Categories
NASIONAL

Harga getah dijangka kekal minggu depan

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Pasaran getah Malaysia dijangka kekal pada tahap semasa, pada minggu hadapan.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low Jau Foo berkata, ketidaktentuan yang terkait dengan perang perdagangan Amerika Syarikat-China, kelembapan industri automotif China dan Brexit mungkin akan menjejaskan lagi permintaan, walaupun bekalan agak terhad disebabkan musim luruh.

Oleh itu, beliau berkata permintaan mungkin tidak ada pada sepanjang minggu itu.

Low juga melihat pergerakan yang agak hambar dalam harga lateks pukal, khususnya selepas harga menjadi 20 peratus lebih tinggi sejak dua minggu lepas disebabkan pengeluar getah asli dunia mengumumkan bahawa mereka akan mengurangkan eksport untuk mengukuhkan harga getah.

Bagaimanapun, Thailand baru-baru ini mengumumkan bahawa ia akan menunda tarikh pengurangan eksport getah kepada 20 Mei dan bukan mengikut rancangan awal iaitu 1 April depan berikutan pilihan raya umum negara itu.

Awal bulan ini, Indonesia, Malaysia dan Thailand, yang telah membentuk Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) berkata mereka akan memotong eksport getah sebanyak 240,000 tan selama empat bulan mulai April, sejajar dengan Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS).

Bagaimanapun, seorang peniaga lain berkata kenaikan harga minyak mungkin akan memberikan sokongan kepada nilai ringgit.

Katanya, sepanjang minggu tersebut, ringgit, yang kebanyakannya lemah berbanding dolar US, berlegar antara 4.060-4.078 dan ini membantu mengurangkan kerugian.

Secara keseluruhannya, pasaran kebanyakannya bercampur-campur dalam minggu ini.

Dari Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 jatuh 17.5 sen kepada 580.5 sen sekilogram daripada 598.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal menyusut 8.0 sen kepada 480.0 sen sekilogram daripada 488.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutup tidak rasmi bagi SMR 20, turun 18.0 sen kepada 579.0 sen sekilogram daripada 597.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal adalah 8.5 sen lebih rendah kepada 479.0 sen sekilogram berbanding 487.5 sen sekilogram sebelum ini. -BERNAMA

 

Categories
EKONOMI

Getah kekal pada paras semasa minggu depan

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan pada paras semasa minggu depan, berikutan pelabur dijangka mengekang minat belian.

Pasaran getah dijangka mengambil petunjuk daripada pergerakan harga di pasaran getah serantau dan minyak mentah, selain prestasi ringgit terhadap dolar US.

“Peniaga tidak akan memasuki pasaran berikutan menantikan hala tuju pasaran yang lebih jelas,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ringgit yang lemah berbanding dolar US akan menyokong permintaan dan mengekang penurunan harga.

Sementara itu, katanya pasaran getah serantau, yang terus lemah disebabkan penurunan harga minyak mentah, telah menyumbang kepada aliran penurunan dalam pasaran.

Harga minyak turut cenderung untuk mempengaruhi harga getah berikutan peningkatan dan penurunannya akan menentukan harga saingan getah asli — getah sintetik.

Pasaran turut mengambil perhatian mengenai amaran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai pertumbuhan global yang perlahan dengan unjurannya bagi 2018-2019 pada 3.7 peratus.

Pasaran turut dijangka terus berhati-hati mengenai perang perdagangan AS-China, yang dijangka berlarutan, menurut penganalisis.

Bagi minggu baru berakhir, harga getah diniagakan kebanyakannya rendah.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 susut 4.5 sen kepada 510 sen sekilogram, manakala susu getah pukal merosot 12 sen kepada 378 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi 5 petang bagi SMR 20 berkurangan lima sen kepada 511 sen sekilogram, manakala susu getah pukal turun 15.5 sen kepada 377.5 sen sekilogram.

