Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat perkapalan perlu sedia kenderaan khusus kru warga asing

SHAH ALAM, 3 JULAI: Syarikat perkapalan diminta menyediakan pengangkutan khusus untuk membawa kru kapal warganegara asing tanpa perlu mendapatkan surat kebenaran daripada Jabatan Imigresen.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka hanya perlu melalui prosedur biasa memasuki negara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa bertemu sesiapa atau membeli belah.

“Mereka hanya perlu lalu di pintu masuk dan cop pasport seperti biasa, terus keluar daripada lapangan terbang dan masuk ke dalam kenderaan menuju ke kapal,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata Malaysia hanya dijadikan transit untuk kru kapal mendarat sebelum meneruskan tugas mereka seperti diumumkan sebelum ini.

Ismail Sabri sebelum ini dilaporkan berkata Kerajaan turut memberi kebenaran untuk pekerja warga asing pulang ke negara masing-masing melalui negara ini.

Categories
EKONOMI

Majlis penasihat sektor perkapalan diaktifkan

KUALA LUMPUR 11 OGOS: Kementerian Pengangkutan akan mengaktifkan majlis penasihat pakar untuk memantau perkara berkaitan perkapalan dan pelabuhan, dengan mesyuarat pertama dijadualkan dalam tempoh dua bulan.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, majlis itu akan meneliti pembaharuan institusi maritim, dasar dan peraturan dalam menyediakan industri untuk masa depan yang lebih baik.

“Mesyuarat pertama dijangka diadakan dalam tempoh satu atau dua bulan,” katanya kepada BERNAMA selepas menghadiri Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) 2018 di sini, malam tadi.

Majlis makan malam itu diadakan sempena Minggu Maritim Dunia Malaysia 2018 dari 7 hingga 9 Ogos.

Mengenai Dana Pembangunan Pengangkutan berjumlah RM3 bilion yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini dalam Bajet 2018, Loke berkata kementerian akan mempercepatkan prosesnya.

“Kami akan menelitinya, dana yang diperuntukkan, bukan yang baharu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan walaupun dana terbabit sudah diumumkan, wang tidak diperuntukkan.

Terdahulu dalam ucapannya, Loke berkata kementerian menyedari kesukaran yang dihadapi oleh pemilik kapal dalam mendapatkan pembiayaan daripada bank tempatan dan institusi kewangan.

“Kami turut menyedari mengenai tahun-tahun yang mencabar yang dihadapi industri ini,” katanya.

Penggiat industri sudah menyuarakan masalah mereka mengenai isu yang dihadapi, termasuk cukai korporat untuk jenis kapal tertentu, kemudahan pembiayaan serta kemajuan Pelan Induk Perkapalan Malaysia (MSMP) 2017-2022.

SUMBER: BERNAMA