Categories
AGENSI SELANGOR

Pengarah JKM Selangor dinobat tokoh martabat golongan OKU

SHAH ALAM, 15 FEB: Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor Mohamad Hanafi Maulud dinobat sebagai Tokoh Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Selangor pada satu majlis di Hotel De Palma di sini hari ini.

Pernah menjadi panel utama bagi sesi pembentangan berkaitan orang kelainan upaya (OKU) Malaysia di Jepun pada 2000, Mohamad Hanafi tidak jemu membantu golongan OKU hingga mendapat tempat dalam masyarakat.

“Saya masih ingat pada sekitar tahun 1960 hingga 1970-an, ramai insan istimewa ini dibiarkan tanpa diberi bimbingan khusus. Mereka dibiar berkeliaran di jalan raya, sehingga jiran tetangga menganggap OKU seperti gangguan.

“Tetapi kini keadaan sudah berubah, dengan adanya PDK ia membantu ibu-bapa melatih anak OKU berdikari malah sudah mampu bekerja,” kata Mohamad Hanafi Maulud yang turut terlibat menubuhkan empat PDK di Johor pada 1992.

Terdahulu Mohamad Hanafi menerima sijil dan cenderamata yang disampaikan EXCO kebajikan, Dr Siti Mariah Mahmud.

Categories
SELANGOR

Pengarah JKM pernah tahan pengemis miliki simpanan RM18,000

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Golongan pengemis di negara ini mampu memperolehi pendapatan lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit tanpa berkerja keras.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Hanafi Maulud berkata, beliau sendiri pernah menahan pengemis yang memiliki wang simpanan di dalam bank berjumlah RM18,000.

“Pada 1980-an, ketika berkhidmat sebagai Pegawai JKM dan terbabit dalam satu operasi, saya memeriksa salah seorang papa yang ditahan dan mendapati dia mempunyai wang simpanan RMM18,000, sedangkan kita yang berkerja siang malam belum tentu memiliki wang simpanan sebanyak itu.

“Bayangkan jika kisah yang saya ceritakan ini berlaku pada 1980-an, bagaimana pula zaman sekaran? Sudah tentu mereka mampu memperolehi pendapatan lebih lumayan,” katanya.

Beliau berkata, golongan itu kebiasaannya hanya mahu wang tunai dan bukan bantuan dalam bentuk lain seperti makanan atau pakaian.

Pada masa sama, Hanafi turut mengingatkan orang ramai yang ingin membantu golongan tidak bernasib baik menyalurkan terus ke organisasi disahkan kerajaan.

“Biasnya bila diajak makan sudah pasti mereka (pengemis) tolak kerana hanya mahu wang.

“Orang ramai juga digalakkan bertanya soalan kepada pengemis bagi mengelakkan ditipu,” katanya.

Categories
SELANGOR

2,326 papa diselamatkan antara 2013-2017

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor berjaya menyelamatkan 2,326 papa antara 2013 hingga 2017 melalui operasi dijalankan.

Pengarah JKM Selangor, Hanafi Maulud berkata, jumlah itu membabitkan 1,346 pengemis warganegara asing, manakala 980 lagi pengemis tempatan.

“Kita bukan tangkap tetapi selamatkan mereka untuk dihantar ke Desa Bina Diri bagi dipulihkan sebelum dikembalikan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena program Kempen Pencegahan Pengemisan: Bijak Membantu, Elak Tertipu, di Laman Seni Seksyen 7, di sini, hari ini.

Katanya, pengemis warganegara asing pula dihantar ke Jabatan Imigresen untuk proses penghantaran pulang ke negara asal.

Menurut Statistik Operasi Orang Papa di Selangor, 271 orang diselamatkan, pada 2013 sebelum meningkat kepada 466 (2014), 521 (2015), 543 (2016) dan 525 sehingga Oktober lalu.