Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kompromi pelaku kes dera kanak-kanak, perlu hukuman berat

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Kerajaan disaran menubuhkan pasukan petugas khas membabitkan agensi penguat kuasa bagi membanteras jenayah penderaan kanak-kanak di negara ini.

Selain itu, Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 harus dipinda dengan segera bagi membolehkan pelaku dikenakan hukuman yang lebih berat dan setimpal.

Ahli Dewan Negara mewakili Orang Kurang Upaya (OKU) Senator Datuk Ras Adiba Radzi, yang memandang serius kes penderaan kanak-kanak yang kian meruncing di negara ini, berkata beliau tidak akan sama sekali berkompromi dengan kesalahan membabitkan golongan itu terutama OKU.

“Tindakan tegas wajib diambil dan pelaku kes penderaan serta penganiayaan kanak-kanak perlu dihadapkan ke muka pengadilan supaya isu penderaan kanak-kanak di negara ini tidak berterusan.

“Saya menggesa agar pihak berkuasa tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki terlibat dengan penderaan dan penganiayaan kanak-kanak yang menjadi kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata usaha itu juga selaras dengan komitmen kerajaan kepada agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030 yang turut memberi penekanan untuk menamatkan penyalahgunaan, eksploitasi, pemerdagangan manusia dan segala bentuk keganasan serta penyiksaan terhadap kanak-kanak.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan terdapat 2,040 kes penderaan terhadap kanak-kanak yang berlaku antara Januari hingga April tahun ini.

Ras Adiba turut meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertindak proaktif untuk memastikan kanak-kanak di negara ini diberi keutamaan dari segi pemeliharaan serta perlindungan.

Beliau berkata semua lapisan masyarakat harus memainkan peranan serius serta melaporkan kes penderaan kepada pihak berkuasa kerana ini merupakan tanggungjawab bersama.

“Kita perlu berganding bahu untuk mengangkat satu mesej bahawa penderaan adalah satu jenayah. Kanak-Kanak ada hak dan ruang untuk menikmati sebuah kehidupan yang aman dan berkualiti. Semua pihak mesti patuhi Akta Kanak-Kanak 2001 serta Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada tahun 1995,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KP kesihatan: Kes Covid-19 dijangka stabil satu atau dua minggu lagi

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan jumlah kes harian Covid-19 di negara ini, mulai stabil dan menunjukkan penurunan dalam tempoh seminggu atau dua minggu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata dengan proses vaksinasi yang giat dilaksanakan di seluruh negara serta kawalan kesihatan awam masih berkuat kuasa seperti sekatan pergerakan ketika ini, mampu melandaikan semula keluk jangkitan wabak itu.

Katanya, lonjakan kes baharu sejak beberapa hari lepas adalah berikutan lebih banyak saringan bersasar Covid-19 dilaksanakan khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika ini.

“KKM sudah jangkakan memang dengan sekatan pergerakan di kawasan Lembah Klang, kes harian akan meningkat kerana saringan bersasar dan saringan komuniti dilaksanakan.

“Namun, saya yakin dengan kaedah kawalan yang baik (sekatan pergerakan) kita akan lihat jumlah kes lebih stabil serta menunjukkan penurunan dalam seminggu lebih atau dua minggu. Pada masa sama, proses vaksinasi perlu dipercepatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program ‘The Nation’ bertajuk ‘Covid-19: Apa Lagi Ikhtiar Kita’ terbitan Bernama TV yang dihoskan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Ras Adiba Radzi, malam tadi.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata mengambil pengalaman dan iktibar daripada kesan gelombang kedua Covid-19 sebelum ini, negara perlu lebih berhati-hati dan tidak tergesa-gesa untuk membuka beberapa sektor yang boleh mencetuskan lagi lonjakan kes baharu.

Beliau berkata pematuhan yang berterusan oleh semua pihak serta penguatkuasaan tatacara operasi piawai (SOP) di lapangan seperti sektor perkilangan, perlu dipertingkatkan dalam usaha mengawal lebih banyak jangkitan khususnya melibatkan penularan di tempat kerja.

