Categories
AGENDA NASIONAL

Bank Dunia puji langkah Malaysia semak semula garis kemiskinan

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Bank Dunia hari ini memuji tindakan Malaysia menaikkan had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM2,208 berbanding RM980 baru-baru ini yang disifatkan dapat membantu kerajaan memastikan semua rakyat mencapai standard kehidupan minimum baharu yang lebih konsisten dengan keadaan semasa.

Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Kenneth Simler berkata kaedah atau metodologi garis kemiskinan Malaysia sebelum ini juga tidak dikemaskini sejak 2005 dan nilai sebenarnya tidak berubah sejak dirangka pada 1977.

Malah, katanya, ini turut menunjukkan bahawa kesukaran serta kekurangan sebelum ini yang dianggap sebagai tidak bernasib baik serta diterima secara sosial, sebenarnya tidak lagi sesuai pada 2020.

“Peningkatan garis dan kadar kemiskinan itu daripada 0.4 peratus (pada 2016) kepada 5.6 peratus (2019) tidak bermakna bahawa masalah itu telah meningkat atau rakyat Malaysia lebih miskin berbanding hari sebelum pengumuman (PGK) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Sebaliknya, perbezaan kiraan PGK mengikut setiap isi rumah itu bergantung kepada bilangan mereka yang tinggal bersama serta kos asas barangan dan perkhidmatan di peringkat tempatan yang berbeza di serata Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Simler, dasar-dasar untuk mengurangkan kemiskinan dan menggalakkan perkongsian kemakmuran Malaysia secara lebih ketara akan lebih berkesan sekiranya turut menumpukan perincian dalam metodologi garis kemiskinan tersebut.

Sehubungan itu, apa yang perlu diutamakan adalah memastikan bahawa bantuan terbabit disalurkan kepada kelompok yang paling memerlukannya manakala dana kerajaan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Ini boleh dicapai dengan menyesuaikan aspek syarat kelayakan dan manfaat dengan ciri-ciri yang mungkin dilihat mudah namun penting seperti bilangan ahli keluarga dan apakah mereka menetap di kawasan yang dikelaskan sebagai bernilai tinggi atau sebaliknya,” katanya.

Simler berkata ukuran kemiskinan baharu itu juga dapat digunakan seiring dengan petunjuk pendapatan relatif, pemantauan dan penilaian dasar-dasar serta program meningkatkan kesejahteraan golongan memerlukan di Malaysia.

Menurutnya, berbanding semakan semula gaji minimum berdasarkan PGK baharu, langkah paling mampan untuk keluar daripada kemiskinan serta pendapatan rendah adalah memastikan penduduk miskin mempunyai akses terhadap pekerjaan yang menawarkan gaji lebih tinggi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Bekas pelapor khas PBB puji Malaysia naikkan garis kemiskinan

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Bekas Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Philip Alston telah memuji komitmen Malaysia menaikkan had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM2,208 daripada RM980.

Menerusi perkongsian di akaun twitternya baru-baru ini, profesor undang-undang dan ketua Pusat Hak Asasi Manusia dan Keadilan Global di New York University School of Law itu berkata kerajaan Malaysia telah mengambil langkah berani untuk menetapkan garis kemiskinan berdasarkan realiti semasa.

“Had garis kemiskinan yang dilaporkan baru-baru ini adalah dua kali ganda berbanding sebelumnya dan keputusan kadar garis kemiskinan secara rasmi adalah 14 kali lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Menyelaraskan garis kemiskinan adalah langkah utama. Cabarannya pada masa ini adalah untuk mengatasi kemiskinan secara sistematik dengan menerapkan skema perlindungan sosial yang komprehensif dan memberikan ketelusan data yang lebih luas bersesuaian dengan apa yang digunakan oleh negara-negara demokratik,” kata beliau.

Selain daripada itu, beliau berkata kadar kemiskinan baharu iaitu 5.6 peratus daripada 0.4 peratus, hanya satu pertiga daripada yang dianggarkan oleh kebanyakan penganalisis bebas dan telah menyarankan agar kerajaan memasukkan tanda aras yang lebih realistik dalam Rancangan Malaysia ke-12.

