Categories
NASIONAL SELANGOR

Jumpa PBT, Pejabat Tanah Mahu Selesai Rumah Ibadat Bukan Islam

SHAH ALAM, 21 NOV : Kerajaan Negeri menetapkan untuk mengadakan pertemuan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah bagi menyelesaikan isu pembinaan rumah ibadat bukan Islam di atas tanah rizab negeri.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, pertemuan yang diadakan empat kali setahun itu turut membincangkan proses yang perlu dilaksanakan bagi mengelakkan masalah sama berulang lagi.

Beliau berkata, kebanyakan rumah ibadat bukan Islam itu dibina atas peluang yang diberikan oleh Kerajaan Umno-BN semasa pemerintahan terdahulu.

“Sejak 2008, kita keluarkan satu syarat kepada semua PBT dan Pejabat Tanah supaya tidak membenarkan mana-mana rumah ibadat dibina tanpa kelulusan jawatankuasa mahupun ahli majlis.

“Untuk rumah ibadat bukan Islam yang dibina di atas tanah persendirian, kita perlu lihat ‘zoning’ dan keluasan kawasan itu dan meminta jawatankuasa atau ahli majlis untuk pantau keadaan tempat masing-masing. Setiap kawasan ada keutamaan. Kita kena ambil perhatian dan sensitiviti penduduk sebelum membuat sesuatu tindakan.

“Saya tidak katakan kita langsung tidak boleh tukar syarat-syarat tanah yang diminta tetapi ada cara dan prosesnya untuk kita lakukan,” katanya semasa menjawab soalan tambahan daripada Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang).

Katanya lagi, bermula pada tahun 2008 hingga kini, sebanyak 24 lot tanah rizab rumah ibadat selain Islam diwartakan dengan keluasan 35845.843 meter persegi.

Antara kawasannya ialah di Hulu selangor (1), Hulu Langat (4), Kuala Selangor (2), Petaling Jaya (2), Sepang (1),, Kuala Langat (1), Gombak (4) dan Klang (9).

Tegasnya, Kerajaan Negeri juga tidak sewenang-wenangnya membuat tindakan menyahwarta atau merampas tanah rizab, sebaliknya melakukannya mengikut prosedur yang ditetapkan di bawah seksyen 64 kanun tanah negara.

“Proses dan prosedur bagi membatalkan perizaban adalah dengan mengemukakannya di setiap pejabat tanah dan daerah di bawah bahagian perundangan. Kertas-kertas usul bagi cadangan pembatalan rizab ini akan diangkat kepada Menteri Besar untuk pertimbangan menurut perwakilan kuasa 1984 oleh pihak berkuasa negeri.

“Seterusnya siasatan akan dijalankan dengan kehadiran pegawai dan agensi berkaitan dan barulah pembatalan akan diteruskan berkuatkuasa dari tarikh warta pembatalan itu disiapkan,” katanya lagi.