Categories
NASIONAL

Konsesi tol untung berganda, rakyat tanggung derita

SHAH ALAM, 17 OKT: Kerajaan Persekutuan lebih mengutamakan syarikat konsesi berbanding memikirkan nasib rakyat yang sedia terbeban dengan ekonomi semasa.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, berkata perkara itu jelas tergambar apabila Kerajaan tetap dengan keputusan menaikkan kadar tol meskipun kebanyakan syarikat konsesi mencatat keuntungan luar biasa, sebaliknya rakyat menanggung tambahan kos kehidupan.

nga kor ming web 01“Syarikat untung ratusan juta tiap tahun tapi kerajaan tidak peduli derita rakyat, malah menaikkan kadar tol.

“Keputusan ini menambah beban hidup rakyat, selain memungkiri janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13,” lapor RoketKini.

Manifesto Barisan Nasional pada PRU 13 lalu berjanji menurunkan kadar tol secara berperingkat selain memberi jaminan menurunkan harga kereta sebanyak 30 peratus yang turut dimungkiri mereka.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Taiping itu turut mempersoalkan kewajaran Kerajaan Persekutuan melanjutkan tempoh kutipan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang sepatutnya berakhir 2018 kepada 2038.

Menurutnya, kos pembinaan PLUS yang bernilai RM6.4 bilion itu sudahpun mencapai kutipan RM52 bilion.

“Apakah logiknya (lanjut tempoh kutipan tol) menguntungkan rakyat?” katanya.

Menyifatkan kenaikan kadar tol di 18 lebuh raya di Lembah Klang pada 15 Oktober lalu sehingga 220 peratus sebagai tidak masuk akal, beliau juga mencadangkan Cukai Windfall dikena ke atas syarikat konsesi tertentu.

Cukai Windfall ialah cukai yang dikenakan terhadap syarikat terpilih dalam industri tertentu yang mendapat manfaat kerajaan dan mencatat keuntungan melebihi purata.

-NR-