Pada Jumaat, Jabatan Perangkaan mengumumkan PGK telah disemak kepada RM2,208 berdasarkan pengiraan yang dibuat mengikut metodologi pada 2019.

Sebelum ini, PGK dikira berdasarkan metodologi pada 2005 yang menjadikan penanda aras kemiskinan pada RM980 berdasarkan keperluan asas untuk isi rumah hidup sihat dan aktif.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata semakan PGK itu adalah berdasarkan keperluan semasa yang menekankan kepada pengambilan makanan optimum dan keperluan asas bukan makanan yang lebih berkualiti.

Lebih 400,000 isi rumah di negara ini bagi tahun 2019 didapati berada pada paras kemiskinan berdasarkan metodologi PGK yang baharu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pendapatan garis kemiskinan kini pada tahap RM2,208

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) telah disemak kepada RM2,208 berdasarkan pengiraan yang dibuat mengikut metodologi pada 2019, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Sebelum ini, PGK dikira berdasarkan metodologi pada 2005 yang menjadikan penanda aras kemiskinan pada RM980 berdasarkan keperluan asas untuk isi rumah hidup sihat dan aktif.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata semakan PGK itu adalah berdasarkan keperluan semasa yang menekankan kepada pengambilan makanan optimum dan keperluan asas bukan makanan yang lebih berkualiti.

“Malah, pengelasan isi rumah kepada 10 kategori adalah berdasarkan kelompok 10 peratus dan Pendapatan Boleh Guna yang boleh dijadikan sebagai salah satu ukuran pilihan bagi analisis agihan pendapatan serta alternatif ukuran kemiskinan iaitu Indeks Kemiskinan pelbagai Dimensi (MPI) dan Kemiskinan Relatif turut disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bertajuk Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas dan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia, 2019 yang dikeluarkan semalam.

Mohd Uzir berkata insiden kemiskinan mutlak bertambah baik daripada 7.6 peratus pada 2016 kepada 5.6 peratus pada 2019 dan kemiskinan tegar adalah 0.4 peratus pada 2019 berbanding 0.6 peratus pada 2016.0.407 (2019).

Selain itu, nilai pekali Gini meningkat sebanyak 0.008 mata indeks daripada 0.399 (2016) kepada 0.407 (2019) yang menunjukkan jurang pendapatan isi rumah semakin melebar.

Bagaimanapun, berdasarkan pendapatan boleh guna, nilai pekali Gini adalah 0.393.

Sementara itu, beliau berkata pendapatan penengah tumbuh sederhana pada 3.9 peratus setahun kepada RM5,873 pada 2019, manakala pendapatan purata pula meningkat 4.2 peratus setahun kepada RM7,901.

Tujuh negeri mencatatkan pendapatan penengah melepasi paras nasional manakala Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor merekodkan nilai pendapatan purata lebih tinggi daripada paras nasional iaitu RM7,901.

Sementara itu perbelanjaan purata isi rumah meningkat kepada 3.9 peratus pada 2019.

Pendapatan isi rumah penengah di bandar mencatatkan peningkatan pada kadar 3.8 peratus daripada RM5,860 pada 2016 kepada RM6,561 manakala pendapatan isi rumah penengah di luar bandar turut bertambah pada kadar 3.3 peratus bagi tempoh yang sama iaitu daripada RM3,471 kepada RM3,828.

Pendapatan isi rumah purata di bandar pula meningkat 3.9 peratus setahun daripada RM7,671 kepada RM8,635 manakala di luar bandar, pendapatan isi rumah purata adalah RM5,004 pada 2019, naik 0.8 peratus lebih tinggi daripada paras nasional sebanyak 4.6 peratus.

Kuala Lumpur mencatatkan pendapatan penengah tertinggi iaitu RM10,549 diikuti Putrajaya (RM9,983), Selangor (RM8,210), Labuan (RM6,726), Johor (RM6,427), Pulau Pinang (RM6,169) dan Melaka (RM6,054).

