Categories
NASIONAL SELANGOR

Pembuangan minyak hitam punca sungai tercemar

DSC_0331RAWANG, 2 SEPT : Pembuangan minyak hitam terpakai oleh sebuah kilang yang mengambil kontrak memproses sampah secara haram dipercayai punca berlakunya pencemaran air di empat sungai sehingga menyebabkan gangguan air di beberapa kawasan Lembah Klang dan Kuala Lumpur.

Penolong Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Paramasivam Chelliah berkata, pihaknya membuat siasatan ke atas kilang itu pada 30 Ogos lalu, setelah mendapat panggilan telefon daripada Lembaga Air Selangor (Luas) yang mengatakan berlakunya pencemaran sungai.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati terdapat kesan pertumpahan minyak di Sungai Gong berpunca daripada kilang tersebut yang turut mempunyai bengkel sendiri untuk penyelenggaraan lori sampah.DSC_0366 (1)

“Pemilik kilang ini mengumpul minyak hitam daripada bengkel yang sepatutnya dikitar semula, tetapi apa yang berlaku adalah dua buah tangki minyak hitam itu dibuang ke dalam longkang.

“Kami pasti kedua-dua lori itu adalah punca kepada masalah pencemaran air yang berlaku, malah pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor sendiri sudah menyita tangki tersebut dan hantar ke stor penyimpanan MPS,” katanya ketika melakukan tinjauan di kilang penyelenggaraan lori sampah itu.

Pencemaran itu menyebabkan empat loji iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) terpaksa ditutup sementara.

Pihak MPS juga terpaksa menggunakan enam lori tangki Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) untuk menyedut sisa minyak hitam yang dibuang sebagai langkah pembersihan sungai.