Categories
NASIONAL

Keputusan tepat tarik semula kelonggaran syarat Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Keputusan kerajaan menarik semula kelonggaran syarat berkaitan Bahasa Melayu bagi jawatan dalam perkhidmatan awam disifatkan keputusan tepat dan berani.

Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, beliau menyokong penuh keputusan itu kerana tidak sepatutnya ada kompromi dalam syarat berkaitan Bahasa Melayu.

“Saya menyokong penuh keputusan itu dan berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta kabinet atas keprihatinan juga ketegasan mereka.

“Penting untuk anak muda kenal dan fasih Bahasa Melayu kerana ia menunjukkan rasa cinta serta hormat kepada negara juga Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya kepada BERNAMA.

Pada masa sama, katanya, sebarang perubahan membabitkan perkara yang termaktub dalam perlembagaan negara mesti dibentangkan dahulu kepada kabinet.

Menyuarakan pendapat sama, Felo Utama Institut Kajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, keputusan itu bertepatan usaha dan dasar kerajaan yang mendukung Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, adalah menjadi keutamaan bagi setiap warganegara Malaysia memartabatkan Bahasa Melayu dan perkara itu perlu sentiasa dihormati.

PERDIM“Saya sokong keputusan menetapkan syarat lulus Bahasa Melayu dalam semua jawatan. Jika mereka tidak mengambil kertas Bahasa Melayu Sijil Pelaran Malaysia (SPM), mereka perlu menduduki mana-mana peperiksaan Bahasa Melayu setaraf dengan SPM,” jelasnya.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk menarik balik kelonggaran syarat kelayakan lulus dengan kepujian Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41.

Ahmad Zahid berkata, Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang juga bahasa rasmi Persekutuan, selaras Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, JPA pada 23 Februari lalu memberi persetujuan untuk kelonggaran syarat itu bagi pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 di KKM.

Katanya, langkah itu bagi memudahkan pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 untuk graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan SPM atas pelbagai sebab.