Categories
BERITA UTAMA

Penjenamaan PPAS tarik perhatian antarabangsa

Oleh: AFIX REDZUAN

Perpustakaan dahulu hanya sinonim sebagai pusat mengulangkaji pelajaran dan meminjam bahan bacaan. Namun pandangan naif itu diubah melalui elovusi perpustakaan berkonsepkan kotemporari dan idea moden yang berjaya menarik kehadiran pengunjung.

Ikuti sesi wawancara bersama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Mohamad.

Bagaimana perkembangan projek penjenamaan semula perpustakaan daerah?

Perkara pertama kami lakukan untuk penjenamaan semula adalah pembangunan kakita-
ngan yang mengambil masa hampir enam bulan. Sebelum itu kita membuat perbincangan berkumpulan dan 2010 kita mula membina bangunan lain.

Dalam elemen penjenamaan semula kita ubah cara kakitangan bekerja dan berfikir sebab kalau anda mengubah cara berfikir ia akan mengubah hidup anda.

IMG_2423 copyPerpustakaan pertama dengan konsep penjenamaan semula yang bermaksud kondusif, moden, bersih, perabot cantik dan ditambah pendingin hawa serta kipas sudah dibina di Semenyih sekitar awal 2010.

Kemudian diikuti di Taman Sri Manja, Ampang Waterfront, Pandan Jaya, Sri Perantau, Rawang, Kajang, Lembah Jaya dan yang hampir siap sekarang di Sungai Pelek.

Jumlah perpustakaan yang dijenamakan semula setakat 2015 adalah 20 buah dengan purata empat perpustakaan setahun.

Kos dibelanjakan bernilai hampir RM2.5 juta dengan peruntukan diberikan serta sumbangan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) seperti Kumpulan Perangsang. Kumpulan Perangsang membantu kami RM1.3 juta untuk projek lapan perpustakaan.

Terbaru yang berjaya disiapkan adalah di Kuang, Jenjarom, Parit Baru dan Parit Mahang. Empat perpustakaan ini dalam fasa akhir untuk dimasukkan perabot dan diharapkan dapat beroperasi dengan baik dua bulan dari sekarang.

Pelbagai cabaran diharungi tapi yang penting adalah cara anda bekerja sebab kita kena tanamkan niat untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat. Maka dengan itu semuanya berjalan baik.

Secara keseluruhan kami mempunyai 96 perpustakaan dan 47 perpustakaan desa masih belum dinaik taraf.

Akan datang kami menaik taraf perpustakaan di Sungai Merab dan Bangi sebab kami menerima banyak aduan memandangkan Bangi ‘Bandar Ilmu’. Dengan peruntukkan RM200,000 yang diluluskan kami mengecat semula perpustakaan di Bangi.

Selepas penjenamaan semula dibuat, bagaimana sambutan yang diterima?

Sambutan diterima luar jangkaan daripada apa yang kami fikir.

Sebagai contoh, Perpustakaan Raja Tun Uda sendiri pada 2008, 2009 dan 2010 ketika itu berada di kawasan strategik, ada pengangkutan awam dan dekat dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tetapi hanya mendapat 418,000 pengunjung.

Selepas kami berpindah ke sini (Seksyen 13), tanpa kemasukan pengangkutan awam dan lokasi agak jauh, jumlah pengunjung meningkat hampir tiga kali ganda iaitu 1.56 juta dari 2011 hingga 2013.

IMG_7699Untuk 2013 sahaja, jumlah pengunjung hampir 756,000 dan 2014 meningkat kepada 814,000.

Saya bersyukur bantuan diberikan Allah dan berpesan kepada kakitangan setiap kali selepas solat kena betulkan niat. Bagi saya bukan kerja kuat kami yang membuahkan kejayaan tetapi bantuan Allah.

Kami juga turut mendapat sokongan DYMM Sultan Selangor. Baru-baru ini baginda sultan menghadiahkan 24 lukisan hasil karya pelukis diraja dan pelukis terkenal tempatan.

Nilai setiap lukisan juga tinggi dan kami letakkan di setiap tingkat. Insya Allah tidak lama lagi baginda juga hadiahkan buku edisi khas ke perpustakaan ini.

Apakah yang membuatkan orang tertarik ke sini sedangkan tiada pengangkutan awam dan lokasinya jauh?

Saya selalu bayangkan kalau bercuti, kita akan cari hotel bertaraf lima, empat atau tiga bintang. Mengapa kita mahu membayar murah tapi taraf lima bintang? Lima bintang itu diklasifikasikan sebagai selesa, bersih, wangi, layanan di kaunter baik.

