Categories
NASIONAL

Mengaku sahajalah Umno takut kebenaran

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 NOV : Helah melambatkan debat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sengaja ditimbulkan bagi menghalang ia daripada menjadi kenyataan.

Penulis buku politik, Shahbudin Husin, berkata kerajaan mula menggelupur dan berusaha menghalang debat itu dengan menjadikan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua sebagai sasaran.

Beliau berkata, Umno jelas takut dengan kebenaran walapun mereka cuba menyembunyikan rasa itu dengan pelbagai alasan.

Shahbudin Husin“Sebenarnya inilah dinamakan penakut dan pengecut tetapi malu mahu mengaku. Bahkan, dalam masa sama putar alamnya tetap gred satu.

“Sudahlah Pua dipaksa berundur daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) jika mahu berdebat, Arul (Kanda Kandasamy) turut diputuskan tidak boleh menjadi saksi dalam PAC jika tampil dalam debat itu.

“Drama demi drama dipentaskan sekarang tidak lain adalah supaya debat itu tidak menjadi kenyataan akhirnya, itu saja tujuannya,” kata bekas Naib Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju itu.

Pada masa sama, Shahbudin turut mengkritik kenyataan pemimpin Umno, Tan Sri Annuar Musa melabelkan Pua sebagai tidak mempunyai ‘T’ (merujuk kepada telur) jika tidak berani meletak jawatan sebagai anngota PAC.

Katanya, cadangan Annuar supaya Ketua Pembangkang, Dr Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Pua untuk berdebat dengan Presiden 1MDB itu juga tidak masuk akal.

Najib-1MDB“Kalau mahu Wan Azizah sebagai ganti, lawannya bukanlah Arul, tetapi seharusnya Najib sendiri.

“Barulah padan, Ketua Pembangkang lawan Perdana Menteri dan dapatlah juga kita mengetahui sama ada Najib ada “T” atau tidak,” katanya.

Drama demi drama mula ditimbulkan pemimpin pro kerajaan berkenaan debat 1MDB membabitkan Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP dengan Pengarah Eksekutif syarikat kontroversi itu.

Terbaru, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjelaskan beliau sedia melepaskan jawatan Speaker Dewan Rakyat jika kerajaan mahu meneruskan rancangan perdebatan itu.

-nR-