Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik 2020: Atlet memanah negara tumpas di tangan Korea Selatan

TOKYO, 31 JULAI: Perjuangan jaguh memanah negara Khairul Anuar Mohamad di Sukan Olimpik Tokyo berakhir, apabila tumpas kepada pemanah Korea Selatan Kim Woojin pada pusingan ketiga acara Recurve Individu Lelaki, hari ini.

Walaupun menampilkan aksi membanggakan, pemanah kelahiran Kemaman, Terengganu itu masih gagal menyaingi kehebatan bekas juara dunia itu, apabila tumpas 0-6 pada aksi yang berlangsung di Lapangan Memanah Yumenoshima.

Kim Woojin, yang menghuni ranking kelima dunia ternyata terlalu handal, apabila melakukan panahan sempurna 30 mata pada ketiga-tiga set, berbanding Khairul Anuar yang mencatat 27-27-29 mata.

Pencapaian itu menyaksikan pemanah Korea Selatan itu melebarkan rekod pertemuan dengan Khairul Anuar yang menghuni ranking ke-15 dunia, dengan lima kemenangan tanpa sebarang kejayaan memihak kepada pemanah negara itu.

Ketika ditemui pemberita selepas pusingan ketiga atau 16 terbaik itu, Khairul Anuar mengakui kehebatan pemanah dari Korea Selatan itu, walaupun beliau sudah menampilkan aksi sebaik mungkin.

“Hari ini, Alhamdulillah, saya lebih bersedia berbanding aksi sebelum ini apabila fokus saya ketika melakukan panahan sedikit terganggu.

“Saya lebih fokus ketika melakukan panahan, tetapi dia (Kim Woojin) jauh lebih baik walaupun saya sudah memberikan yang terbaik hari ini,” kata bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu.

Beliau berkata, tumpuannya kini adalah untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi beberapa kejohanan besar pada tahun hadapan, antaranya Sukan Komanwel Birmingham, Sukan Asia Hangzhou, China dan Sukan SEA Vietnam, selain Kejohanan Dunia di Amerika Syarikat.

“Sebenarnya, saya lebih memberi fokus kepada acara Recurve Berpasukan, penyertaan dalam acara individu ini sebagai bonus kepada saya.

“Sudah pasti selepas ini saya akan berusaha melayakkan diri untuk bertanding pada Sukan Olimpik Paris 2024. Saya perlu perbaiki lagi dari segi ‘shooting’ (melakukan panahan) pada kejohanan-kejohanan akan datang, supaya sudah benar-benar bersedia pada temasya Olimpik 2024,” katanya.

Ditanya mengenai jurang antara pemanah Malaysia dan Korea Selatan, Khairul Anuar menjelaskan pemanah negara bermula agak lewat dalam asas sukan memanah, berbanding pemain negara itu yang ditanamkan mengenai perkara tersebut sejak di usia awal.

“Saya mula mewakili Terengganu pada Sukan Malaysia (Sukma) 2008 di Terengganu dan ketika mula memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2011, baru saya diberikan penerangan lebih mendalam tentang asas-asas sukan memanah.

“Itu yang membezakan majoriti pemanah Malaysia berbanding pemanah Korea Selatan, yang sering menguasai kejohanan di peringkat dunia. Namun, walaupun kita agak lewat diperkenalkan dengan asas memanah, tidak mustahil kita boleh menyaingi mereka satu hari nanti,” kata pemanah berusia 29 tahun itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet memanah Syaqiera layak ke Tokyo

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Terkejut dan berdebar. Begitulah perasaan pemanah wanita kebangsaan Syaqiera Mashayikh sebaik sahaja disahkan mewakili negara ke Sukan Olimpik Tokyo bermula 23 Julai ini.

Syaqiera sama sekali tidak menyangka memperoleh peluang keemasan itu selepas Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) memutuskan untuk memilihnya membawa cabaran negara dalam acara recurve individu wanita dan pasukan campuran bersama jaguh memanah negara, Khairul Anuar Mohamad di Jepun.

