Categories
SELANGOR

Pelan Pengangkutan Awam Selangor lengkapkan ‘lompong’ SPAD

Oleh : AFEEQA AFEERA

KLANG, 22 JAN: Cadangan Pelan Induk Pengangkutan Awam negeri akan melengkapkan pelan disediakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, IKS dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim, berkata ia susulan perancangan Kerajaan Persekutuan hanya menumpukan pengangkutan awam ke Kuala Lumpur.

“Apa yang kita nampak laluan itu hanya menumpukan masalah lalu lintas di ibu kota, tetapi apa manfaat untuk Selangor? Itu tidak diambil kira.

yb teng 1“Jadi, kita mahu sambungkan laluan pengangkutan awam merangkumi Mass Rapid Transit (MRT), Aliran Transit Ringan (LRT) dan komuter terus ke Klang.

“Cadangan kita adalah seperti jejari atau bulatan untuk manfaat rakyat, contohnya mereka tidak perlu tukar komuter beberapa kali hanya untuk sampai ke Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Dialog Pelan Induk Pengangkutan Awam Selangor di Dewan Hamzah, di sini pada 20 Januari lalu.

Ia bertujuan memberi penerangan jelas kepada masyarakat berkenaan projek pengangkutan awam yang sedang dirancang Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, Chang Khim, berkata Kerajaan Negeri bercadang membina beberapa rel komuter baru sepanjang 175 kilometer daripada pelbagai kawasan terus ke Pelabuhan Klang.

Manakala bagi MRT, katanya, laluan sepanjang 76 kilometer dicadangkan untuk menyambung perkhidmatan sedia ada supaya ia memberi manfaat kepada penduduk di Petaling Jaya dan Ampang Jaya.

“Kita juga mencadangkan laluan LRT dari Klang ke Shah Alam, termasuk sambungan ke Gombak, Selayang dan Kepong serta sambungan Shah Alam ke Putrajaya.

“Perkhidmatan ini perlu lengkap supaya destinasi dari satu tempat ke tempat lain lebih dekat dan memudahkan pengguna,” katanya.

-AA-

Pelan Induk Pengangkutan kaji sistem lalu lintas Petaling Jaya

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam usaha merangka Pelan Induk Pengangkutan yang akan mengkaji sistem pengangkutan dan lalu lintas secara holistik di kawasan terbabit.

Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad, berkata pelan itu akan mengambil kira hubungan antara perancangan guna tanah, sistem rangkaian jalan raya, sistem berasaskan rel dan pengurusan lalu lintas serta pengangkutan awam.

Katanya, selain itu, pelan terbabit juga termasuk sistem letak kenderaan, isu pergerakan kenderaan perdagangan dan isu perlepasan karbon dioksida daripada sistem pengangkutan.