Categories
SELANGOR

Isu pengambilalihan SPLASH: Siapa tidak berkata benar?

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 19 NOV: Panel Penilai Air Selangor (Panel) mengesahkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menawarkan RM1.579 bilion untuk mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Katanya, nilai ekuiti ditawarkan kepada syarikat konsesi terbabit dilakukan secara bertulis, pada 2009, sekali gus menepis dakwaan mantan Menteri Besar itu bahawa jumlah ditawarkan hanya RM250juta.

Panel turut menyifatkan dakwaan Abdul Khalid bahawa Kerajaan Negeri sudah memuktamadkan dan menawarkan RM2.7 bilion kepada SPLASH sebagai tidak bertanggungjawab.

“Abdul Khalid juga mendesak supaya perbincangan pengambilalihan SPLASH dibahas di Dewan Negeri Selangor (DNS), namun beliau sendiri lupa banyak perihal tawaran dilakukan sendiri kepada semua syarikat konsesi sejak 2009, tidak langsung dibahas.

“Ia termasuk keputusan memulangkan semula “non water assets” yang dimiliki Puncak Niaga Sdn Bhd kepada Puncak Niaga Holdings Berhad, yang merupakan nilai “substantial” RM577 juta tidak langsung dirujuk kepada DNS,” katanya dalam kenyataan.

Print

Pada masa sama, Panel turut memuji tindakan Kerajaan Negeri yang melantik penilai bebas juga mendapatkan penilaian adil dan profesional berkenaan pengambilalihan SPLASH.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa menekankan terma pengambilalihan berasaskan prinsip keadilan, tidak membebankan rakyat dan pengguna.

“Panel sekali lagi menegaskan kesukaran menetapkan penentuan penilaian sama untuk mencapai keadilan buat semua pemilik konsesi ekoran pelbagai faktor perbezaan sejarah pengkorporatan dan terma konsesi.

“Panel akan terus menekankan amalan “best practice” dilaksanakan serta merujuk amalan pakar kewangan juga korporat dalam membantu Kerajaan Negeri memuktamadkan penstrukturan ini,” katanya.

Panel ditubuhkan pada 2009 berfungsi membantu Kerajaan Negeri menyempurnakan pelan Penstrukturan Industri Bekalan Air Selangor (Penstrukturan).

Panel terdiri daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Parlimen Selayang, William Leong; Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Ir Mohd Haslin Hassan dan Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad.

-AA-