SUMBER: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

#‎DemiPenoreh‬ dalam membela nasib penoreh getah

Penoreh getah adalah kelompok yang paling terkesan dalam senario kejatuhan harga getah pasaran. Realiti sebegini terpaksa diterima penoreh serta pekebun kecil di kala Malaysia menikmati kekayaan sumber pendapatan menerusi industri getah sehingga tersenarai antara negara ke-5 pengeksport getah sedunia.

Sumbangan sektor getah mencecah RM30.61 bilion pada 2014; dan RM23.6 bilion nilai eksport.

Terkini, harga ditutup serendah RM1.60 secawan per kilo di semenanjung dan RM1.30 secawan per kilo di Sabah dan Sarawak.

12986955_10154084661757418_2687292717675168255_nAkhirnya, harga getah semasa tidak mampu menampung kos sara hidup penoreh getah terutamanya mereka di kalangan kelompok termiskin; lebih-lebih lagi dengan dasar dan ekonomi negara oleh kepimpinan yang hilang kebertanggungjawaban.

Penoreh getah hanya memperoleh sekitar RM 400 hingga RM 500 sebulan hasil daripada getah yang dijual[1] – pendapatan yang tidak munasabah dan terletak di bawah paras gaji minima negara iaitu RM 1000 bagi Semananjung dan RM 900 bagi negeri Sabah dan Sarawak.

Insentif Pengeluaran Getah (IPG) tidak membantu penoreh getah mendapat sumber pendapatan yang berpatutan. IPG hanya menetapkan 0.40 sen sekilogram bagi mendokong ekonomi semasa penoreh getah dan mengekalkan pengeluaran kualiti SMR-20.

Penoreh getah upahan dilaporkan hanya mendapat RM 30 hingga RM 40 seminggu selepas pendapatan mereka dibahagikan separuh kepada pemilik kebun getah.

Tambahan, ramai penoreh getah yang masih belum menerima insentif tersebut. Sehingga tahun lepas, hanya RM 12 juta dibayar kepada penoreh getah melalui insentif ini walaupun bajet 2016 memperuntukkan RM 200 juta dan RM 100 juta pada tahun 2015 untuk IPG.

Persoalannya, di mana baki wang yang tidak dituntut oleh penoreh getah?
Apakah langkah-langkah kerajaan dalam memperbaiki kelemahan mekanisme tuntutan IPG?

Aduan yang diterima KEADILAN menunjukkan skim ini memerlukan masa lebih daripada 30 hari daripada tarikh permohonan dan tempoh 14 hari sementara menunggu wang insentif dikreditkan ke dalam akaun[2].

Kelewatan pembayaran semula insentif ini membebankan hampir 260,000[3] pekebun kecil getah yang memerlukan insentif tersebut untuk menyara kehidupan keluarga.

Harga getah beku di ladang ditetapkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan merumuskan harga purata pelbagai gred getah pada sebelah tengah hari untuk dihebahkan kepada pelbagai syarikat perdagangan getah yang lain.

Penentuan harga getah dengan rumusan harga purata pada waktu tengahari kepada syarikat perdagangan membuktikan kerajaan tidak peka dengan situasi semasa penoreh getah. Rata-rata penoreh getah mempunyai 2 pekerjaan untuk menambah pendapatan dan itu juga bergantung kepada variasi cuaca yang juga memberi impak kepada pengeluaran getah.

LGM menggunakan kaedah sama menetapkan harga pada penutupan pasaran jam 5 petang yang turut membabitkan 25 syarikat yang dilantik LGM sebagai Ahli Panel Penasihat Harga Mengikut Gred.

Pekebun kecil getah hanya dapat pendapatan bersih di bawah RM 2.00 sekilogram akibat menjual getah buku dengan harga yang diperoleh daripada pembeli pertama peringkat ladang hanya satu pertiga dari harga gred SMR 20[4].

