Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pasar Kajang kembali operasi, ikut SOP ketat

SHAH ALAM, 3 JUN: Pasar Kajang yang ditutup sementara bagi proses nyahkuman Mei lalu dibuka semula kepada orang ramai semalam dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Ahli Dewan Negeri Kajang Hee Loy Sian berkata hanya 30 pelanggan dibenarkan memasuki pasar pada satu-satu masa bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Pelanggan perlu mengimbas kod bar aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat), mencatat nama dan nombor telefon serta diperiksa suhu badan sebelum dibenarkan masuk.

“Bagi mengawal kesesakan di pasar, persatuan peniaga hanya membuka satu lorong masuk selain memantau penjarakan sosial satu meter dalam kalangan pelanggan,” katanya yang juga EXCO hal ehwal pengguna.

Semalam, Loy Sian bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang Dato’ Zul-Kefli @ Zulkefli Khalid meninjau keadaan pasar yang selesai menjalani proses pembersihan.

Pada 20 Mei lalu, pasar terbesar di Hulu Langat itu diarah tutup lima hari susulan lima peniaga dijangkiti Covid-19 membabitkan tiga warga tempatan dan dua lagi warga asing.

Sementara itu, Loy Sian memaklumkan tiada kes baharu Covid-19 dikesan di kawasannya selain kes diĀ  Depoh Tahanan Imigresen Semenyih dan Putrajaya membabitkan warga asing.

Categories
SELANGOR

Bekas pesakit teruja jumpa Wan Azizah di Pasar Kajang

Oleh : NURUL FARINA NAZLAN

KAJANG, 13 MAC: Lawatan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 Kajang, Wan Azizah Wan Ismail ke Pasar Kajang, hari ini dikejutkan dengan sapaan bekas pesakitnya yang teruja dapat bertemu pemimpin itu.

Salbiah Bakar, 67, berkata dia tidak menyangka dapat bertemu dengan Wan Azizah yang bertanggungjawab melakukan pembedahan ke atasnya sekitar 1980-an.

Dia yang tiba-tiba menyapa Wan Azizah kelihatan teruja sebelum memeluk pemimpin berkenaan sambil menyatakan sokongan terhadap Presiden PKR itu pada PRK yang bakal berlangsung, pada 23 Mac ini.

P1030591“Pertemuan itu sudah berlangsung sangat lama sekitar 1980-an sewaktu saya membuat pembedahan membuang batu karang di Hospital Kuala Lumpur dan ketika itu saya bertugas di Keramat.

“Tidak sangka dapat bertemu beliau lagi kerana saya tinggal di Taman Jasmin dalam kawasan ini (Kajang). Ya, saya akan memberi sokongan kepada beliau (wan Azizah) dalam PRK nanti,” katanya.

Wan Azizah kelihatan gembira dapat bertemu bekas pesakitnya itu dan mereka dilihat berbual mesra selepas disapa Salbiah dalam sesi lawatan berkenaan.