Categories
NASIONAL

Pemilihan Semula CEC : ROS Nafi Hak 753 Perwakilan DAP

Lim Kit Siang white 01

SHAH ALAM 2 OGOS : Tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dilihat sebagai menafikan hak 753 perwakilan yang menghadiri kongres itu pada Disember tahun lalu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, dalam satu kenyataan mencabar Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman menyatakan sebab sebenar arahan itu dikeluarkan.

“Bilik Perang Umno/BN melaburkan banyak sumber, kakitangan dan puluhan juta ringgit sejak enam bulan lalu untuk melaksanakan strategi dua mata dalam usaha memburuk-buruk dan memusnahkan DAP.

“Mereka juga yang menyebarkan pembohongan kononnya DAP membiayai ‘Tentera Kacang Merah’ (Red Bean Army) yang dianggotai 3, 000 ‘cybertrooper’ dengan peruntukan antara RM100 juta hingga RM1 bilion sejak enam tahun lalu untuk memburuk-burukkan peribadi pemimpin Umno/BN.

“Ia juga menghidupkan cerita palsu mengenai penyelewengan dalam pemilihan CEC ketika Kongres DAP Disember tahun lalu,” ujar Kit Siang yang juga Ahli Parlimen, Gelang Patah.

Umno/BN juga mendakwa kononnya kesemua 753 perwakilan DAP tidak dimaklumkan mengenai Kongres DAP pada Disember tahun lalu seperti yang disyaratkan dalam perlembagaan parti, seterusnya dinafikan hak untuk menghadiri kongres berkenaan dan memilih anggota CEC.

“Isu itu juga digunakan untuk menuduh DAP sebagai anti-kaum India kerana kononnya sebahagian besar daripada 753 perwakilan terbabit berketurunan India dan sebab itu mereka didiskriminasi dan dinafikan hak untuk menghadiri Kongress serta mengundi pada pemilihan CEC.

“Kedua-dua tuduhan berkenaan sama sekali tidak tepat kerana 71 peratus perwakilan menghadiri Kongres Parti (untuk mencukupkan korum, hanya 25 peratus daripada ahli yang layak menjadi perwakilan) daripada jumlah keseluruhan 2,576 perwakilan.

“Ini adalah rekod kehadiran yang tinggi dan amat tidak benar jika ada pihak mendakwa ketidakhadiran perwakilan kerana konspirasi yang digerak dengan tidak memberi notis,? katanya sambil menambah jika asas itu digunakan, kesahihan persidangan semua parti politik atau pertubuhan boleh dipertikaikan.

Kit Siang turut menjelaskan, DAP memberikan bekerjasama baik dengan menyertakan bukti kepada ROS bahawa notis kongres diberikan kepada semua perwakilan seperti yang dituntut oleh perlembagaan parti, manakala perwakilan berketurunan India yang tidak hadir hanya kira-kira 100 orang dan bukanlah 700 seperti yang didakwa Umno/BN.

Lebih dikesalkan, dakwa Kit Siang, Umno/BN turut menyebar tuduhan liar kononnya pemilihan CEC DAP itu disertai perwakilan hantu yang pada mulanya hanya seramai 300 orang tetapi kemudiannya meningkat kepada 547 orang.

“Selain dua pembohongan itu, alasan yang dimiliki ROS hanya gangguan kecil membabitkan komputer sewaktu Kongres DAP, di mana gangguan itu tidak membawa kepada kesilapan pengiraan atau penjadualan undi, sebaliknya cuma pada tahap pengumuman keputusan, iaitu apabila seorang calon, Vincent Wu, diumumkan sebagai pemenang, sedangkan pemenang sebenar adalah Zairil Khir Johari.

“Kesilapan itu sudah dibetulkan dan DAP telah memberi penjelasan penuh mengenai kesilapan itu kepada pegawai ROS dengan mengemukakan semua dokumen dan bahan berkaitan,”kata Kit Siang.