Categories
NASIONAL

Amal jalur perkauman, pak menteri tak banyak beza dengan ‘cybertrooper’

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 FEB: Malaysia masih mengamalkan jalur perkauman yang boleh menggugat keharmonian masyarakat walaupun lebih 60 tahun gerakan politik ditubuhkan di negara ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Malaysia masih berada di takuk lama dan adakala berpusing ke belakang daripada apa yang dicapai selama ini ketika negara lain sedang bergerak ke hadapan.

rakyat majmukKatanya, terdapat perkara lain yang memerlukan tumpuan antaranya berkenaan jurang pendapatan rakyat berbanding isu perkauman yang menjadi masalah sehingga hari ini.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa tiada gerakan yang berjaya tanpa mengiktiraf realiti ini kerana kalau mereka hanya menerima satu jalur daripada masyarakat Malaysia, maka tidak boleh pergi jauh.

“Bagi saya, itu adalah pengajaran yang perlu difahami ketika bercakap berkenaan politik negara. Politik perkauman cuma satu sisi daripada kepelbagaian, lebih banyak perkara yang boleh diambil kira seperti kelas pendapatan antara golongan kaya dan miskin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Forum Masyarakat Majmuk dan Demokrasi di Malaysia di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), semalam.

IMG_6301Nik Nazmi yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut kesal kerana kepimpinan negara tidak menunjukkan ciri yang baik seperti diperlukan rakyat.

“Pemimpin negara kita perlu menunjukkan kepimpinan kerana adakala bunyi pak menteri pun macam ‘cybertrooper’ dan tidak banyak bezanya.

“Adakala, pemimpin tertinggi pun bunyi macam badan bukan kerajaan (NGO) yang ekstrem. Kita risau jika perkara ini berlarutan, ke mana hala tuju negara kita,” katanya.

-NFN-