Menjelaskan situasi kapasiti beberapa hospital yang dilaporkan sesak dengan jumlah pesakit Covid-19, beliau berkata KKM sedang giat meningkatkan keupayaan hospital untuk menampung pesakit terutama individu dengan jangkitan tahap empat dan lima di unit rawatan rapi (ICU).

“Masalah yang kami hadapi ialah pesakit tahap empat dan lima mengambil masa lama untuk dirawat dalam ICU antara dua hingga lima minggu termasuk yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Inilah kekangan yang dihadapi kerana jumlah pesakit tahap empat dan lima juga bertambah dan menjadi sesak. Oleh sebab itu KKM sedaya upaya meningkatkan lagi kapasiti hospital,” katanya.

Terdapat lima tahap jangkitan Covid19. Tahap satu – tidak bergejala; tahap dua – bergejala ringan; tahap tiga – bergejala dan mengalami radang paru-paru; tahap empat – bergejala, mengalami radang paru-paru dan perlukan bantuan oksigen; serta tahap lima – bergejala kritikal dan memerlukan rawatan di ICU.

Semalam, Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi dengan 9,353 kes baharu dengan 29 lagi kluster baharu termasuk 19 kluster tempat kerja.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ras Adiba cadang wujud talian khas komuniti OKU

TEMERLOH, 27 JAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dicadang mewujudkan sebuah talian khas buat komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membantu mereka berdepan dengan situasi mencabar pandemik wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Dewan Negara Senator Ras Adiba Radzi berkata situasi mencabar yang dihadapi sekarang menyebabkan sebilangan besar OKU tertekan selain kajian antarabangsa sebelum ini juga menunjukkan golongan tersebut antara yang berisiko tinggi untuk membunuh diri akibat kemurungan serius.

Beliau yang juga Presiden Persatuan OKU Sentral berkata walaupun buat masa ini terdapat talian kasih di bawah kementerian itu, namun ia tidak khusus kepada golongan OKU yang memerlukan pendekatan dan mempunyai keperluan berbeza daripada masyarakat umum.

“Mereka juga mungkin bimbang untuk menghubungi talian sedia ada kerana memikirkan ada kemungkinan diketawakan atau apa yang cuba disampaikan tidak difahami sepenuhnya oleh pihak di sana.

“Justeru talian khas ini membolehkan mereka berhubung secara terus dengan pakar psikiatri atau kaunseling untuk mendengar dan berkongsi masalah yang dihadapi supaya komuniti OKU tidak merasakan seperti tersisih dalam situasi semasa,” katanya.

Ras Adiba berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada masyarakat OKU yang terjejas banjir di Pusat Khidmat Mesra Rakyat Ahli Parlimen Kuala Krau di sini hari ini, yang turut dihadiri Penaung Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Parlimen Kuala Krau Datin Seri Nor Azimah Abdul Mubin.

Sumbangan sebanyak 300 bungkusan barangan keperluan sumbangan Yayasan Sime Darby yang disalurkan menerusi Persatuan OKU Sentral itu juga disampaikan kepada Madrasah Ad-Dinniah Al-Ismailiah di Kampung Paya Jauh di sini, yang turut terjejas banjir.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyeru supaya mereka yang berkelayakan dalam bidang kaunseling, psikiatri dan psikologi serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyokong usaha mewujudkan talian khas tersebut.

Persatuan OKU Sentral, menurut Ras Adiba kini giat turun padang bertemu dengan komuniti OKU dan ibu bapa serta penjaga mereka bagi memberi sokongan moral dan mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi.

Sementara itu, seorang penerima P. Saraswathy, 44, yang mempunyai anak istimewa P. Danusha, 13, berkata sumbangan itu sedikit sebanyak meringankan beban kewangan mereka sekeluarga selepas rumah mereka di Taman Mewah, Kuala Krau dinaiki air selama 10 hari mulai 3 Jan lalu.

“Kami berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam keadaan tergesa-gesa kerana air naik terlalu laju menyebabkan banyak keperluan anak termasuk lampin pakai buang rosak kerana hanya sempat mengambil beberapa bungkusan sahaja selain susu khas anak,” kata ibu kepada lima orang anak itu.

