Categories
AGENDA NASIONAL

Pengindustrian semula secara mampan, peluang bangun rantaian nilai global baharu

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Pengindustrian semula secara mampan memberi peluang untuk membangunkan rantaian nilai global baharu yang tidak boleh dilencongkan dengan mudah, selain peluang bagi membawa masuk amalan dan teknologi mesra alam sekitar terkini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata, ia juga merupakan peluang untuk memperkenalkan teknologi Industri 4.0 bukan sahaja kepada sektor pembuatan malah sektor pertanian, perlombongan dan perkhidmatan.

“Apakah seterusnya matlamat pengindustrian semula secara mampan pada 2020 dan selepas itu? Sekurang-kurangnya, perindustrian sebagai komponen Keluaran Dalam Negara Kasar tidak akan terus berada di dalam aliran menyusut, diharapkan terdapat sedikit peningkatan dalam jangka pendek dan sederhana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengindustrian semula adalah peluang bagi transformasi perindustrian pesat dan nilai tambah untuk meningkatkan sektor pembuatan ke tahap sofistikated dan kekompleksan seterusnya.

“Ini adalah peluang untuk menyediakan pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran lepasan pusat pengajian tinggi kita,” katanya.

Beliau turut menggalakkan rakyat Malaysia untuk memanfaatkan sepenuhnya Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Rancangan Malaysia Ke-12.

MITI akan melancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2021-2030 tahun ini, dengan strategi utama yang dilaporkan termasuk kajian komprehensif rangka kerja insentif supaya menjadi lebih sesuai untuk masa depan.

Komitmen Belanjawan 2020 oleh kerajaan termasuk menyediakan pakej RM1 bilion setahun bagi tempoh lima tahun untuk menarik syarikat Fortune 500 dan syarikat pemula niaga teknologi yang mencapai nilai pasaran AS$1 bilion ke Malaysia selain pakej RM1 bilion setahun selama lima tahun memudahkan syarikat tempatan melabur di luar negara.

Ong berkata Malaysia kini memiliki peluang yang unik untuk pengindustrian semula dan sekali lagi menjadi tumpuan syarikat dalam sektor pembuatan.

Tidak seperti tempoh yang lalu, Malaysia sekarang mempunyai kemampuan untuk lebih bersifat memilih pelaburan yang masuk ke negara ini, katanya.

“Pelabur akan berusaha memanfaatkan infrastruktur baik dan tenaga kerja kita yang mahir.

“Kita memerlukan pelaburan ini untuk mencapai kemampanan daripada dua perspektif – mereka (pelabur) mesti melabur di dalam negara ini untuk jangka panjang dan tidak boleh menimbulkan kesan negatif terhadap alam sekitar,” katanya.

– BERNAMA