Mana tidaknya, pemanah berusia 21 tahun itu menyatakan Sukan Olimpik Tokyo bakal menjadi temasya sukan pertama disertainya dan penampilan ketiga di peringkat antarabangsa selepas bertanding pada dua kejohanan di Paris, Perancis bagi Kelayakan Sukan Olimpik 2020 dan Peringkat Ketiga Piala Dunia 2021, bulan lepas.

“Terima kasih kepada NAAM kerana memilih saya sebagai atlet yang bertanding ke Sukan Olimpik Tokyo.

“Sudah semestinya saya bangga dapat mewakili negara ke Tokyo, saya akan cuba buat sehabis upaya di sana,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Syaqiera terlepas peluang ke Sukan Olimpik Tokyo selepas terkandas pada peringkat kedua acara recurve individu wanita di tangan wakil Switzerland, Valentine De Giuli, dengan keputusan 6-2 dalam Kelayakan Sukan Olimpik 2020.

Bukan itu sahaja, beliau juga gagal membantu dua rakan sepasukannya, Nur Ain Ayuni Fozi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil ke Tokyo menerusi acara recurve berpasukan apabila tersingkir di pusingan pertama kepada Brazil selepas tewas 6-2, dalam kempen kelayakan terakhir Olimpik Tokyo itu.

Presiden NAAM Datuk Abdul Hamid Hasan memberitahu Bernama pada Selasa lepas bahawa Malaysia mendapat slot ke Tokyo apabila semakan World Archery mendapati ada dalam kalangan 64 pemanah yang layak tidak melepasi ‘Minimum Qualification Score (MQS)’ sebanyak 605 mata untuk acara wanita.

Jelasnya, Malaysia mendapat slot berkenaan selepas memiliki atlet yang melepasi MQS itu.

Berdasarkan keputusan pusingan kelayakan kejohanan di Paris itu, Syaqiera dan Nurul Azreena mencatat 619 mata manakala Nur Ain Ayuni meraih 594 mata.

Aksi Piala Dunia pula menyaksikan Syaqiera kekal dengan panahan 619 mata, manakala Nur Ain Ayuni dan Nurul Azreena masing-masing mendapat 605 dan 600 mata.

Sementara itu, jurulatih skuad memanah wanita kebangsaan, Muhammad Marbawi Sulaiman berkata Syaqiera dipilih Jawatankuasa Pemilihan NAAM ke Tokyo selepas memungut 619 mata dan melepasi MQS selain menampilkan prestasi lebih menonjol berbanding dua lagi pemanah dalam kedua-dua kejohanan di Perancis itu.

Olimpian negara yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Beijing, China pada 2008 turut gembira dapat melihat Syaqiera beraksi di pentas Olimpik dan mahu anak buahnya itu mengutip pengalaman sebanyak mungkin di Jepun nanti.

Sebelum ini, hanya dua pemanah wanita yang pernah beraksi di pentas Olimpik iaitu Mon Redee Sut Txi pada edisi 2004 dan Nurul Syafiqah Hashim pada 2012.

Khairul Anuar terlebih dahulu mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo menerusi acara individu selepas meraih pingat perak pada Kejohanan Memanah Dunia di Hertogenbosch, Belanda pada Jun 2019.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad memanah sasar kekalkan satu emas

SHAH ALAM, 28 JULAI: Pasukan memanah Selangor mensasar untuk mengekalkan satu pingat emas yang dimenangi pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

Jurulatihnya, Arif Farhan berkata sasaran itu paling logik setakat ini berdasarkan kekuatan dan kemampuan atlet bagi mengharungi cabaran sukan dwitahunan di Johor tahun depan.

“Walaupun sukan memanah kini dalam format berbeza, iaitu dengan jarak 70 meter, tapi kita optimis mengekalkan kemenangan terutama dalam acara berpasukan,” katanya.

