Categories
NASIONAL

Pemilihan Semula CEC : ROS Nafi Hak 753 Perwakilan DAP

Lim Kit Siang white 01

SHAH ALAM 2 OGOS : Tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dilihat sebagai menafikan hak 753 perwakilan yang menghadiri kongres itu pada Disember tahun lalu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, dalam satu kenyataan mencabar Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman menyatakan sebab sebenar arahan itu dikeluarkan.

“Bilik Perang Umno/BN melaburkan banyak sumber, kakitangan dan puluhan juta ringgit sejak enam bulan lalu untuk melaksanakan strategi dua mata dalam usaha memburuk-buruk dan memusnahkan DAP.

“Mereka juga yang menyebarkan pembohongan kononnya DAP membiayai ‘Tentera Kacang Merah’ (Red Bean Army) yang dianggotai 3, 000 ‘cybertrooper’ dengan peruntukan antara RM100 juta hingga RM1 bilion sejak enam tahun lalu untuk memburuk-burukkan peribadi pemimpin Umno/BN.

“Ia juga menghidupkan cerita palsu mengenai penyelewengan dalam pemilihan CEC ketika Kongres DAP Disember tahun lalu,” ujar Kit Siang yang juga Ahli Parlimen, Gelang Patah.

Umno/BN juga mendakwa kononnya kesemua 753 perwakilan DAP tidak dimaklumkan mengenai Kongres DAP pada Disember tahun lalu seperti yang disyaratkan dalam perlembagaan parti, seterusnya dinafikan hak untuk menghadiri kongres berkenaan dan memilih anggota CEC.

“Isu itu juga digunakan untuk menuduh DAP sebagai anti-kaum India kerana kononnya sebahagian besar daripada 753 perwakilan terbabit berketurunan India dan sebab itu mereka didiskriminasi dan dinafikan hak untuk menghadiri Kongress serta mengundi pada pemilihan CEC.

“Kedua-dua tuduhan berkenaan sama sekali tidak tepat kerana 71 peratus perwakilan menghadiri Kongres Parti (untuk mencukupkan korum, hanya 25 peratus daripada ahli yang layak menjadi perwakilan) daripada jumlah keseluruhan 2,576 perwakilan.

“Ini adalah rekod kehadiran yang tinggi dan amat tidak benar jika ada pihak mendakwa ketidakhadiran perwakilan kerana konspirasi yang digerak dengan tidak memberi notis,? katanya sambil menambah jika asas itu digunakan, kesahihan persidangan semua parti politik atau pertubuhan boleh dipertikaikan.

Kit Siang turut menjelaskan, DAP memberikan bekerjasama baik dengan menyertakan bukti kepada ROS bahawa notis kongres diberikan kepada semua perwakilan seperti yang dituntut oleh perlembagaan parti, manakala perwakilan berketurunan India yang tidak hadir hanya kira-kira 100 orang dan bukanlah 700 seperti yang didakwa Umno/BN.

Lebih dikesalkan, dakwa Kit Siang, Umno/BN turut menyebar tuduhan liar kononnya pemilihan CEC DAP itu disertai perwakilan hantu yang pada mulanya hanya seramai 300 orang tetapi kemudiannya meningkat kepada 547 orang.

“Selain dua pembohongan itu, alasan yang dimiliki ROS hanya gangguan kecil membabitkan komputer sewaktu Kongres DAP, di mana gangguan itu tidak membawa kepada kesilapan pengiraan atau penjadualan undi, sebaliknya cuma pada tahap pengumuman keputusan, iaitu apabila seorang calon, Vincent Wu, diumumkan sebagai pemenang, sedangkan pemenang sebenar adalah Zairil Khir Johari.

“Kesilapan itu sudah dibetulkan dan DAP telah memberi penjelasan penuh mengenai kesilapan itu kepada pegawai ROS dengan mengemukakan semua dokumen dan bahan berkaitan,”kata Kit Siang.

 

Categories
NASIONAL

Pakatan Cadang Pinda Usul Perbahasaan Titah Diraja Dewan Rakyat

parlimen malaysia anwar grafik 01

KUALA LUMPUR 9 JULAI : Pakatan Rakyat (PR) akan mengemukakan usul bagi meminda usul sokongan terhadap titah Yang Di Pertuan Agong berhubung gesaan baginda supaya semua parti politik menerima keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU 13) lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana gagasan Umno-BN dan Pakatan telah mengemukakan petisyen pilihanraya bagi mencabar keputusan pilihanraya di 51 kerusi.

“Soal petisyen Pilihanraya … dikemukakan maka kita kaji untuk kemukakan usul pindaan kerana tidak wajar titah itu dimasukkan ke soal petisyen.

“Petisyen itu merangkumi kedua-dua pihak iaitu Pakatan dan Umno-BN. Jadi kalau sokong (titah), petisyen itu tidak bermakna,” katanya dalam sidang media, di Bilik Ketua Pembangkang di Parlimen.

Hadir sama, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Pas, Husam Musa.

Dalam titahnya pada majlis pembukaan sesi pertama Dewan Rakyat ke-13, Yang Di Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah telah menggesa semua parti politik untuk menerima keputusan PRU-13.

Pakatan dan Umno-BN telah masing-masing memfailkan 34 dan 21 petisyen.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ketua Umum PKR melahirkan kebimbangan terhadap perlantikan bekas-bekas menteri kabinet ke dalam jawatan-jawatan kerajaan.

“Perlantikan ini begitu terlebih termasuk Tan Sri Rais Yatim dan Datuk Seri Ng Yen Yen. Ia melibatkan upah yang terlalu besar.

“Kita sudah ada Menteri Pelancongan atau Kebudayaan. Kalau rasa mereka tidak layak gantikan dengan orangg lain. Tidak perlu ada penasihat kementerian.

“Berapa juta ringgit pula terpaksa dibayar? Ini akan membebankan rakyat,” katanya.

Menurut laporan media, Yen Yen dilantik sebagai pengerusi Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia manakala Rais telah dilantik sebagai presiden presiden keenam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).