Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PPSMI mantapkan penguasaan sains di peringkat sekolah

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah bertujuan memantapkan penguasaan bidang sains bermula di peringkat persekolahan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata menguasai bidang sains, rakyat Malaysia perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana bidang itu berkembang di negara barat melalui bahasa tersebut.

“Bagi saya penguasaan bahasa Inggeris dalam bidang sains amat penting kerana ia bukan ilmu yang datang dari kita. Ia datang dari luar hasil daripada budaya yang berlainan daripada kita.

“Budaya kita dahulu apabila berhadapan dengan masalah, kita salahkan kuasa ghaib dan makhluk halus. Itu pendekatan kita. Tetapi pendekatan saintis mereka ingin tahu apa sebenar berlaku dengan membuat penyelidikan,” katanya menerusi temu bual eksklusif bertajuk #PMJawab keluaran The Malaya Post malam tadi.

Dr Mahathir, yang juga Pemangku Menteri Pendidikan berkata, saintis negara barat sentiasa berusaha mencari kebenaran terhadap sesuatu masalah melalui proses penyelidikan dan berkongsi setiap penemuan dalam bahasa Inggeris.

“Hari-hari mereka keluarkan pendapat (penemuan) baharu yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Memang kita boleh terjemah tetapi kita kena fasih (faham) bidang sains. Kalau tidak faham, kita tidak boleh terjemah ke dalam bahasa Melayu,” katanya.

Justeru, beliau berpendirian bahawa perkara itu perlu diterima semua pihak sekiranya ingin melihat negara maju ke hadapan.

Buat masa ini kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk pelaksanaan PPSMI di sekolah dan menurut Dr Mahathir, kerajaan sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti pelaksanaan semula PPSMI dan keputusannya akan dibuat secepat mungkin.

Menerusi temu bual selama hampir sejam itu, Dr Mahathir turut ditanya mengenai model Sekolah Wawasan yang pernah dilancarkan bawah pentadbirannya sebagai perdana menteri keempat pada 1997, beliau berkata walaupun agak sukar untuk diperkenalkan namun ia menjadi pusat perpaduan antara kaum di negara ini.

“Bila ada sekolah seumpama ini, kita akan ada tiga sekolah dalam satu kampus. Walaupun guna bahasa berlainan tetapi apabila ada perhimpunan waktu pagi mereka akan berkumpul bersama, bersukan bersama di dalam satu pasukan campuran. Dengan ini, pelajar dapat berjumpa dan berhubung,” katanya.

Menyentuh senario politik pula, Dr Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengamalkan prinsip demokrasi dalam setiap agenda yang ingin dilaksanakan menerusi perbincangan bagi mencapai kata sepakat daripada kesemua parti dalam PAKATAN.

“Suasana politik sekarang sudah berubah, tidak macam dahulu. Sebab dahulu parti berkuasa adalah UMNO sehingga mereka boleh buat apa sahaja, sehingga ada pemimpin buat silap tetapi masih kekal,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata beliau turut mengamalkan prinsip terbuka untuk mendengar pendapat daripada semua pihak seperti parti lawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk yang berasaskan kaum, serta badan-badan agama.

“Kalau saya tidak tahu pendapat mereka, maka masalah yang timbul tidak dapat ditangani oleh saya. Itu yang berlaku.

“Tapi ada orang yang mentafsirkan perjumpaan saya dengan pemimpin parti lawan bermakna saya sedang berusaha membuat parti campuran yang baharu. Ini tidak benar,” katanya mengulas mengenai kemungkinan tertubuhnya kerajaan baharu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM giat kumpul maklumat pelaksanaan semula PPSMI

JASIN, 19 JUL: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang giat mengumpul maklumat dan pandangan pelbagai pihak berhubung pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, langkah itu diambil bagi melakukan penambahbaikan terhadap dasar berkenaan selain mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh.

Beliau berkata setakat ini, pihak sekolah boleh memilih sama ada untuk menyertai ataupun tidak ‘Dual Language Programme’ (DLP) yang diperkenalkan oleh KPM yang mana memberi peluang kepada pihak sekolah untuk mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

“Beri kita sedikit masa untuk melakukan kajian dan mendapatkan maklum balas (secara komprehensif) berhubung isu PPSMI memandangkan KPM tidak mempunyai sebarang tempoh yang tertentu terhadap pelaksanaan semula dasar itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu bernilai RM600,000 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jasin Lalang, di sini hari ini.

Terdahulu, Teo turut melakukan lawatan kerja ke projek pembinaan makmal komputer Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah di sini yang dijangka siap pada 11 November depan dengan kos RM676,000.

Turut serta dalam lawatan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Wong Fort Pin dan Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan sebagai berkata, pelaksanaan semula dasar itu sedang dikaji secara terperinci dengan menyediakan sistem baharu melibatkan pengajaran melalui teknologi maklumat (IT) agar pengajaran yang direkod oleh guru terbaik akan diguna di setiap sekolah sekali gus dapat dinikmati oleh semua murid dan pelajar.

Dasar PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 telah digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara berperingkat mulai 2010. – BERNAMA