Beliau menambah setakat ini pasukan itu belum memutuskan senarai akhir atlet yang akan terpilih yang dikurangkan daripada 26 kepada 16 individu.

“Setakat ini kita berusaha untuk mengembalikan kecergasan, stamina dan psikologi atlet, memandangkan terpaksa berehat panjang akibat wabak Covid-19,” katanya.

Selangor memenangi satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada Sukma yang berlangsung pada 11 hingga 22 September 2018.

Sukma Johor 2020 yang ditangguh susulan pandemik Covid-19 dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan, manakala Para Sukma berlangsung dari 5 hingga 10 April.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan berkenaan.

Categories
PENDIDIKAN SUKANKINI

Jom rasai pengalaman berkuda dan memanah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 MAC: Romona International Sdn Bhd dengan kolaborasi bersama Lovehorses akan menganjurkan program Pengenalan Berkuda dan Memanah khususnya untuk kanak-kanak dan remaja, sempena cuti sekolah ini.

Presidennya, Dato’ Seri Dr Romona Murad berkata, bertempat di Taman Ekuestrian Putrajaya dengan yuran penyertaan hanya RM100, bermula pada 20 dan 21 Mac ini.

Ia meliputi kanak-kanak dan dewasa selain ibu bapa juga digalakkan bersama anak menyertai program berkenaan.

Katanya, program itu akan memberi peluang kepada orang ramai untuk mempelajari asas dan teknik berkuda serta memanah.

“Ibu bapa harus menggunakan kesempatan ini supaya anak mereka dapat diberi pendedahan awal dengan aktiviti terbabit.

“Di samping itu, kita menggalakkan anak kelainan upaya untuk turut membabitkan diri dengan acara berkuda kerana ia adalah terapi buat golongan ini.

“Selepas tempoh dua hingga tiga tahun menjalani aktiviti riadah seperti ini, mereka diberi jaminan untuk kembali pulih jika menjadikan ia sebagai rutin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas majlis Perasmian Pameran Reka Bentuk Kulit Album 12×12 oleh TAP, di Galeri Shah Alam, di sini, semalam.

Dr Romona berkata, matlamat penganjuran program terbabit juga bagi memupuk minat kanak-kanak, sekali gus memastikan sukan berkuda mendapat tempat di hati orang ramai.

“Pada masa sama, kita boleh melahirkan ramai anak muda yang mempunyai prospek besar dalam sukan berkuda dan memanah.

“Program latihan persendirian juga dilaksanakan bagi mereka yang berminat untuk menggunakan khidmat pelatih persendirian dengan sesi pembelajaran dibuat mengikut permintaan masa individu itu dengan harga berpatutan,” katanya.

Untuk keterangan lanjut berkenaan program itu boleh menghubungi Dr Romona di talian 012-9309317 atau e-mel ke [email protected]

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Lapangan memanah hadiah dua emas untuk negara

SHAH ALAM, 17 OGOS: Malaysia meraih dua lagi pingat emas apabila pasukan memanah compound lelaki dan wanita beraksi cemerlang, di Lapangan Memanah Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.

Emas pertama datang daripada acara memanah compound berpasukan wanita yang menundukkan pasukan Vietnam dengan kelebihan hanya satu mata pada peringkat akhir, hari ini.

Trio Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Nurul Syazhera Mohd Asmi dan Saritha Nam Chong mengalahkan regu Vietnam dengan kiraan 253-252.

Mereka layak ke akhir selepas mengetepikan pasukan pemanah Thailand 227-219, pada peringkat separuh akhir, lapor Malaysia Insight.

Gambar : The Malay Mail
Gambar : The Malay Mail

Dalam pertembungan yang dramatik itu, kedua-dua pasukan terikat pada kedudukan 225-225 memaksa penentuan berlanjutan ke peringkat shoot off dan trio negara itu kemudian mengutip mata penting yang meletakkan mereka, di hadapan.

Kemenangan itu dilihat hadiah manis untuk Fatin selepas terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dalam acara individu, semalam.

