Categories
AGENSI SELANGOR

Muzium Sultan Alam Shah dan lima lagi ditutup sehingga 27 Oktober

SHAH ALAM, 17 OKT: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) menutup muzium di bawah pentadbirannya bermula Rabu lalu hingga 27 Oktober bagi mengekang penularan Covid-19.

Penutupan melibatkan Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam; Muzium Sejarah Kuala Selangor; Muzium Insitu Jugra, Banting; Muzium Pertanian dan Perikanan Sabak Bernam; Istana Bandar, Kuala Langat serta Gedung Raja Abdullah, Klang.

“Tindakan ini sebagai langkah keselamatan kesihatan awam susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Patuh tatacara operasi piawai (SOP) dan jaga penjarakan sosial,” katanya menerusi Facebook hari ini.

PKPB dilaksana di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Oktober.

Semalam negeri ini merekodkan 50 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 3,014 kes.

Categories
AGENSI SELANGOR

Bermalam di muzium bakal cipta rekod, pelajar buat tengkolok

KUALA SELANGOR, 31 OGOS: Program “Bermalam di Muzium” kali ini menampilkan kelainan apabila salah satu aktiviti pelajar akan diajar membuat tengkolok menggunakan kain pelikat.

Kurator Kanan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT), Mohamad Aris Sahid berkata, ia bertujuan mencipta rekod “Malaysia Book of Records” di bawah kategori “Most number of participants wearing Tengkolok for an educational programme night at the museum”.

Katanya, tengkolok cukup sinonim malahan ia menjadi salah satu trend pemakaian kepada anak muda masa kini dalam mengekalkan budaya dan identiti Malaysia khususnya.

“Jika kita lihat sebelum ini, pemakaian tengkolok hanya ketika kenduri kahwin atau majlis keraian khususnya namun kini kebanyakan anak muda sudah menjadikan ia trend untuk dipakai pada hari biasa.

“Aktiviti ini amat bagus kerana ia dapat mendidik jiwa anak muda sekali gus menyemai semangat dalam mengekalkan budaya dan identiti Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas merasmikan Majlis Perasmian “Bermalam di Muzium” di Muzium Sejarah Kuala Selangor, di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, program “Bermalam di Muzium” adalah salah satu program utama Jabatan Muzium Malaysia (JMM) yang setiap tahun diadakan di semua muzium seluruh negara.

“Program “Bermalam di Muzium” adalah satu usaha institusi muzium untuk menerapkan kesedaran dalam kalangan pelajar berkenaan pentingnya pemahaman dan menghargai sejarah, budaya serta warisan negara.

“Sememangnya program ini tidak asing lagi di negara kita dan di Selangor kali ini memasuki tahun ketiga penganjurannya sejak 2016,” katanya.

Terdahulu, program “Bermalam di Muzium” tahun ini diadakan selama dua hari bermula semalam di Muzium Sejarah Kuala Selangor membabitkan pelajar sekolah menengah sekitar daerah berkenaan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

2,704 pelajar bermalam di muzium seluruh negara

KUALA SELANGOR, 30 OGOS : Seramai 2,704 pelajar seluruh negara menyertai program “Bermalam di Muzium” anjuran Jabatan Muzium Malaysia selama dua hari mulai hari ini.

Kurator Kanan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT), Mohamad Aris Sahid berkata, daripada jumlah itu seramai 100 pelajar adalah daripada sekitar Kuala Selangor yang turut bermalam di Muzium Sejarah Kuala Selangor, Bukit Malawati.

Katanya, program berbentuk pendidikan yang membabitkan pelajar berusia 13 sehingga 17 tahun itu dilangsungkan serentak di Muzium Negara dan muzium negeri seluruh Malaysia.

“Pada tahun ini, program itu mencatatkan kemajuan memberangsangkan apabila jumlah penyertaan muzium di seluruh negara meningkat kepada 36 berbanding 35 buah, tahun lalu.

“Menariknya, kali ini kita bakal mencipta ‘Malaysia Book of Records’ dengan mengadakan aktiviti membuat tengkolok menggunakan kain pelikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas merasmikan Majlis Perasmian Bermalam di Muzium di Muzium Sejarah Kuala Selangor, Bukit Malawati di sini, hari ini.

Kurator Kanan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Mohd Aris Said (dua, kiri) merasmikan Program Bermalam di Muzium 2019 di Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor, pada 30 Ogos 2019. – Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada masa sama, Mohamad Aris optimis penganjuran seumpama ini dapat memperluaskan lagi peranan muzium sebagai institusi pendidikan tidak formal dalam kalangan masyarakat.

“Selain itu, kita harap inisiatif ini dapat memperhebatkan kerjasama di semua muzium seluruh negara ke arah memperkukuh dan memartabatkan industri permuziuman negara,” katanya.

Lebih 100 peserta menyertai Program Bermalam di Muzium 2019 Anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor di Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor, pada 30 Ogos 2019. – Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu, sebanyak 17 sekolah mengambil bahagian bermalam di Muzium Sejarah Kuala Selangor antaranya adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sains Kuala Selangor; SMK Puncak Alam; SMK Tanjong Karang dan SMK Sultan Sulaiman Shah.

Selain membuat tengkolok, aktiviti peserta akan turut dipenuhi dengan persembahan kumpulan, cerapan planet, eksplorasi dan menyambut ambang Kemerdekaan 31 Ogos, malam ini.

RM1.1 juta diperuntuk untuk kemudahan pelancongan Kuala Langat

Kuala Langat antara hotspot pelancongan Selangor. Kerajaan Negeri peruntukan RM1.1 juta untuk tingkatkan kemudahan