Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Juwairiya: Rangka pelan strategik bantu pelancongan Kuala Selangor

SHAH ALAM, 3 JUN: Kerajaan Negeri perlu merangka pelan strategik bagi membantu pengusaha pusat pelancongan di Kuala Selangor yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata kebanyakan mereka hilang sumber pendapatan sekali gus tidak mampu menampung bayaran gaji pekerja.

“Sudah tiba masa Kerajaan Negeri memikirkan pelan atau inisiatif bagi membantu pengusaha ini kerana sektor pelancongan juga punca ekonomi utama di Kuala Selangor,” kata Juwairiya Zulkifli kepada SelangorKini.

Sky Mirror dan Kelip-kelip Kampung Kuantan antara lokasi tarikan pelancong di Kuala Selangor sejak beberapa tahun lalu.

Sky Mirror menerima jolokan Salar De Uyani Malaysia seperti di Bolivia kerana memiliki hamparan tebing pasir pantai seakan cermin sementara kelip-kelip menjadi tumpuan pelancong serata dunia serta aktivis alam sekitar.