Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

JAIS: Peperiksaan PSRA tetap dijalankan esok

SHAH ALAM, 22 SEPT: Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) di Selangor yang bermula esok sehingga Jumaat ini, akan tetap dilaksanakan walaupun berlaku jerebu di kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, PSRA hanya akan ditangguhkan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai bacaan 300.

Sehubungan itu, pelajar yang mengambil PSRA di Klang dan Kuala Langat, perlu menduduki peperiksaan terbabit.

” Pelajar lain telah dimaklumkan tidak perlu hadir ke kelas kecuali calon yang terbabit dengan peperiksaan PSRA,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, 57 sekolah di daerah Kuala Langat dan Klang akan ditutup esok.

Arahan penutupan itu dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen Johan Setia melebihi 200, setakat pukul 2 petang tadi.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

PSRA untuk pelajar di Kemboja tahun ini

OLEH NORHAYATI UMOR

SEKINCHAN, 14 MEI: Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang menggunapakai standard peperiksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan dilaksana di Kemboja bermula 26 hingga 28 Ogos ini.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, ia adalah peperiksaan agama pertama dan bertaraf peringkat kebangsaan di Kemboja untuk pelajar di sana.

“JAIS membantu membangunkan sistem pendidikan Islam di Kemboja sejak 2013.

“Kerjasama dijalin bersama dengan Majlis Mufti dan Kementerian Pendidikan Kemboja.

“Kurikulum Sekolah Rendah Agama JAIS diterima dan dibenarkan dilaksana di semua sekolah rendah agama di sana,” katanya.

Haris berkata, enam buku teks JAIS berjaya diterjemah dan dicetak ke Bahasa Cham dan Khmer dan diguna pakai oleh guru dan murid di Kemboja.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama JAIS bersama beberapa anak syarikat kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan serta orang perseorangan di Selangor,” katanya.

Sebelum ini, JAIS turut mengedarkan buku teks JAIS sebanyak 12,000 naskhah bagi mata pelajaran Hafazan Al Quran kepada pelajar Islam di Kemboja.