Categories
ADN SELANGOR

DUN Dusun Tua bantu penduduk Sungai Lui dapat makanan segar

SHAH ALAM, 14 APRIL: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua berusaha mencari bekalan makanan segar seperti ayam, telur dan sayur bagi membantu penduduk di Sungai Lui, kata Ahli Dewan Negerinya.

Edry Faizal Eddy Yusof berkata ia berikutan makanan dibekalkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kurang sesuai kerana penduduk dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang tidak dibenarkan keluar.

“Kita akan berusaha membantu untuk dapatkan makanan segar asas yang ada nutrisi dan bukan makanan dalam tin biarpun dengan kemampuan agak terhad. Saya harap Nadma boleh selesaikan isu ini segera,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas mengenai PKPD di Sungai Lui dilanjutkan, Edry Faizal berkata ia bergantung atas arahan kerajaan dan setakat ini pihaknya masih belum mendengar sebarang keputusan.

Semalam, beliau memohon Nadma menyemak semula bantuan makanan kepada penduduk Sungai Lui yang menerima makanan dalam tin serta minuman manis dengan menjelaskan mereka memerlukan barangan segar asas seperti bawang, telur, sayur-sayuran dan daging.

Batu 21 hingga 24, Sungai Lui merupakan kawasan di bawah Hulu Langat yang dikenakan PKPD selama dua minggu sejak 30 Mac lalu hingga hari ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 3,900 penduduk di Hulu Langat jalani PKP diperketat

SHAH ALAM, 29 MAC: Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, berkuat kuasa tengah malam ini, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan ada 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui.

Katanya, perintah kawalan sehingga 13 April itu membabitkan 3,918 penduduk merangkumi 700 rumah di tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.

“Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular dari kawasan itu, langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam kenyataan media di sini malam ini.

Ismail Sabri berkata selaras dengan perintah itu semua penduduk dan pelawat yang sudah berada di kawasan terbabit tidak dibenarkan keluar rumah dan tiada pengunjung dibenarkan masuk selain semua aktiviti perniagaan dihentikan.

“Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pangkalan perubatan turut dibuka,” katanya

Ia adalah PKPD kedua dikeluarkan selepas arahan sama di Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP diperketat mungkin dilaksana di dua zon di Selangor

SHAH ALAM, 29 MAC: Kerajaan mungkin melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua zon di Selangor mempunyai taburan kes Covid-19 yang tinggi, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pelaksanaan itu perlu bagi mengekang wabak berkenaan berdasarkan situasi semasa Selangor yang mencatatkan jumlah kes yang tertinggi di Malaysia.

“Kita lihat zon mana paling tingi sekali, kita sedang melihat satu atau dua zon yang mungkin akan diambil tindakan sama seperti di Simpang Renggam,” katanya pada sidang media hariannya di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya di sini, hari ini.

Empat daerah di Selangor mencatatkan jangkitan kes Covid-19 tertinggi iaitu Petaling dengan 209 kes, Hulu Langat (206), Gombak (57) dan Klang (51), menjadikan kawasan itu tergolong dalam zon merah.

Kerajaan melaksanakan PKPD di Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Johor yang berkuatkuasa mulai tengah malam 27 Mac hingga 9 April selepas 61 daripada penduduknya dikesan positif Covid-19.