Categories
SELANGOR

Pasumi 3.0 terus bantu mangsa banjir Kelantan

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA KRAI, 17 MAC: Pasukan Sukarelawan Misi Banjir Inpens (Pasumi) 3.0 digerakkan Inpens International College (Inpens) untuk terus membantu mangsa banjir di daerah Kuala Krai, Kelantan.

Pengurus Komunikasi Korporat Inpens merangkap Ketua Pasumi 3.0, Jefri Mejan berkata, misi terbabit bertujuan meringankan beban ditanggung mangsa yang masih lagi terkesan dengan musibah banjir, pada Disember lalu.

“Selepas Pasumi 1.0 dan 2.0, kita meneruskan misi ini dalam bentuk sumbangan seperti menyiapkan pendawaian elektrik dan servis penghawa dingin di Kampung Guchil dan Kampung Siam di daerah ini.

pasumi03“Ia membabitkan tiga rumah di setiap kampung dan kerja dijalankan dua hari,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Seramai 52 peserta termasuk 41 pelajar Inpens menyertai Pasumi 3.0 yang mendapat kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI); Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI, Mohd Jaafarudin Md Ali berkata, ia salah satu program kebajikan dan kemasyarakatan dijayakan sebagai tanda simpati kepada mangsa banjir.

pasumi01“Kita datang ke sini menghulurkan bantuan MBI bagi mengurangkan beban mereka. Semoga ia bukan misi terakhir dan MBI bersama Inpens akan berganding bahu dalam misi seterusnya,” katanya.

Pengarah Majlis Tindakan Dun Guchil, Zulkifli Yaakob merakamkan penghargaan terhadap usaha Pasmi 3.0 bagi membantu semua mangsa berkenaan.

“Alhamdulillah dengan bantuan diberikan memberi manfaat kepada mangsa walaupun dibuat dalam masa singkat tetapi ia banyak membantu,” katanya.

-NFN-