Putrajaya mencatatkan peningkatan tertinggi kadar pertumbuhan tahunan dikompaun bagi pendapatan penengah iaitu 6.3 peratus dalam tempoh 2016 hingga 2019 iaitu lebih 1.6 kali ganda daripada kadar pertumbuhan penengah nasional, 3.9 peratus

Lapan negeri lain yang juga melepasi kadar pertumbuhan penengah nasional, iaitu Terengganu (5.6 peratus), Kuala Lumpur (5.0 peratus), Kelantan (4.9 peratus), Pulau Pinang (4.4 peratus), Johor (4.3 peratus), Selangor (4.3 peratus), Labuan (4.2 peratus) dan Kedah (4.2 peratus).

Pendapatan isi rumah boleh guna bulanan penengah RM5,116 pada 2019 meningkat 4.2 peratus daripada RM4,513 pada 2016, manakala, pendapatan isi rumah boleh guna bulanan purata adalah RM6,764 daripada RM5,928 yang dicatatkan pada 2016.

Pendapatan boleh guna purata yang direkodkan pada 2019 meliputi 85.6 peratus dari jumlah pendapatan kasar purata.

Mohd Uzir berkata Kajian Perbelanjaan Isi Rumah turut menunjukkan permintaan kepada sektor perkhidmatan oleh isi rumah turut meningkat dengan komposisi perbelanjaan bagi komponen perkhidmatan naik kepada 52.1 peratus pada 2019.

Corak perbelanjaan penggunaan isi rumah kekal kepada kumpulan utama perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api (23.6 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (17.3 peratus); restoran dan hotel (13.9 peratus) dan pengangkutan (13.5 peratus) yang menjadi empat kumpulan perbelanjaan tertinggi merangkumi 68.3 peratus daripada jumlah perbelanjaan isi rumah di Malaysia pada 2019.

Selari dengan pembangunan negara, komposisi perbelanjaan bagi kesihatan dan pendidikan merekodkan peningkatan 0.2 mata peratus pada 2019.

Perbelanjaan ke atas komunikasi kekal tidak berubah pada 5.0 peratus, manakala kumpulan utama lain yang menjurus kepada perbelanjaan pilihan pengguna turut meningkat.

Perbelanjaan rekreasi dan kebudayaan masing-masing meningkat 0.3 dan 0.1 mata peratus manakala hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah pula menokok 0.2 mata peratus.

Secara keseluruhan, perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata tumbuh pada kadar 3.9 peratus setahun selari dengan pertumbuhan sederhana pendapatan isi rumah bulanan purata 4.2 peratus bagi tempoh 2016 hingga 2019.

Dari segi nilai, perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata meningkat daripada RM4,033 pada 2016 kepada RM4,534 pada 2019 manakala perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan penengah mencatatkan RM3,654 pada 2019 berbanding RM3,314 pada 2016.

Perbelanjaan penggunaan isi rumah di kawasan bandar menunjukkan peningkatan pada 3.7 peratus setahun daripada RM4,402 kepada RM4,916 manakala, di luar bandar meningkat pada kadar 3.6 peratus setahun daripada RM2,725 kepada RM3,038 bagi tempoh 2016 hingga 2019.

Secara tidak langsung, ini menggambarkan perbelanjaan penggunaan isi rumah purata di kawasan bandar adalah 1.6 kali lebih tinggi daripada di luar bandar.

Peningkatan perbelanjaan di bandar ini juga adalah dalam jajaran yang setara dengan peningkatan pendapatan purata isi rumah iaitu 1.7 kali lebih tinggi (RM8,635) berbanding kawasan luar bandar (RM5,004).

Di peringkat negeri, perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata tertinggi direkodkan di Putrajaya (RM7,980).

Lima negeri lain turut mencatatkan perbelanjaan penggunaan isi rumah melebihi purata nasional (RM4,534) iaitu Kuala Lumpur (RM6,913), Selangor (RM5,830), Melaka (RM4,955), Johor (RM4,793) dan Pulau Pinang (RM4,630).

– BERNAMA