Categories
SELANGOR

99 kilang plastik haram diberi notis penutupan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Negeri mengesan kewujudan 107 kilang plastik haram yang membabitkan enam pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Selangor.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, daripada jumlah itu, 99 kilang plastik haram sudah diberikan Notis Penutupan.

“Daripada 99 kilang haram itu, 48 kilang sudah ditutup sepenuhnya melalui operasi bersepadu.

“PBT akan sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memantau perkara ini bagi tujuan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran, Leong Tuck Chee di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Sze Han berkata, sebanyak 127 kes sudah disiasat JAS bagi tempoh Julai 2017 sehingga Februari lalu.

Setakat ini, JAS telah mengambil tindakan mahkamah terhadap enam kes dengan kutipan denda sebanyak RM389,000 dan hukuman satu hari penjara.

Categories
SELANGOR

Pemaju diminta naik taraf infrastruktur dahulu

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUCHONG, 22 FEB: Kerajaan Negeri meminta pemaju di Selangor menyiapkan aspek infrastruktur terlebih dahulu sebelum sesuatu projek pembangunan dijalankan atau dilakukan secara serentak.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, kaedah itu bagi memastikan pembeli tidak berhadapan masalah selepas projek pembangunan siap sepenuhnya.

“Kita tidak mahu seperti dahulu, projek perumahan sudah siap, infrastruktur tiada siapa mahu bina.

“Penaiktarafan infrastruktur ini akan siap sebelum projek perumahan siap, ” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pengumuman penaiktarafan Lebuh Putri, Bandar Puteri Puchong, di IOI Galleria.

Projek terbabit dianggarkan menelan belanja RM43.9 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2021.

Categories
SELANGOR

IOI Properties bakal bina terowong surai kesesakan Lebuh Puteri

OLEH AFIX REDZUAN

PUCHONG, 22 FEB: IOI Properties Gorup Berhad akan menaik taraf jalan utama Lebuh Puteri di sepanjang 1.5KM menerusi pembinaan terowong dan kos ditanggung sepenuhnya syarikat berjumlah RM43.9 juta.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, projek fasa kedua pembangunan Bandar Puteri ini sebagai langkah persediaan sebelum pembangunan baharu dibuat.

Katanya, projek itu dibuat bagi penyuraian aliran trafik kerana projek fasa pertama persimpangan daripada Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dijangka siap Jun ini.

“Projek ini akan bermula kira-kira selepas Pasaraya Giant atau Hospital Columbia sehingga Puteri 8. Kos RM43.9 juta ini ditanggung sepenuhnya pemaju Bandar Puteri iaitu IOI Properties Group.

“Projek ini membabitkan pelebaran Lebuh Puteri dan pembinaan terowong ke fasa pembangunan baharu. Reka bentuk persimpangan ini hampir sama di LDP berdekatan Tropicana Mall.

“Bagi penduduk di sekitar Hopital Columbia, mereka boleh membuat pusingan-U dengan selamat dan tanpa halangan di hadapan IOI Galeria,” katanya dalam sidang media di IOI Galeria, Lebuh Puteri hari ini.

Sze Han berkata, penganugerahan tander sudah dilakukan dengan peringkat pertama projek ini sepanjang 750meter pertama daripada Hospital Columbia dijangka siap pada Disember 2020 manakala bakinya pula pada Jun 2021.

Dalam sidang media sama beliau turut mengucapkan terima kasih kepada IOI Properties kerana menyumbang terhadap pembangunan di sini kerana sebelum itu syarikat sama membelanjakan RM20 juta bagi fasa pertama projek.

“Dengan adanya projek ini bukan sahaja akan dapat mengurangkan kesesakan di dalam Bandar Puteri, ia juga akan mengurangkan kesesakan di LDP,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, IOI Properties Group Berhad, Chung Nyuk Kiong berkata, pihaknya sudah membina 30,000 unit bangunan membabitkan kediaman serta pusat perniagaan di Bandar Puteri.

“Dalam perancangan masa hadapan, kami bakal membina tambahan 15,000 hingga 20,000 unit bangunan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun terhadap tanah seluas 90 ekar,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jadi ‘mata dan telinga’ banteras aktiviti sampah haram

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 27 DIS: Semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, mahupun Ahli Majlis dan penduduk di negeri ini disaran menjadi ‘mata dan telinga’ dalam membanteras aktiviti pembuangan sampah haram atau ‘illegal dumping’.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, maklumat boleh disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya mendapati terdapat pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah haram.

Katanya, ia membolehkan Kerajaan Negeri mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan.

“Dalam hal ini, saya menyeru semua pihak termasuk Ahli Majlis dilantik supaya bertindak secara kolektif bagi membanteras aktiviti tidak bertanggungjawab ini.

“Penguatkuasaan dan pemantauan pihak PBT juga perlu dilaksanakan dari masa ke masa bagi menghalang kegiatan ini dari berleluasa terutamanya di daerah Kuala Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Lori Kompaktor bagi kutipan sampah domestik di Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir; Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat dan Pengarah Urusan SMARTSEL Sdn Bhd, Suhaimi Mohamad Tahir.

Pada masa sama, Sze Han berkata, penduduk di negeri itu juga perlu menyemai sikap mementingkan kebersihan supaya Selangor muncul negeri terbersih.

“Ini penting kerana kebersihan tidak hanya bergantung kepada PBT atau kontraktor dilantik, sebaliknya ia disemai dari setiap lapisan rakyat negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Ramli berkata, KDEBWM sudah mengenal pasti beberapa kawasan ‘hotspot’ pembuangan sampah haram antaranya Ijok, Bestari Jaya, Puncak Alam dan Tanjung Karang (kawasan laut).

Katanya, walaupun daerah itu terletak jauh dari kawasan bandar, namun masih menjadi tempat pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah haram termasuk secara pukal.

“Kita mengenal pasti beberapa kawasan antaranya Jalan Sasaran iaitu jalan terpencil menjadi kawasan lori membuang sampah haram.

“Mereka ini dilantik syarikat swasta untuk menguruskan sampah industri secara kutipan harian, mingguan atau bulanan,” katanya.