Kita sanggup bayar mahal sebab persekitarannya cantik dan selesa. Apa salahnya perpustakaan kita jadikan seperti hotel bertaraf lima bintang sebab agensi kerajaan perlu membantu masyarakat merasai nikmat pergi ke tempat seronok tanpa perlu mengeluarkan duit.

Logo Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) NewKalau ke pusat membeli belah paling kurang kita kena bayar caj tempat letak kereta atau tandas tetapi di perpustakaan semuanya percuma.

Jika dahulu, bila kita ke perpustakaan terlalu banyak arahan ‘jangan’, saya buang semua itu. Kalau bersangka baik dengan pengguna, kita juga akan merasai kesannya.

Selepas lima tahun beroperasi, kami adalah perpustakaan pertama yang tidak menggunakan kasut.

Idea ini timbul seperti yang dilakukan di Masjidil Haram yang dikunjungi berjuta orang dan menggunakan beg plastik. Perkara sama kita praktikkan di sini.

Setiap tingkat akan ada ketua jabatan. Saya minta mereka pastikan tandas sentiasa bersih.
Dahulu, kita minta tandas dicuci dua jam sekali tapi sekarang kita kurangkan kepada sejam sekali. Kami berbincang baru-baru ini, setiap setengah jam tandas perlu dicuci terutama hujung minggu.

Dengan penjenamaan semula perpustakaan, bagaimana ia digunakan secara maksima?

Selepas lakukan penjenamaan semula, kita perkenalkan konsep ‘edutaiment’, (education dan entertainment).

Kami ada teater 3D, 6D, XD dan multimedia. Permintaan penggunaan multimedia sangat tinggi.

Kafe siber mengenakan caj minima RM2.50 sejam tetapi kami hanya caj RM1 sejam. Manakala perpustakaan di peringkat daerah dan desa kita kenakan caj RM0.50 untuk 30 minit dan sebelum itu ia berikan secara percuma.

Kita terpaksa caj kerana ramai pengguna bermain ‘game’ sahaja tanpa mengetahui nilai sebenar. Di PPAS, hari Sabtu atau cuti sekolah pengunjung boleh cecah 8,000 sehari. Kebanyakan mereka duduk dari pagi sampai petang atau pulang selepas pengumuman dibuat.

Perpustakaan yang kita jenamakan semula akan penuh selepas tamat waktu persekolahan seperti di Sri Perantau dan Sri Manja.

Bagaimana perincian tugas pustakawan di PPAS?

Saya pesan kepada pustakawan, tugas mereka bukan hanya menyusun buku tetapi menjadi warga pendidik selepas waktu persekolahan, seperti guru.

Warga pendidik perlu menekankan sudut rohani, emosi, adab dan intelektual. Kalau nampak ada yang berdua-duan, tegur mereka untuk menjarakkan kedudukan.

Selepas kejayaan ‘perpustakaan sebagai rumah kedua’, apa perancangan lain PPAS?

Dahulu, kita memperkenalkan ‘perpustakaan sebagai rumah kedua’ tetapi kita dalam perancangan supaya dijadikan pusat perjumpaan.

Kita mahu NGO, pelajar mengadakan program dan diskusi di sini. Kita ada pelbagai kemudahan seperti wi-fi, dan komputer.

PASS BuildingPPAS mahu melangkah setapak lagi ke hadapan dengan fokus baru ‘perpustakaan sebagai agen pembangunan negara’.

Di Selangor sahaja, kita mempunyai 96 perpustakaan. Di seluruh Malaysia, terdapat 1,100 pepustakaan awam.

Adakah waktu operasi sehingga jam 10 malam sudah dilaksanakan?

Kami sudah ambil maklum berkenaan saranan Dato’ Menteri Besar dan menghantar prosedur operasi standard (SOP) serta peruntukan yang perlu ditambah kerana ia mengambil kira kos utiliti serta bayaran pekerja.

Kita dijangka memulukan operasi berkenan tahun hadapan,  Insya Allah.

Kita tidak lakukan serentak tetapi memilih daerah tertentu yang mempunyai permintaan tinggi untuk dilanjutkan operasi hingga jam 10 malam.

Saya berharap Kerajaan Negeri mempertimbang kemasukan bas percuma ke kawasan PPAS sebab tiada pengangkutan awam lain yang masuk ke sini.

Bagaimana dengan penggunaan E-book di PPAS?