Sementara itu, pengurus bencana madrasah terlibat, Muhammad Yani Ariffin, 54, berkata banjir lebih seminggu yang bermula sejak 5 Jan lalu menyebabkan keseluruhan bangunan di tanah seluas lebih dua hektar itu termasuk 180 pondok untuk warga emas dan pelajar dinaiki air.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan digesa beri kelonggaran PDK beroperasi semula – Ras Adiba

PUTRAJAYA, 30 DIS: Senator Ras Adiba Radzi meminta kerajaan untuk memberi kebenaran dan kelonggaran kepada pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan tadika untuk murid berkeperluan khas, beroperasi seperti biasa.

Beliau yang mewakili komuniti orang kurang upaya (OKU) di Dewan Negara berkata pihaknya mendapat maklum balas bahawa kanak-kanak OKU seperti autisme dan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD), berdepan dengan pelbagai cabaran akibat terkurung di rumah.

“Kami cuba beri sokongan kepada ibu bapa kerana memang susah sangat bagi mereka, selalunya anak-anak boleh dihantar ke kelas istimewa seperti Genius Kurnia dan sebagainya, tetapi dengan keadaan sekarang, anak-anak ini tak boleh keluar jadi kalau (ibu bapa) yang ada tiga orang anak OKU, mereka susah.

“Jadi saya mohon kerajaan untuk pertimbangkan agar kita dapat menghantar anak-anak istimewa ini ke pusat pendidikan khas atau PDK yang dapat membantu mereka supaya mereka tak lupa apa yang telah diajar oleh cikgu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Musaadah Covid-19 kepada Persatuan OKU Sentral, di sini hari ini.

Ras Adiba yang juga Presiden Persatuan OKU Sentral menerima sumbangan RM50,000 daripada Tabung Musaadah Covid-19 Jakim-Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) yang disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.

Ras Adiba berkata beliau mendapat maklumat dalam tempoh pandemik Covid-19 ini, ramai anak-anak istimewa yang terkurung dalam rumah menyebabkan keadaan mereka menjadi tidak keruan termasuk menyakitkan diri sendiri dan orang sekeliling.

“Tahun depan kita harap dapat diberi sedikit kelonggaran untuk pusat-pusat seperti Genius Kurnia dan sekolah yang menjaga anak-anak autisme dan berkeperluan khas untuk beri peluang (kembali ke sekolah). Di situ, mereka tidak keluar dan hanya (bercampur) antara mereka sahaja,” katanya.

Sementara itu, mengenai sumbangan yang diterima, Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata Persatuan OKU Sentral akan menggunakan sumbangan itu untuk membantu golongan OKU yang terjejas semasa pandemik Covid-19.

“Sumbangan ini akan membantu sahabat kami terutama di kawasan Lembah Klang iaitu kami boleh memberi mereka sokongan dari segi sumbangan makanan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata sejak dilancarkan pada 24 Mac lepas, Tabung Musaadah Covid-19 Jakim-YWM telah menerima sumbangan daripada orang awam dan sektor korporat sebanyak RM6 juta dan daripada jumlah itu RM3.7 juta telah disalurkan kepada mereka yang layak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sidang Parlimen diteruskan walaupun ada kes positif Covid-19

SHAH ALAM, 2 NOV: Sidang Dewan Rakyat diteruskan seperti biasa dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat meskipun terdapat kes positif Covid-19 membabitkan pegawai khas ahli Dewan Negara.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata undian pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) dan Belanjawan 2021 tidak boleh dilakukan secara maya sebaliknya perlu dibuat di Parlimen.

“Walaupun ada cadangan (sidang dewan) dibuat melalui maya tetapi ia tidak boleh dilakukan kerana kita tertakluk kepada perlembagaan dan peraturan Parlimen.

“Begitu juga titah Yang di-Pertuan Agong sewaktu proklamasi pembukaan Parlimen, baginda akan sebut tentang peraturan mesyuarat secara jelas.

“Jadi, berdasarkan Perkara 62(5), daripada segi undian (RUU dan belanjawan) mesti dibuat dalam Parlimen dan tidak boleh di luar Parlimen,” katanya hari ini.

