Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan PPE untuk kakitangan Penjara Reman hanya bertahan seminggu

GEORGE TOWN, 20 OKT: Bekalan peralatan pelindung diri (PPE) sedia ada untuk kakitangan Penjara Reman Pulau Pinang, cukup untuk kira-kira tempoh seminggu, kata Timbalan Penguasa Penjara Reman Pulau Pinang Azman Husain.

Beliau berkata kakitangan penjara semasa bertugas, menggunakan antara 300 dan 400 PPE pakai-buang setiap hari, untuk melindungi diri mereka daripada jangkitan Covid-19.

“Kami menjangkakan kami mempunyai cukup PPE untuk kakitangan kami untuk tempoh seminggu (bermula semalam). Kami memerlukan lebih banyak PPE, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ini dilanjutkan,” katanya kepada pemberita semalam.

Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters kakitangannya diletakkan di bawah PKPD bermula dari 15 hingga 28 Okt, selepas berlaku peningkatan kes Covid-19 di sana.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Seberang Jaya Dr Afif Bahardin menyumbangkan 1,000 PPE bernilai RM20,000, kepada kakitangan Penjara Reman Pulau Pinang, hari ini.

Menurut beliau, 1,000 PPE itu dihasilkan dalam masa dua bulan dan mengalu-alukan sebarang sumbangan dalam bentuk dana atau bahan mentah, untuk meneruskan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sedang dilaksanakan itu.

“Sekiranya terdapat pertubuhan bukan kerajaan atau individu yang ingin menjadi sukarelawan atau mahu melakukan CSR seperti itu dalam membantu menghasilkan PPE, supaya dapat menghubungi kami,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis nafi jalan di sekitar Penjara Reman Pulau Pinang ditutup

GEORGE TOWN, 8 OKT: Polis menafikan jalan di sekitar kawasan Penjara Reman Pulau Pinang ditutup kepada lalu lintas seperti tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp susulan terdapat kluster baharu Covid-19 di penjara tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang arahan penutupan jalan di kawasan tersebut dan meminta orang ramai agar berhenti menyebarkan maklumat kononnya jalan di kawasan Penjara Reman Pulau Pinang ditutup.

“Jalan di situ masih dibuka untuk lalu lintas seperti biasa malah polis pun tidak terima arahan penutupan jalan di kawasan tersebut,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai mesej tular berhubung penutupan jalan di kawasan itu dan meminta orang ramai menggunakan jalan alternatif jika mahu ke Hospital Pulau Pinang yang terletak berhampiran penjara tersebut.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat kluster baharu iaitu Penjara Reman selepas saringan mendapati tujuh orang positif Covid-19 termasuk seorang banduan yang meninggal dunia pada 5 Okt.

Lelaki berusia 85 tahun itu tidak sedarkan diri dalam penjara sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan meninggal dunia manakala ujian saringan Covid-19 yang dijalankan ke atas mayatnya mendapati positif.

Berikutan itu, banduan dan petugas di penjara tersebut yang mempunyai kontak rapat dengan si mati diasingkan serta dikuarantin manakala semua banduan serta petugas turut menjalani ujian saringan Covid-19.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menjalankan operasi sanitasi dalam kawasan penjara bagi membendung penularan wabak Covid-19.

-BERNAMA