Alhamdulillah, kami dah mulakan tahun ini memandangkan sebelum ini berdepan kekangan bajet tetapi penggunaannya meningkat.

Kami sedang berbincang dengan Perpustakaan Negara untuk mewujudkan pusat pembelian e-book melibatkan semua perpustakaan supaya dapat membeli pada harga murah.
Antara masalah dihadapi, tidak banyak syarikat menggunakan e-book, bahkan ada buku yang selepas tiga tahun tidak lagi boleh diperolehi.

Adakala, e-book lebih mahal daripada buku dibeli seperti kaedah biasa.

Kesan pelaksanaan GST?

Walaupun buku tidak dikenakan GST, namun pembelian barangan lain tidak lari daripada pembayaran cukai.

PPAS terpaksa membelanjakan hampir RM500,000 untuk pembayaran GST sahaja.
Dahulu pendapatan kami melalui duit denda buku hampir mencecah RM250,000 hingga RM300,000 setahun. Selepas kita ada pelbagai perkhidmatan seperti teater 3D, maka pendapatan kita melebih RM500,000 serta terpaksa mendaftar GST.

Kami juga terpaksa tambah kakitangan dan bekerjasama dengan syarikat perunding dalam hal GST.

Sebagai contoh, dahulu kami caj sewa dewan RM300 sejam atau RM3,000 sehari dengan kelengkapan penuh. Tapi sekarang kena tambah enam peratus caj GST.

Kami buat caj mengikut jam berbanding hari misalnya ada tadika mahu sewa untuk dua jam sudah RM600.

Kalau dahulu mungkin kami boleh kurangkan harga tapi sekarang terpaksa ditambah dengan GST.

Kami cuba menyerap GST semampu yang boleh dan setakat ini hanya penyewaan dewan sahaja dikenakan GST.

Bagaimana pencapaian PPAS setakat ini di dalam dan luar negara?

Selepas konsep penjenamaan semula dilakukan, kami ada dipanggil membentangkan kertas kerja di peringkat tempatan.

Pada November 2014, kami dijemput Persatuan Perpustakaan Amerika Syarikat (ALA) untuk membentangkan hasil dan konsep penjenamaan semula yang PPAS lakukan.

Kami juga dijemput Perpustakaan Negara ke Cape Town, Afrika Selatan bersama PPAS Sarawak bagi membentangkan konsep penjenamaan semula perpustakaan, manakala PPAS Sarawak menekankan konsep isi kandungan.

Kekuatan kami adalah konsep perpustakaan sebagai rumah kedua dan agensi membangunkan masyarakat.

Saya sarankan Kerajaan Persekutuan atau kontraktor perabot tampil dengan produk menarik dan tidak diberikan hanya kepada agensi tertentu sebaliknya sumbangkan kepada perpustakaan supaya masyarakat rasa selesa dengan perpustakaan.

Apa perancangan PPAS selepas ini untuk menarik ramai lagi pengunjung?

Kami sedang dalam perancangan membina gimnasium luar dan kawasan permainan kanak-kanak di beberapa perpustakaan daerah. Idea ini dimulakan di Sungai Udang.

Saya juga dalam perancangan untuk membina kafe di perpustakaan selepas mengadakan lawatan ke Hong Kong dan Singapura.

Apakah PPAS mempunyai perancangan mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak di dalam perpustakaan?

Dahulu, ada perancangan tetapi tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan Kementerian Kebajikan. Insya Allah, akan cuba dirangka semula.

Kami dalam perancangan menyediakan lebih banyak tempat letak kereta dengan pembinaan bangunan tiga tingkat dan bakal menempatkan 600 ruang. Ini adalah projek fasa 2A.

Apakah harapan untuk PPAS lima tahun akan datang?

Selepas kejayaan ‘perpustakaan sebagai rumah kedua’ kita mahu memberikan tumpuan kepada ‘perpustakaan sebagai agensi pembangunan negara’.

Semua kakitangan perlu memberikan komitmen dalam mencorakkan masyarakat dan mempunyai kemahiran kerja yang tinggi.

Saya juga ingin menggalakkan anak syarikat negeri (GLC) atau syarikat swasta yang ingin membuat tanggungjawab sosial korporat (CSR) tampil memberikan sumbangan kepada perpustakaan bagi membolehkan kami menambah baik infrastruktur.

Dalam konsep lautan biru, kafe siber dan tempat lepak adalahpesaing bagi perpustakaan. Kalau kemudahan perpustakaan canggih, secara tidak langsung semua pesaing itu menjadi tidak relevan.