Tidak lama berselang, emas kedua datang apabila pasukan memanah lelaki menewaskan Singapura 228-222 dalam acara compound berpasukan.

Trio Zulfadhli Ruslan, Lee Kin Lip dan Mohd Juwaidi Mazuki menunjukkan prestasi yang konsisten ketika berhadapan dengan Alan Lee, Pang Toh Jin dan Ang Han Teng, dari Singapura.

Mereka layak akhir selepas mengalahkan Vietnam dengan shoot off 29-27 selepas terikat 227-227 yang menjadikan kutipan emas negara tiga, setakat tengahari ini

Categories
SELANGOR

SUKSES: Pemanah Gombak dan Hulu Langat tunjuk gah

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 SEP: Gombak dan Hulu Langat bersaing sengit di gelanggang memanah Sukan Selangor (Sukses) 2015 apabila menguasai kutipan pingat emas dalam 12 acara dilangsungkan, semalam.

Dua daerah itu memenangi sembilan emas iaitu Gombak (lima), manakala Hulu Langat (empat) diikuti Petaling (dua) dan Klang (satu).

SUKSESMuhammad Khairuzaman menghadirkan ceria bagi kem Gombak apabila cemerlang meraih tiga emas dalam Compound 30 meter (m), 50m dan 70m lelaki, selain Muhammad Idris dengan dua emas melalui Recurve 50m dan 70m Lelaki.

Hulu Langat pula berbangga dengan pemanah wanita dengan Siti Farah Izzati memenangi dua emas (Compound 30m dan 50m wanita) serta satu daripada Nur Adlina Marini (Recurve 60m wanita) selain pemanah lelaki, Muhammad Ikram (Recurve 30m lelaki).

Klang mencuri tumpuan dengan Fatin Izzati (Compound 60m wanita) mengutip emas menghampakan Siti Farah Izzati (Hulu Langat) di tempat kedua dan Rikasa Fira (Gombak) ketiga.

Petaling meneruskan kecemerlangan dalam lumba basikal apabila menyapu bersih empat emas dalam empat acara.

Nurul Alissa menyumbang dua emas menerusi 200 meter dan Kriterium Wanita serta masing-masing satu daripada Muhammad Shariz Efandi (200 m lelaki) dan Izat Tolha (kriterium lelaki).

-NFN-

Categories
SELANGOR

Memanah berpotensi jadi sukan teras Selangor

Oleh: SYASYA SUFIAN

KLANG, 30 MEI: Kerajaan Negeri berhasrat mengangkat sukan memanah sebagai acara utama sehingga ke peringkat Malaysia kerana berpotensi besar untuk dikembangkan.

Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, Kerajaan Negeri juga tidak mempunyai sebarang kekangan politik dalam usaha memastikan sukan memanah dikembangkan termasuk aktiviti kemasyarakatan lain.

IMG_0955“Sukan memanah mempunyai potensi besar untuk diangkat ke dalam sukan teras Selangor. Kerajaan Negeri akan bantu sedaya upaya menyediakan prasarana kecil bagi membantu mengembangkan lagi sukan memanah.

“Seperti pepatah lama yang kita guna iaitu ‘tak cukup nyiru, padang bola kami tadahkan’. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga berhasrat melahirkan pemanah Selangor bertaraf dunia bagi mewakili Malaysia pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program 1Keluarga 1Pemanah, anjuran Kelab Memanah Alpha Brothers (Abac), di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, DUN Sri Muda menyalurkan peruntukan RM9,000 kepada Abac bagi menjayakan program yang akan dijalankan sehingga akhir tahun ini.

IMG_0838Shuhaimi turut menyarankan Abac mengemukakan sebarang cadangan kerjasama dengan Majlis Belia Selangor untuk dibawa sehingga ke peringkat antarabangsa.

Katanya, Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan besar untuk pembangunan belia dan sukan di Selangor.

