Categories
SELANGOR

Kemudahan Pasar Pagi Selayang Baru ditambah baik

SELAYANG, 24 JAN: Kemudahan lif, sistem saliran dan pengudaraan di Pasar Pagi Selayang Baru bakal ditambah baik bagi keselesaan peniaga, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata kerja itu akan dilakukan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan pemaju.

“Masalah lif dijangka diselesaikan hujung bulan ini, ia berlaku sedikit kelewatan dari jadual ditetapkan kerana kesukaran mendapatkan alat ganti.

“Saya juga meminta sistem pengudaraan diperbaiki untuk elak pasar ini panas selain masalah isu takungan air di tingkat aras bawah juga akan diselesaikan segera,” kata Amirudin selepas Program Serahan Buah Limau Dewan Undangan Negeri Sungai Tua di Pasar Pagi Selayang Baru di sini, hari ini.

Katanya lagi Kerajaan Negeri juga sedang berusaha mendapatkan tempat untuk peniaga yang tidak dapat dimuatkan dalam pasar terbabit.

“Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pun setuju tetapi dimana tempatnya nanti kita akan umumkan bulan depan selepas mendapat persetujuan semua pihak,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tua.

Categories
ADN SELANGOR

Kutipan caj parkir Pasar Pagi Selayang Baru disiasat

SELAYANG, 24 JAN: Kerajaan Negeri akan menyiasat aduan orang awam berhubung isu kutipan caj parkir yang dikenakan kepada pengunjung Pasar Pagi Selayang Baru, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya akan mendapatkan laporan berhubung isu terbabit dan mencari penyelesaian dengan segera.

“Saya sedang siasat namun difahamkan parkir itu memang diuruskan pemaju.

“Bagaimanapun, saya akan dapatkan laporan dan cari jalan penyelesaian untuk kebaikan bersama,” kata Amirudin selepas Program Serahan Buah Limau Dewan Undangan Negeri Sungai Tua di Pasar Pagi Selayang Baru di sini hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Sedia bantu peniaga Pasar Pagi Selayang Baru dapat tempat

GOMBAK, 8 SEPT: Peniaga Pasar Pagi Selayang Baru akan dibantu mendapatkan tempat di bangunan baharu yang akan dibuka tidak lama lagi, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, pihaknya sudah berulang kali mengadakan pertemuan dengan Ahli Majlis dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi membincangkan isu berkenaan.

Katanya, isu mula timbul setelah jumlah peniaga bertambah sehingga menyebabkan ada peniaga mendakwa mereka tidak mendapat tempat di pasar baharu.

“Punca masalah ini ialah reka bentuk bangunan pasar baharu yang sudah direka bertahun lamanya tidak dapat menampung jumlah peniaga, sekarang kita lihat jumlah peniaga semakin bertambah.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri ada formula sendiri dan kita akan sedaya upaya (bantu) untuk dapatkan peniaga masuk,” katanya.

Dilaporkan penduduk menggesa MPS lebih telus dalam isu agihan tapak dan pemindahan peniaga Pasar Pagi Selayang Baru ke bangunan baharu selepas hampir separuh permohonan peniaga ditolak.

Pasar Pagi Selayang Baru mampu membuatkan 400 peniaga terdiri daripada pasar ikan dan sayur, medan selera serta penjaja berpayung, sementara bangunan bertingkat bagi pasar baharu difahamkan hanya menyediakan 200 petak.

Peniaga juga meluahkan rasa tidak puas hati apabila nama mereka yang berniaga bertahun lamanya di pasar itu tercicir.