Categories
SELANGOR

Bahasa isyarat warnai musabaqah murid pekak kebangsaan 2014

Oleh: HAFIZAN TAIB

BANGI, 13 OKT: Musabaqah Tilawah Al-Quran Murid Pekak 2014 peringkat kebangsaan kali kedua yang berlangsung di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) menampilkan kelainan apabila semua peserta menyampaikan bacaan ayat suci Al-Quran menggunakan bahasa isyarat.

Persembahan anak istimewa itu jelas menghadirkan perbezaan berbanding program musabaqah tilawah Al-Quran yang biasa ditonton masyarakat dengan qari duduk di astaka sambil mengalunkan suara membaca Al-Quran selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Oktober lalu.

Musabaqah anjuran Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan Faqeh) dengan kerjasama KUIS dan Centre of Quranic Research (CQR) disertai kira-kira 200 peserta dan pegawai dari 13 sekolah pendidikan khas seluruh negara dalam beberapa kategori pertandingan iaitu tilawah Al-Quran, hafazan dan nasyid.

pekak3Pengerusi Yayasan Faqeh, Mohd Zaini Mat Abas berkata, musabaqah bagi murid pekak itu menggunakan bahasa isyarat kerana ia digunakan untuk berinteraksi dan membolehkan mereka berkomunikasi dengan orang lain, yang mana bahasa berkenaan menjadi medium yang membuka peluang bagi mereka belajar seperti kanak-kanak tipikal di sekolah.

“Murid pekak yang menyertai musabaqah sudah mendapat pendedahan kepada Kaedah Fakih iaitu kaedah berkesan menggunakan nombor dan warna. Kaedah Fakih juga digunakan untuk mengajar murid pekak yang terbabit dalam Projek Rintis Fakih membaca Al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, matlamat yayasan adalah untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa, guru, masyarakat dan institusi berwajib berkenaan kepentingan pendidikan Al-Quran serta ibadah bagi anak istimewa.

Katanya, program musabaqah itu diharap dapat melenyapkan tanggapan bahawa anak istimewa tidak perlu diberi pendidikan Al-Quran.

“Komuniti muslim Malaysia atau di benua lain sedikit terkebelakang dalam memenuhi keperluan individu istimewa dalam masyarakat. Antara contoh yang paling jelas buat masa ini hanya ada satu program dakwah di media elektronik yang mendapat khidmat jurubahasa isyarat untuk memudahkan kefahaman orang pekak iaitu program 30 Minit Bersama Ustaz Don. Ini lebih malang apabila golongan pekak ini seperti tidak diraikan di dalam khutbah Jumaat,” katanya.

pekak4Pengasas Kaedah Fakih, Ustazah Nor ‘Aziah Mohd Daud berkata, ramai masih kurang peka berkenaan keperluan individu pekak berupaya untuk menghayati Al-Quran.

“Orang pekak sama sahaja seperti kita. Mereka juga mengalami masalah sama, bahkan lebih banyak lagi. Al-Quran sememangnya adalah syifa’ (penawar) dan dapat memberi ketenangan apabila jiwa dirundung gelisah.

“Yang pasti, mukjizat Al-Quran ini bukan sekadar untuk dinikmati orang tipikal sahaja. Banyak masalah individu istimewa khususnya golongan pekak yang boleh diselesaikan dengan Al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Yayasan Faqeh yang juga Rekotr KUIS, Profesor Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri berbesar hati kolej terbabit menjadi tuan rumah dan berharap supaya program itu menjadi acara tahunan untuk peringkat kebangsaan seta diperluaskan ke peringkat antarabangsa.

Majlis itu turut dihadiri Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Muhammad Al-Bakri dan Ketua CQR Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr M Y Zulkifli Mohd Yusoff.

-NFN-