Categories
NASIONAL

Puji kerajaan anggap penagih dadah bukan penjenayah

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) dan Persatuan Perubatan Penagihan Dadah Malaysia (AMAM) memuji keputusan kerajaan untuk tidak melihat penagih dadah sebagai pesalah jenayah tetapi sebagai pesakit yang memerlukan rawatan dan pemulihan.

Presiden kedua-dua persatuan, Dr Steven KW Chow berkata, fraterniti perubatan sudah sekian lama merayu kepada pendekatan belas kasihan untuk menguruskan mereka yang terjejas akibat penagihan dadah dan menyokong peranan terapi yang dibantu rawatan perubatan (MAT) bersama intervensi psikososial di semua peringkat masyarakat.

“Kami menyokong sepenuhnya keputusan polisi ini dan akan menawarkan perkhidmatan dan sumber kami kepada kerajaan untuk membantu mengekang bahaya ketagihan yang meningkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Chow berkata bukti saintifik ketagihan sebagai kerosakan otak yang kronik tidak dapat dinafikan.

Beliau mengulas lanjut bahawa pindaan ke atas peruntukan berkaitan dalam Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 akan memboleh mereka yang ketagihan untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan yakin dan sah di sisi undang-undang.

Semalam, Bernama melaporkan penagih dadah di negara ini tidak lagi dilihat sebagai penjenayah yang perlu dihukum tetapi sebagai pesakit yang perlukan rawatan dan pemulihan.

Ini berikutan perundingan antara Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan di Putrajaya yang bersetuju untuk tidak mengklasifikasikan penagih dadah sebagai pesalah jenayah.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

‘1Keluarga 1Pemanah’ bantu bekas penagih kawal emosi

Oleh: SYASYA SUFIAN

KLANG, 30 MEI: Program Program 1Keluarga 1Pemanah bakal diterap ke dalam masyarakat supaya setiap ahli keluarga dapat mempelajari ilmu memanah terutama golongan belia dan kanak-kanak.

Pengerusi Program Kelab Memanah Alpha Brothers (Abac), Ahmad Othman berkata, ia adalah simbolik bagi melahirkan seorang pemanah dalam setiap keluarga.

“Secara tidak langsung, ia mendidik seluruh ahli keluarga dan sukan ini mampu diperkembangkan dalam kalangan masyarakat.

“Selain itu, ia mampu menerapkan sunnah Nabi Muhammad saw kerana kebanyakan yang meminati sukan ini adalah masyarakat Islam.

IMG_0845“Seorang pemanah yang berdisplin dapat membentuk sahsiah diri, fokus, berani serta yakin dengan mempelajari teknik memanah secara ilmiah dan berhemah dapat melenturkan keegoan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian program itu yang disempurnakan Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei di sini, hari ini.

Ahmad Othman berkata, program itu juga bakal menjadi landasan untuk sukan memanah diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya harap akan dapat melahirkan atlet berkualiti yang bakal mewarnai sukan memanah di persada dunia,” katanya.

Sementara itu, kerani, Zarina Baharudin, 44, berkata dia memang menerapkan sukan memanah dalam keluarga, hampir 10 tahun.

“Selain mempromosikan sukan memanah, kita juga dapat mendidik anak berkenaan kegemaran Nabi Muhammad saw dan menambah pahala.

IMG_0805“Memanah juga sudah menjadi alat mempertahankan diri. Sebab itu, kita perlu yakin sukan memanah boleh pergi lebih jauh ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Penolong Pegawai Anti Dadah, Norliza Komeng, 39, berkata hasil kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Abac dapat mendorong bekas penagih bergiat aktif dalam sukan berkenaan.

“Kami melihat aktiviti memanah sebagai sukan sihat untuk melatih emosi dan fizikal mereka.

“Secara tidak langsung, dapat melatih mereka bertenang dan menstabilkan emosi daripada sifat gopoh, pemarah serta kurang sabar di samping menjadi pemanah yang baik,” katanya.

-NFN-