih dekat dan memahami mesej tersurat atau tersirat yang disampaikan seseorang pengkarya, pereka dan Jurufoto.

“Pameran tetap ini memberi ruang serta peluang kepada pelukis dan penggiat seni khususnya pendatang baru untuk meluahkan ekspresi, emosi, dan pengalaman menerusi arca, kanvas dan instalasi dengan menggunakan pelbagai medium,” katanya.

Categories
SELANGOR

83 karya di Pameran Terbuka Galeri Shah Alam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 DIS: Sebanyak 83 daripada 183 karya terpilih untuk dipamerkan di Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA) bermula hari ini sehingga 21 Februari tahun hadapan.

Pengarah Galeri Shah Alam, Prof Dato’ Raja Zahabuddin Raja Yaacob berkata, PTGSA merupakan sebuah pameran yang dinantikan pelukis dan pengkarya seni visual negara sejak diperkenalkan pada 1991.

Katanya, pameran kali ini menampilkan konsep ‘penjurian’ dan penyertaan adalah bebas tanpa terikat dengan tema tertentu.

“PTGSA adalah semata-mata memberi ruang dan peluang kepada pelukis serta pengkarya seni meluahkan ekspresi serta menonjolkan bakat juga kreativiti dalam semua bidang.

“Antaranya media seni visual, khusus bagi golongan muda tanpa mengira etnik atau gender,” katanya di Majlis Perasmian PTGSA, di Galeri Shah Alam, di sini.

Hadir sama, EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Seni Selangor, Musa Idris.

Pada masa sama, Raja Zahabuddin berkata, PTGSA merupakan lapangan penggiat seni baru mahupun lama berpameran sepenuh atau separuh masa dalam menyemarakkan seni visual secara individu.

“Sebanyak lima pengkarya menerima Anugerah Insentif berjumlah RM2,500 sebagai galakan dan insentif dalam menghasilkan karya terbaru serta bermutu tinggi.

“Anugerah Insentif ini bagi memastikan karya-karya tahunan semasa dan terkini adalah terbaik dan bakal menjadi dorongan kepada penggiat seni lain untuk lebih maju dalam menghasilkan seni visual,” katanya.