Kerajaan harus mengkaji semula lambakan dana yang diperuntukkan kepada program pemberian baja penggalak susu dan kursus cara menoreh yang betul.

Hal ini kerana, walaupun baja yang diberikan dan kaedah menoreh digunapakai, penoreh getah masih tidak mampu menikmati hasil getah yang lebih baik dan ini bukti yang jelas menunjukkan perlu ada program baru yang menjurus kepada peningkatan hasil, bukan hanya menguntungkan pihak kontraktor.

Adapun harga getah dipengaruhi faktor global dan pertukaran wang asing serta terdapat lebihan pembekalan getah di pasaran.Kementerian dan International Tripartite Rubber Council (ITRC) bersetuju dengan keputusan menambah penggunaan getah domestik sebanyak 10% termasuk kerjasama JKR sebagai adunan membuat jalan rubber road bagi menstabilkan harga.

KEADILAN menerusi jawatankuasanya yang mempertahan nasib pekebun dan petani kecil menuntut mekanisme jangka masa panjang yang lebih berkesan dalam menangani isu yang melibatkan getah di Malaysia.

KEADILAN juga akan mengusulkan agar wujud mekanisma bayaran tetap kepada penoreh getah minima RM1200/sebulan seperti yang dicadangkan oleh Kesatuan Kebangsaan Ladang (NUPW) supaya dapat menjamin pengeluaran hasil getah yang lebih baik di masa akan datang[5].

Mekanisme ini membantu penoreh getah dengan jaminan pendapatan minimum walaupun dalam keadaan pengeluaran getah yang merudum sebagai sumber pendapatan. Tambahan pula, dalam mengambil kira setiap faktor yang mempengaruhi jumlah pengeluaran getah seperti iklim dan cuaca, penoreh mempunyai minimum pendapatan sebagai jaminan.

KEADILAN juga menyeru agar pihak Lembaga Getah Malaysia bekerjasama dengan pihak agensi seperti RISDA dan Persatuan Pekebun Kecil Getah dalam mengeluarkan satu kaedah penentuan Kandungan Getah Kering (KGK) yang berpihak kepada penoreh getah dan pekebun kecil.

KEADILAN akan membawakan kesemua cadangan ini ke lapangan menerusi Program Jelajah #DemiPenoreh di Padang Terap, Kubang Pasu,Pendang,Jerai, Bukit Selambau,Baling,Padang Serai dan Kulim pada 17 dan 18 April ini.

Kerajaan BN harus faham tiada ertinya gah mengumumkan peningkatan pendapatan negara dari hasil bumi yang kaya raya tetapi mengabaikan mereka yang berada dalam barisan utama membangunkan sektor ini.

YB Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai

Naib Presiden dan Pengarah Pilihanraya KEADILAN
YB Zuraida binti Kamaruddin
Ahli Parlimen Ampang
Ketua Wanita KEADILAN

YB Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ahli Parlimen Bukit Katil

Naib Presiden Pengerusi Biro Masyarakat FELDA & Perladangan KEADILAN
Dr Syed Hussein Ali

Ahli MPP KEADILAN
Prof Dr. Shaharuddin Bin Badaruddin

Naib Presiden KEADILAN
YB Dr Azman Ismail

Ahli Parlimen Kuala Kedah
Pengerusi Pimpinan Negeri Kedah

[1] http://www.nst.com.my/…/…/who-sheds-tears-our-rubber-tappers
[2]http://www.nurulizzah.com/…/segerakan-mekanisme-pembayaran…/
[3] http://www.sinarharian.com.my/…/kemaskini-data-penoreh-1.29…
[4]http://bm.selangorku.com/…/kerajaan-pusat-digesa-tetapkan-…/
[5]http://www.nurulizzah.com/…/segerakan-mekanisme-pembayaran…/
[6] http://www3.lgm.gov.my/mre/HargaHarian.aspx