Categories
SELANGOR

2,326 papa diselamatkan antara 2013-2017

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor berjaya menyelamatkan 2,326 papa antara 2013 hingga 2017 melalui operasi dijalankan.

Pengarah JKM Selangor, Hanafi Maulud berkata, jumlah itu membabitkan 1,346 pengemis warganegara asing, manakala 980 lagi pengemis tempatan.

“Kita bukan tangkap tetapi selamatkan mereka untuk dihantar ke Desa Bina Diri bagi dipulihkan sebelum dikembalikan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena program Kempen Pencegahan Pengemisan: Bijak Membantu, Elak Tertipu, di Laman Seni Seksyen 7, di sini, hari ini.

Katanya, pengemis warganegara asing pula dihantar ke Jabatan Imigresen untuk proses penghantaran pulang ke negara asal.

Menurut Statistik Operasi Orang Papa di Selangor, 271 orang diselamatkan, pada 2013 sebelum meningkat kepada 466 (2014), 521 (2015), 543 (2016) dan 525 sehingga Oktober lalu.