Beliau berkata mesyuarat bersama yang dipertua Dewan Rakyat dan ketua whip semua parti hari ini bersetuju untuk mengurangkan jangka masa dan jumlah ahli parlimen di Dewan Rakyat.

“Setiap ahli parlimen pula hanya dibenarkan membawa dua orang pegawai dan masing-masing perlu melakukan ujian saringan Covid-19.

“Malah ahli parlimen dari Sabah dan wakilnya harus menjalani kuarantin terlebih dahulu serta mempunyai keputusan saringan negatif sebelum dibenarkan masuk ke Parlimen,” katanya.

Hari ini, Ahli Dewan Negara Senator Ras Adiba Radzi mengesahkan pegawai khasnya dijangkiti Covid-19 setelah melakukan ujian saringan dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Categories
AGENDA NASIONAL

Siaran langsung Parlimen kini ada jurubahasa isyarat

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran kini berpeluang mengikuti persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara apabila buat pertama kalinya siaran langsung persidangan itu menggunakan khidmat jurubahasa isyarat.

Ahli Dewan Negara Senator Ras Adiba Radzi berkata pembaharuan yang bermula hari ini itu disifatkan satu sejarah kepada golongan OKU pendengaran di negara ini bagi membolehkan mereka mengikuti perkembangan persidangan Parlimen secara langsung.

“Buat masa ini jurubahasa isyarat ini akan bersama siaran selama dua jam melalui siaran langsung di TV1 bermula jam 10 sehingga 12 tengah hari, kita akan cuba panjangkan waktu untuk terjemahan ini sehingga 5 petang,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyAsli) Wan Zuraidah Abu.

Ras Adiba berkata pembaharuan itu adalah hasil perbincangannya dengan pihak Parlimen dan MyAsli serta dengan pengalaman jurubahasa isyarat di MyAsli, beliau yakin, mereka (jurubahasa) boleh memberikan perkhidmatan terbaik.

Setakat ini katanya terdapat sembilan orang jurubahasa isyarat akan menerajui siaran langsung persidangan Parlimen dengan sejam setiap orang.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV1 telah menyiarkan secara langsung persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara selama dua jam setiap kali persidangan berlangsung.

Sidang Parlimen juga boleh diikuti sepanjang masa persidangan menerusi laman web RTM iaitu http://rtmparlimen.rtm.gov.my dan siaran laman web ini boleh dilayari menerusi komputer, tablet serta telefon pintar.

Dalam pada itu, Ras Adiba menyeru OKU di negara ini yang belum mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya berbuat demikian.

“Setakat ini OKU yang mendaftar dengan JKM belum mencapai 570,000 sedangkan bilangan OKU di negara ini mengikut nisbah ialah 4.7 juta orang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tambah baik Akta OKU-Ras Adiba

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 sedia ada perlu ditambah baik bagi memastikan hak golongan itu dilindungi dan tidak disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

Pengasas pertubuhan bukan kerajaan OKU Sentral Ras Adiba Radzi berkata langkah itu penting bagi memastikan wujud peraturan dan tindakan undang-undang yang selaras dikenakan terhadap mereka yang menyalah guna prasarana disediakan untuk golongan itu.

Beliau yang juga personaliti televisyen veteran berkata peraturan dan denda berbeza yang dilaksanakan setiap pihak dan badan dilihat tidak cukup ‘taring’ dan mampu mendidik masyarakat dalam menghormati keperluan komuniti OKU.

“Kita tidak ada hukuman atau denda jika sesebuah bangunan dibina tidak mengikut spesifikasi (yang selamat dan mesra OKU), begitu juga dengan syarikat atau badan yang tidak mengambil OKU bekerja, kerana sepatutnya ada satu peratus.

Kita perlu pastikan standard peraturan garis panduan yang kita boleh ikut, kita tidak boleh ‘hentam kromo’ lagi, kalau kita tidak tekankan ( kesedaran hak kesaksamaan OKU ) sampai bila-bila tak berubah,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Bernama Radio malam tadi.

Ras Adiba berkata masyarakat juga perlu mempunyai kesedaran dan dipersiapkan dengan latihan bagi membantu dan menyokong komuniti itu untuk bergerak sebagai masyarakat harmoni.

-BERNAMA