Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan digesa beri kelonggaran PDK beroperasi semula – Ras Adiba

PUTRAJAYA, 30 DIS: Senator Ras Adiba Radzi meminta kerajaan untuk memberi kebenaran dan kelonggaran kepada pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan tadika untuk murid berkeperluan khas, beroperasi seperti biasa.

Beliau yang mewakili komuniti orang kurang upaya (OKU) di Dewan Negara berkata pihaknya mendapat maklum balas bahawa kanak-kanak OKU seperti autisme dan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD), berdepan dengan pelbagai cabaran akibat terkurung di rumah.

“Kami cuba beri sokongan kepada ibu bapa kerana memang susah sangat bagi mereka, selalunya anak-anak boleh dihantar ke kelas istimewa seperti Genius Kurnia dan sebagainya, tetapi dengan keadaan sekarang, anak-anak ini tak boleh keluar jadi kalau (ibu bapa) yang ada tiga orang anak OKU, mereka susah.

“Jadi saya mohon kerajaan untuk pertimbangkan agar kita dapat menghantar anak-anak istimewa ini ke pusat pendidikan khas atau PDK yang dapat membantu mereka supaya mereka tak lupa apa yang telah diajar oleh cikgu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Musaadah Covid-19 kepada Persatuan OKU Sentral, di sini hari ini.

Ras Adiba yang juga Presiden Persatuan OKU Sentral menerima sumbangan RM50,000 daripada Tabung Musaadah Covid-19 Jakim-Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) yang disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.

Ras Adiba berkata beliau mendapat maklumat dalam tempoh pandemik Covid-19 ini, ramai anak-anak istimewa yang terkurung dalam rumah menyebabkan keadaan mereka menjadi tidak keruan termasuk menyakitkan diri sendiri dan orang sekeliling.

“Tahun depan kita harap dapat diberi sedikit kelonggaran untuk pusat-pusat seperti Genius Kurnia dan sekolah yang menjaga anak-anak autisme dan berkeperluan khas untuk beri peluang (kembali ke sekolah). Di situ, mereka tidak keluar dan hanya (bercampur) antara mereka sahaja,” katanya.

Sementara itu, mengenai sumbangan yang diterima, Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata Persatuan OKU Sentral akan menggunakan sumbangan itu untuk membantu golongan OKU yang terjejas semasa pandemik Covid-19.

“Sumbangan ini akan membantu sahabat kami terutama di kawasan Lembah Klang iaitu kami boleh memberi mereka sokongan dari segi sumbangan makanan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata sejak dilancarkan pada 24 Mac lepas, Tabung Musaadah Covid-19 Jakim-YWM telah menerima sumbangan daripada orang awam dan sektor korporat sebanyak RM6 juta dan daripada jumlah itu RM3.7 juta telah disalurkan kepada mereka yang layak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

562 PDK beroperasi semula bulan depan – Rina

GEORGE TOWN, 19 JULAI: Sebanyak 562 buah pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negara akan beroperasi semula pada bulan depan mengikut tatacara operasi piawai kerajaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata buat masa ini pihaknya sedang dalam proses untuk mendapatkan kelulusan SOP daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ketika ini kita ada seramai 20,303 orang pelatih. Semua PDK akan dibuka, sudah pasti ada SOP tertentu yang perlu diikuti berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Interaksi Bersama Program PDK di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan bantuan kewangan berjumlah RM3.4 juta untuk 25 PDK di Pulau Pinang bagi menampung elaun pelatih orang kelainan upaya (OKU), sagu hati penyelia dan petugas, sewaan premis dan utiliti.

PDK adalah strategi dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial OKU.

Mengulas mengenai permohonan untuk menaikkan elaun penyelia dan petugas PDK, Rina berkata beliau sedia maklum mengenai perkara itu dan beberapa siri mesyuarat bersama agensi berkaitan telah diadakan untuk membincangkan permohonan tersebut.

Menurutnya, semua pandangan yang diterima akan dibawa ke Kementerian Kewangan untuk diperhalusi dan dipertimbangkan dengan sewajarnya.

“Saya dapat maklum balas daripada pengerusi PDK minta kalau boleh dinaikkan elaun, sekarang kita bayar RM800 sebulan dan mereka bertugas dari 8 pagi hingga 12 tengah hari.

“Kita faham dalam keadaan sekarang ini, kalau kita lihat sebenarnya ramai yang terjejas pendapatan. Kerana itu, baru-baru ini kerajaan naikkan kadar garis kemiskinan daripada RM960 kepada RM2,208. Ini adalah komitmen kerajaan untuk melihat situasi sebenar mereka,” katanya.

– BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

EXCO: Usul tambah elaun petugas PDK Selangor

SHAH ALAM, 15 FEB: Cadangan menaikkan elaun kakitangan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di negeri ini akan diusulkan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

EXCO Kebajikan Dr Siti Mariah Mahmud berharap perkara itu akan diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2021.

“Sekarang elaun yang diterima penyelia PDK ialah RM1,200 sementara petugas hanya RM800 sedangkan pengorbanan mereka terhadap orang kelainan upaya amat besar.

“Difahamkan Johor sudah melaksanakan penambahan elaun sebanyak RM200 dan saya berharap Selangor juga dapat mempertimbangkan hasrat ini,” katanya selepas menyampaikan anugerah PDK Selangor di Hotel De Palma di sini hari ini.