“Tiga jenis sukan sudah dilaksanakan di peringkat daerah melibatkan 56 DUN iaitu bola sepak, bola keranjang dan bola jaring. Peserta bakal mewakili DUN untuk ke pertandingan peringkat kebangsaan selepas Aidilfiri ini,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

‘1Keluarga 1Pemanah’ bantu bekas penagih kawal emosi

Oleh: SYASYA SUFIAN

KLANG, 30 MEI: Program Program 1Keluarga 1Pemanah bakal diterap ke dalam masyarakat supaya setiap ahli keluarga dapat mempelajari ilmu memanah terutama golongan belia dan kanak-kanak.

Pengerusi Program Kelab Memanah Alpha Brothers (Abac), Ahmad Othman berkata, ia adalah simbolik bagi melahirkan seorang pemanah dalam setiap keluarga.

“Secara tidak langsung, ia mendidik seluruh ahli keluarga dan sukan ini mampu diperkembangkan dalam kalangan masyarakat.

“Selain itu, ia mampu menerapkan sunnah Nabi Muhammad saw kerana kebanyakan yang meminati sukan ini adalah masyarakat Islam.

IMG_0845“Seorang pemanah yang berdisplin dapat membentuk sahsiah diri, fokus, berani serta yakin dengan mempelajari teknik memanah secara ilmiah dan berhemah dapat melenturkan keegoan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian program itu yang disempurnakan Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei di sini, hari ini.

Ahmad Othman berkata, program itu juga bakal menjadi landasan untuk sukan memanah diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya harap akan dapat melahirkan atlet berkualiti yang bakal mewarnai sukan memanah di persada dunia,” katanya.

Sementara itu, kerani, Zarina Baharudin, 44, berkata dia memang menerapkan sukan memanah dalam keluarga, hampir 10 tahun.

“Selain mempromosikan sukan memanah, kita juga dapat mendidik anak berkenaan kegemaran Nabi Muhammad saw dan menambah pahala.

IMG_0805“Memanah juga sudah menjadi alat mempertahankan diri. Sebab itu, kita perlu yakin sukan memanah boleh pergi lebih jauh ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Penolong Pegawai Anti Dadah, Norliza Komeng, 39, berkata hasil kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Abac dapat mendorong bekas penagih bergiat aktif dalam sukan berkenaan.

“Kami melihat aktiviti memanah sebagai sukan sihat untuk melatih emosi dan fizikal mereka.

“Secara tidak langsung, dapat melatih mereka bertenang dan menstabilkan emosi daripada sifat gopoh, pemarah serta kurang sabar di samping menjadi pemanah yang baik,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

1K1P lahir bakat baharu sukan memanah

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 20 MEI: Kelab Memanah Alpha Brothers (Abac) akan menganjurkan program 1Keluarga 1Pemanah (1K1P) dalam usaha melahirkan bakat baharu yang mampu diketengahkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.

Program yang mendapat kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Selangor (JBNS) serta Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) itu bakal berlangsung di padang memanah Abac, Kampung Johan Setia, Klang, pada 30 Mei ini.

memanah1Setiausaha Abac, Azman Mohamad berkata, penganjuran itu juga bagi menarik minat dalam kalangan belia dan remaja untuk menceburi sukan serta aktiviti memanah.

Katanya, Abac juga merangka promosi dan meningkatkan kualiti sukan memanah di Selangor serta menggalakkan orang ramai terbabit aktif.

“Ia usaha bagi membangunkan sukan ini selain meraih sokongan ibu bapa supaya anak mereka membabitkan diri. Program ini dijangka akan dirasmikan ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafie.

memanah“Selain memberi kesedaran dan pendedahan, 1K1P bertujuan melahirkan bakat baharu yang berpotensi untuk diangkat ke peringkat tinggi,” katanya.

Azman berkata, Abac juga menjalankan aktiviti yang bergabung dengan badan belia dan sukan di semua peringkat.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Ahmad Othman (013-7332280) atau Azman Mohamad (019-2766376).

-NFN-