Categories
SELANGOR

Punca hasil padi merosot giat dikenalpasti

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti punca sebenar kemerosotan hasil tuaian padi petani di Sekinchan yang didakwa berpunca daripada benih padi kebal (CL2).

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, Kerajaan Negeri mengambil maklum perkara terbabit dan menasihatkan petani supaya mengikuti arahan diberikan oleh Jabatan Pertanian ketika ini.

“Kerajaan Negeri masih menyemak apakah punca sebenar dan kita menasihatkan petani supaya mengikut arahan yang diberikan Jabatan Pertanian ketika ini,” katanya yang menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini.

zaidy-petaniSuee Lim bertanyakan mengenai bantuan kepada petani oleh Kerajaan Negeri berhubung kemerosotan hasil padi yang didakwa berpunca daripada benih CL2 menyebabkan tahap kesuburan tanah merosot.

Dalam perkembangan lain, Zaidy memaklumkan terdapat sejumlah 1,919 atau 21 peratus penerima bantuan kewangan penyakit Hawar Daun Bakteria (BLB) masih belum menerima cek bantuan.

Katanya, hal itu kerana terdapat kesilapan ejaan nama, nombor kad pengenalan dan perkara berkaitan isu di antara pemilik tanah sawah dan pemajak tanah sawah.

“Terdahulu, sejumlah 9,124 pesawah layak menerima bantuan kewangan ekoran BLB ini. Bantuan ini mendahului Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan sebanyak lebih RM9 juta,” katanya.